Friday 20 July 2012

HILANG KABUS DATANGLAH SINAR

Terang malam disinari bulan
dingin bayu lembut berhembus
kala hati dilanda rawan
harapkan sinar menelan kabus.

Dingin bayu lembut berhembus
merah jingga di senjakala
harapkan sinar menelan kabus
hati yang luka sembuh semula.

Merah jingga di senjakala
seri kembang kuntuman bunga
hati yang luka sembuh semula
berkat sabar teriring do’a

Seri kembang kuntuman bunga
cantik hiasan taman dipandang
berkat sabar teriring doa
hati senang fikiran tenang.

Cantik hiasan taman dipandang
indah kilauan seri bak suasa
hati senang fikiran tenang
bahagia menjelang damai sentosa.

Indah kilauan seri bak suasa
mahal harganya batu berlian
bahagia menjelang damai sentosa
kasih sayang tinggi nilaian.

Mahal harganya batu berlian
batu nilam seri permata
kasih sayang tinggi nilaian
tidak terbanding dengan harta.

Batu nilam seri permata
di salut emas indah terserlah
tidak terbanding dengan harta
cinta kudus kurniaan Allah.

Di salut emas indah terserlah
kerana cincin jari tersiat
cinta kudus kurniaan Allah
jagalah ia sepanjang hayat.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
15  Julai 2012

No comments:

Post a Comment