Thursday 20 December 2012

BAHAGIA



Senyumlah
biar semanis madu
meski disudut hati
 ada duka
dan barah lukamu
 masih memerah.

Ketawalah
biar melebar seringai
meski di lubuk jiwa
ada sengsara
dan derita laramu
masih meracun sukma.

Carilah
kebahagiaan sejati
biar lenyap mimpi ngeri
dan tidur malammu
berteman rindu hati
pada kecintaan Illahi.

Bila yang datang
sebagai kekasih abadi
hanyalah Dia
yang sentiasa mengasihi.
dan engkau lebih mengerti.

Sri Mawar
Kuala Kurau
Perak
20 Dis 2012
4.07 pm

BINGKAI MASA


Detik saat bagai menghambat
berlarilah masa tanpa menoleh
kemana arah kaki melangkah
hala tuju kehilangan arah.

Bila bunga dalam genggaman
kuncup layu sebelum kembang
engkau petik ketika kudup
harumnya tak mungkin semerbak
bila segarnya kau injak.

Masa bagai perlarian
memburu dan terlepas
terikat dan memburai

bila beban bagai hampas
harapan jatuh berkecai.

Bingkai masa
andai terhias indah
hidupmu seri menyerlah
bagai gemintang di malam kelam

sinarnya menerangi alam.
SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
20 Dis 2012
2.43 pm

EMBUN MENITIS



Malam
menangisi siang
insan terlena memuja duniawi
hatinya kelam
hari semakin hitam

Dinihari
embun menitis laju
bagai rembasan airmata
pilu menyesak dada
telatah manusia memungut alpa.

Subuh
ufuk mengintai celahan daun
dapatkahmentari menebar harap
insan terjaga dari lelap
dunia hanya sementara
mencari rahsia ke hujung senja.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
20 Dis 2012
1.18 pm


Wednesday 19 December 2012

BONGKAH HATI

BONGKAH HATI

Di telaga jiwaku tenggelam sebongkah rindu kukuh terpadu
di dalamnya tersimpan limpahan kasih sayang penuh menepu.

Tanpa leraian dari debu noda dan dosa
sunyi tersembunyi bersama degup jantung dan kocak rasa
bersenandunglah lagu cinta syahdu seluas benua
alam pun bercerita tentang sukma kita yang penuh rahsia.

Bila kusimpan ia di dalam batin
hingga sepatah kata pun tak mampu terdengar
risaulah aku andai terhempas di badai dusta
dan jiwa terkapai-kapai
tersingkir dari daerah kebenaran
terhimbau ke relung mimpi dan khayalan.

Lagu ini lagu kekasih
aku pun mengalun dendangan hati sedih
tidak mampu menatap
apa lagi meratap
bila nyanyian jiwa tanpa suara
kisah kita terbisu di bicara.

Siapakah yang mampu menyahut
teriakan kita yang terdengar sekadar berbisik
dengan lantang gema rindu bertamu
dan pintu kalbu engkau ketuk bertalu-talu
siapakah yang berani mendustai setia janji
bila setiap detik segalanya bagai diuji
sanubari kita menyimpan kalam
jauh dari cengkaman amarah dan dendam.

Kita pun merenung dari bayang ke bayang
hingga tersentuh bagai ada nafas dari getaran
lalu menoleh mencari-cari
khayalan di depan pintu kenyataan
tersedar dari igauan yang parah
cinta kita pun semakin berdarah.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
19 Dis 2012
21.30 pm

IBU (11)


Ibu

yang kucintai sepenuh hati
memohon berkat buat kami
namun terawal pergi
belum sempat terbalas budi
bila Illahi menghendaki
rumah kita pun menjadi sepi.

Ibu
nasihatmu amat berguna
masa depan teguh terbina
maruah keluarga tidak dihina
anak-anakmu tidak merana
semuanya terpaut 
pada kata pesan
dan segunung harapan.

Ibu.
biarpun kita terpisah
anak-anakmu sentiasa tabah
segala kepayahan mampu diredah
tidak ada gelisah
segalanya indah
dan padaMu do'a ditadah
rahmati ibu di alam barzakh.

SRI MAWAR
Kuala Kurau.
Perak.
19 Dis 2012

Monday 17 December 2012

BULAN RETAK

Mengapa harus tumbang
gagal berpohon rendang
menyekah tunas kecil
hijau pucuk daunan
layu di hujung julai.

Kenapa awan mendung
berarak bersama hujan
bila langit runtuh
pelangi malu mengintai
banjir melanda pantai.

Kalau saja
bulan retak seribu
pungguk menelan rajuk
tidak sudi memandang
walau rindu mengundang
bintang pun pecah
di kepak kelelawar.

Fatamorgana
membunuh jiwa
lara dalam ketawa
larut bersama masa
takdir
merubah segala.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
17 Dis 2012
4.48 pm

PERNAHKAH ENGKAU

Pernahkah engkau menangkap
sekilas isyarat dari sela-sela kehidupan
dalam sementara hayat
kentalnya terbisu di bicara.

Pernahkah engkau melihat
tempias kegusaran dalam benakmu
dalam kekalutan
rohanimu membeku di aksara jiwa.

