Friday 30 November 2012

KERANA AKU

kerana aku malam 
engkau cari bintangmu
buat menghiasi langit mimpi. 

kerana aku laut
engkau cari bidukmu
buat melayari samudera kasih. 

kerana aku angin
engkau cari derumu
buat menghembus nafas rindu.

kerana aku cinta
engkau cari erti bahagia
buat mengapai keindahan syurga.

SRI MAWAR
Kuala Kurau.
Perak.
30 Nov 2012
12.18 am.

Thursday 29 November 2012

KADANGKALA


Dalam telaga penghidupan
terkadang jaringku menjerat alpa
melewati kegusaran nasib
mengaut sejuta rasa
pahit madu rencah dunia.

Kekadang aku berlari
mengejar masa yang lewat
kehampaan menambat
menjerat langkah
tersungkur di kalbu gundah.  

Kadangkala lupa memagar diri
jauh dari prasangka
sandiwara hidup
adalah penentu segala
lakonan di pentas dunia.

Bila segalanya mungkin
kepahitan menjadi penawar
simpulan getir
menguat pegangan
   
kala 
lelayang jiwa mulai melayah.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
29 Nov 2012
12.38 pm
   




YANG NYATA


Aku bukan isteri yang terbaik
buat lelaki sepertimu
namun aku bukanlah yang terburuk
pada pandangan batinmu.

Engkau pun
bukan seorang suami yang terbaik
di segenap perasaanku
namun engkau cukup mulia
menaungiku
dengan kesabaran
dalam jengkil hati.

Kita miliki jiwa yang lain
haluan yang berbeza
namun kita tetap punya cinta
sehalus sutera
menjadi pakaian hayat
menerima segala kekurangan
demi hidup seadanya

Dan kita pun bahagia
merenda penghidupan
menghiasi taman syurga
dengan kembang-kembang
 cahaya mata.

Che Fauziah Idris
Kuala kurau
Perak
29 Nov 2012
1.04 am.

Monday 26 November 2012

SELOKA PEKERTI


Kera di hutan disusui
anak di rumah mati kelaparan
santan segera dicari
kelapa luruh dibiar kekeringan
rajin orang disingkap
malas diri disimpan
malu tetangga dijaja
aib sendiri bertaburan
tidak sedar diri tertinggal
orang lain naik ke bulan
hidup asyik membanggakan pangkat
bangsa sendiri kehilangan darjat
apa dimegah harta melimpah
haram sesen buat sedekah
insan mulia menambah iman
awak mati dalam kehinaan.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
24 Nov 2012
12.00 pm.

Thursday 22 November 2012

LAUT BIRU MENGHIRIS RINDU


Laut yang berolak membiru rona
menitip rindu menguak dada
pada pilu saujana pandang
kian berulang tak mampu dikenang
airmatanya tumpah
pada sejuta janji dan sumpah.

Angin pun membisik salam
pada kenangan di wajah silam
lelah keringat nelayan tua
gigih berusaha menjaring laba
pilu matanya merenung jauh
lelah jiwanya terseksa jenuh.

Debur ombak merayu pantai
kecai dirempuh hujaman badai
mimpi semalam menjadi lebur
harapan musnah jiwa terkubur
menjaring matahari
senyumnya tidak berseri.

Di mana jiwamu tuan
pedih sendu tak keruan
kala rindumu membelai hati
telah jemu engkau menanti
tidak kunjung tiba
mesra kucupan puteri dan putera
nyilu yang dalam
kasih sayangmu tidak diselam.

Duhai anak-anak
kala nasi sedang ditanak
pada harapan tinggi menjulang
kalian diintai mimpi cemerlang
hatinya penuh bahagia
kudrat tercurah tidak bersisa.

Tapi di mana kini
penghuni di teratak sunyi
memujuk rawan diri
kala hidup membilang sepi
mati pun harus sendiri.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
22 Nov 2012
1.05 am

ROTI DAN PELURU



Kemana hilang segala rasa
kejam dan keji mainan jiwa
tidakkah hatimu tersayat luka
bila membedil bawa sengsara.

Kemana pergi rasa simpati
sedang lakumu patut dikeji
kenapa mesti sikapmu begini
bertuhankan syaitan beraja di hati.

Zalim dan hina membawa kecewa
Gaza ditempur menumpah bisa
darah melimpah tanpa bicara
mangsa yang malang apalah dosa.

Hancur rumah peluru memusnah
hilang penghidupan segalanya punah
hilang diri jantungnya lemah
tiap saat cemas memamah.

Anak kecil memungut roti
perutnya lapar tidak terperi
nasib diri tidak terkendali
nyawa direntap tanpa disedari.

Celaka sungguh zionis Israel
patut segera dihumban Izrail
hati insaninya tidak terpanggil
biar diseksa azab mengigil.

Wahai anak-anakku semua
andai pilihan ditanganmu jua
antara peluru , roti serikaya
mana mahumu bercitarasa.

