Thursday 5 July 2012

WARGA BANGSA


Kilat menguji muara Andaman
petir menyambar di hujung laman
sifat terpuji warga budiman
santun berbudi manis senyuman.

Petir menyambar di hujung laman
hujan lebat menyirami taman
santun berbudi manis senyuman
menjadi tanda orang beriman .

Hujan lebat menyirami taman
di hujung taman pohon kedangsa
menjadi tanda orang beriman
kasihi keluarga kasihi bangsa.

Di hujung laman pohon kedangsa
sedang berputik cantik berbunga
kasihi keluarga kasihi bangsa
itulah warga patut dibangga.

Sedang berputik cantik berbunga
indah berseri bak permata jingga
itulah warga patut dibangga
menjadi harapan nusa dan bangsa.

Indah berseri bak permata jingga
kembang mekar di taman hati
menjadi harapan nusa dan bangsa
cantik nurani mulia pekerti.

Kembang mekar di taman hati
pesona ayu laksana dewi
cantik nurani mulia pekerti
lambang kecintaan ibu pertiwi.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
4 Julai 2012
8.44 am.

No comments:

Post a Comment