Insaflah diri hidup didunia
jangan bersifat zalim dan hina
usah sikapmu suka menganiaya
kenanglah nikmat Allah kurnia.

Tidak selamanya menongkat langit
perangi nafsu teguh dan sengit
zalim dan dendam jangan melekit
mulianya hati jangan sedikit.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
21 Nov 2012
11.20 am

YANG TINGGAL


pernahkah engkau tahu
pantai hatiku punah di badai rindu
menjaring ketulusan cinta
mengintai wajahmu selayang pandang
mengukir bayangan di alam mimpi
pesona ayumu
menguntum senyum
aku pun merawan hiba
tatkala engkau tiada .

apa lagi yang membekas
kala cinta sedang memutih
hilang diterjang badai sengsara
harapan yang ditinggalkan
musnah terbuang
aku tidak lagi pulang
laksana camar yang goyah
kala sayapnya patah.

yang tinggal
hanya mimpi usang
disirna masa
mainan nostalgia
walau luka masih memerah
cintaku padamu tetap indah.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
18 Nov 2012
8.45 am

HIJRAH


Ayun temayun di langit maghrib 
lalu sepi pun mengintai kiblat
terbukalah pintu MuharramMU
pada tiap tadahan tangan
kala mengutip bekalan pulang
jejak insaf pun bertandang
kita pun berhijrah.

Arahkan tiap nadi rasa
pada seluruh aksara jiwa
selazat iman
sejernih tawaduk
dan seindah nurani
menjadi cahaya
kala diri melangkah
penuh mahabah
tanpa dosa
tanpa noda
muhasabah diri
mengamit redha Illahi.

Usir masa silam
pada kekosongan jiwa insani
hijrah dari kekalutan
pindah dari kezaliman
merdekakan jiwa
lepaskan diri dari belengu mimpi
nubari yang hampa
pada sejarah pengorbanan
kesia-siaan
adalah permainan hidup
pada hati yang kosong.

SRI MAWAR
Kuala Kurau.
Perak.
15 Nov 2012
2 .59 am..

Sunday 4 November 2012

RAKUS


Menderulah angin
membisik bahasa alam
bicara tentang laut
debur gelombang samudera
memukat duka segara
khazanah di laut dalam
dan anak anak talang
tercungap di kantung jaring
perih menerjang.

Rintih pepohon
desiran bayu bukit
menjerit bunga rimba
layu sebelum kembang
gegar makin menghakis
debu-debu pembangunan
menebar sebal.

Pagi dingin
embun berkeledak
tidak sejernih mimpi
semalam yang hangat
getir menyengat
ranting hidup
bertaut kalut
lancang mencincang
jenerasi pertualang.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
4 NOV 2012
6.34 am

SIAPA

Entah siapa sudi mendengar
tentang lakonan bercerita 
bila kepalsuan dunia
memugar ragam manusia
menginjak murni peribadi
memusar panah lirih
luka yang dalam
menghimpun kesumat dendam.

Entah siapa sudi melihat
aliran darah hanyir
pada kebusukan hati
membunuh kesucian murni
laungan benci dan hina
memantul gerak gema
alam keliling menatap
jantung hati meratap.

Entah siapa sudi menjawap
soalan tentang adab
kalau hati sentiasa berselubung
berselindung menabir senyum
harum budi tidak tercium
rakus memamah iri
menelan segenap dengki.

Entah siapa antara kita
memiliki segala rasa
berhati kental jiwa
manis senyum tawa
saat senja memanggil malam
dunia semakin kelam.

Che Fauziah Idris
Kuala kurau
Perak
4 Nov 2012
2.57 pm

AKU

itu aku
bila berkarya dan bersajak 
laksana nadi dalam jiiwa.

mengucup kening alam alam
melambai ufuk timur
berbisik dengan hati nurani
mengintai lembayung petang
mencari makna cinta
menyibak deru angin
menitip sejuta salam
berteriak melantun ke langit mimpi
segala-galanya tertuang di dalam puisi.

dapatkah kubunuh diri
mati dalam rasa

aku berdialog sendiri
engkau jangan mendengar
tidak usah menilai
bila tidakmengerti bahasa alam.

Che Fauziah Idris.
Kuala Kurau.
Perak
3 Nov 2012
8.59 am



PERGI

nyah !!!...
bosan
aku di usir
tutup pintumu.

kabur nurani
hitam sukmaku
tidak secerah hatimu.

aku menatap dunia
melakar rentak pandang
bicara tentang rembulan
merenung melepasi awan.

hatiku berkata-kata
nyilu dan padu
cinta erat mengikat
kukuh terjerat
tak mungkin berpaling
memeluk segala rindu
puisiku menitip sendu.

bila engkau
tidak sudi memandang
tidak perlu lagi bertandang.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
2 Nov 2012
11.52 pm

SAKIT HATI


Sakit hati memakan diri
bagaikan daging ditusuk duri
sentiasa pentingkan diri sendiri
bermegah diri tidak terperi.

Sakit hati diam meniti
bertandangnya ia tidak dinanti
menusuk jantung bagaikan peniti
gelap pandangan dalam memerhati.

Sakit hati biar terlerai
masyarakat yang indah pecah berderai
kesatuan insan hancur berkecai
ranting ukhuwah patah terkulai.

Sakit hati punca berbalah
tidak menilai benar dan salah
maksud hati sukar ditelah
kalbu tertimbus dendam amarah.

Sakit hati mengundang bencana
bertindak buruk tanpa rencana
adab terpesong ke jalan hina
gunakan akal dengan bijaksana.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
2 Nov 2012
1.24 pm

SYAIR MENDUGA ( 1 )

SYAIR MENDUGA ( 1 ) 

Syair terukir mengungkap minda
buat memikir berlapang dada
dalam berkalam berpada-pada
agar kebahagiaan membawa redha.

Dalam hidup serba sederhana
jiwa terangkai mesra dibina
tidak bermegah di sini sana
mabuk asmara insan terlena.

Cinta sejati merantai hati
cinta palsu sukar dimengerti
bijaklah menilai dengan bestari
agar dapat kendali diri.

Carilah insan teguh beriman
sempurna dirimu dalam berteman
harum hatinya bak bunga di taman
abstrak jiwanya bagai seniman.

Akalnya tinggi tidaklah dangkal
bijak bertindak serta tawakkal
budi dan pekerti menjadi bekal
di kemudian hari tidak menyesal.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
31 Oct 2012
7.56 pm

SYAIR MENDUGA ( 2 )

Lagu bernama Pak Ngah Balik
dinyanyikan penyanyi bersuara gemersik
dalam pilih tilik menilik
gadis terpilih tentunya cantik.

Kelapa dikupas diambil sabut
buat menambak di tanah gambut
bila gadis berwatak lembut
luahan hati mudah bersambut.

Ikan bersisik si ikan siakap
kilau di air nampak gemerlap
lihatlah dulu watak dan sikap
jangan tersasar berbuat silap.

Naik buaian di hujung sana
dibuai angin sampai terlena
budi ditanam biar bermakna
jangan sekadar membawa hina

Kait rambutan gunakan galah
jangan dipanjat dahan yang sekah
sebelum terlanjur berbuat salah
baik berijab membawa nikah.

Che Fauziah Idris.
Kuala Kurau
Perak
31 Oct 2012
5.24 PM

KESETIAAN


Kesetiaan itu pautan hidup
segala kemanisan dapat dihirup
rasa bahagia datang menyusup
laksana bernaung di bawah redup.

Jangan mudah menabur janji
jika sukar untuk menepati
jadikan itu amalan murni
bila berjanji tidak mungkiri.

Janji setia biar berpada
jangan sekadar berkata-kata
usah manis bibir menggoda
sedang hati berbaur dusta.

Bila janji dihambur-hambur
hendaklah niat berhati jujur
bagai jarum dengan jelujur
sentiasa bersama setia dan akur.

Setia itu ukuran peribadi
mulia hatinya umpama sendi
bila bermadah berhati-hati
dapatlah kasih memberi erti.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak.
29 Oct 2012
1.34 pm

MARUAH


indah pada nama
kemashyuran memanjat darjat
hakikatnya punah ranah
bergelumang menguji maruah
mengencingi anak bangsa
memekakkan telinga
membuta tuli
pekik raung ledhaifan
tersekat di halkum ketamakan
tenggelam dalam kantung perut
dan senyum menguntai di bibir gemalai

hilang harga diri
memancing segala puji
kebinasaan maruah
me
ramu ucap bergula
pada keindahan janji dusta
laksana pepatung
bodoh dan sombong.

amanah yang terpikul
sekadar mengisi bakul
terpikul di bahu sendiri.

Che Fauziah Idris
Kuala kurau
PERAK
25 Oct 2012
3.35 pm.

JAGA

 

sepi mengigit
bintang mencumbu langit
sepoi dingin menyapa wajah
saat insan di lautan mimpi
mataku kebil menatap
memikul beban harap
tanpa peduli untung rugi
bergadai nyawa sendiri.

saat insan menghela nafas
lena yang panjang
aku di sini lelah mengalas
harap dalam mengharap
mengenggam amanah
menjaga jangan punah
demi kelangsungan hidup
biar perut anak isteri terisi penuh .

Sri Mawar
K.kurau
PERAK
24 Oct 2012
11.56 am

KERANA PUSAKA.



Harta pusaka harta warisan
silap dijaga guris perasaan
bukan dijanji secara lisan
harus tertera dalam utusan .

Harta diagih bukannya mudah
barang yang baik menjadi payah.
kerana harta boleh berbalah
saling menuduh berbuat salah

Harta warisan untuk jenerasi
elok diperlihara dengan serasi
bila diagih sesama sendiri
mengikut hukum ketentuan Illahi.

Harta diwaris mengikut wasiat
faraid pusaka biar bersurat
jangan jadi manusia pengelat
pembahagian harta membawa akhirat..

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
24 Oct 2012
10.35 am
Suka ·  ·