Sungguh benar
andai kehidupan menjadi gersang
telaga jiwa kering kontang
duniamu fana
kenyataan diri
adalah sisa terbuang
pada lembayung petang.

Malammu
dapatkah engkau raih kerdip kejora
menerangi gelita jiwa
membuka pintu redha
bila sekian lama terbelit
di cemeti kehampaan
dan terang bulan
membias di dada.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
Dis 2012
6.54 pm

HIDUP INI

Dalam hidup ini
yang tersendiri 
hanyalah Dia
menjadi pemerhati
dan pemberi simpati.

Dalam hidup ini
yang mengerti
hanyalah Dia
membuka pintu
menerima tetamu.

Kita yang datang
sentiasa ditatang
meraih gemintang
kemilau cahaya
terserlah di dada.

Kasih tulus abadi
setia mengabdi
meneguk sejuta rahmat
dalam restu dan berkat
cinta munajat
kilauan akhirat.

SRI MAWAR
Kuala Kurau.
Perak.
14 Dis 2012
4.34pm

KASIH SAYANG

Engkau yang jauh
namun dekat
membelai rasa
memberi mesra
dalam persahabatan
merantai persaudaraan.

Engkau yang dekat
walaupun jauh
kekal terikat
dalam keluarga
kasih berbunga
merangkai setia.

Kita berkasih sayang
membina ukhuwah
dengan cemerlang
tanpa duka
saling ceria
penuh bahagia.

Engkau yang jauh
terlalu dekat dan mengikat.

SRI MAWAR
Kuala Kurau.
Perak.
14 Dis 2012
7.58 am

khusus buat abang ngah..Pak Ngah Omar di Singapura..

USAH MENANGIS

Usah menangis ,nak
kiranya telapak tanganmu menentu garis
jejak nasib timpa -menimpa
haluanmu di dalam gelita
teraba-raba
mencari -cari.

Usah gusar , nak
hidup hanya sementara
bila engkau sekadar buta
kakimu masih melangkah
tanganmu mampu menadah.
soal ihsan
soal kasihan
itu rezekimu
Allah menentu.

Insaflah nak
jalan hidupmu bukan sendiri
ada yang lebih tragedi
kehilangan segala upaya
cacat segala anggota
tanpa kaki
tanpa tangan
tanpa kehidupan.

Di Gaza
dan di mana-mana
mereka dibutakan ketika celik
tubuh legam terbakar
darah limpah meruah
nyawa jadi taruhan
punah dalam kekalutan
kekuasaan menjadi takhta
kekejaman membawa petaka.

Begitulah ketentuan
andai kecacatan terbawa lahir
dan musibah itu takdir
kemanusiaan menjadi mungkir
tadahkan tangan memanjat do'a
bersujud meresap segala syukur
ini tanah air kita
dan nafas ini
masih kita yang punya.

SRI MAWAR
Kuala Kurau.
Perak.
13 Dis 2012
8.39 pm

KALAU SAJA

Kalau saja
detik kiamat mendatang
pertaruhan bermula
antara riuh nafas
dan sepi dada
kita pun bertualang
hancur tulang belulang
atau mungkin
memikul kehinaan
sedarjat binatang.

Kita punya hati
namun tak kenal budi
bila punya jiwa
tidak seindah nama
mengutip sia-sia
dalam bentuk manusia.

Kita menjadi abu
dalam nafas debu.

SRI MAWAR
Kuala Kurau.
Perak.
12/12/2012.

SENJA


Kalau jinggamu 
mengantar pesan siang
cerita hari ini menganjak pergi
menyimpan sejuta rahsia
bersaksi detik waktu
menentu hala tuju.

Senja pun keliru
mimpi apa yang dititip
malam menanti
apa cerita ingin dilakar
coret moret bingkisan hidup
suka duka siang
apakah semanis harapan
atau sekadar sendu di pinggir jalan.

Kilau mentari merah
sayu merangkak tua
sepi pada bicara
maghribmu pilu
merintih insan yang terleka
bernafas dalam lumpur
debu dunia menyesak dada.

Dan malam
berjanjikah bahagia
andai senja yang datang
tidak berbekal pulang.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
4 NOV 2012


Hadiah saguhati tempat ke 4 THMK2

KITA PUN


Kita pun bercerita
tentang bulan bintang
di puncak awan
menjadi saksi
kebesaran Illahi
memberi seri.

Kita pun berbicara
tentang mentari hujan
rahmat dari langit
menjadi penawar
panas dinginnya bumi.

Kita pun mengkaji
tentang hidup
sebelum mati
dan pencarian
memberi erti
pada nilai yang hakiki.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
9 Dis 2012
8.13 pm

PEMUISI

Bila menjadi pemuisi
itu tidak semudah menghembur kata
laungan bagai mencincang bungkah hati
bicaranya tajam menikam
kadangkala lembut membelai
resap hati pemerhati
menafsir dengan sejuta erti
tidak ada yang tahu
laungannya membawa seru.

Kadang-kadang
emosi bermain di aksara
bagai nyawa sesak meronta
derita laranya tersisa
telaga puisinya berairmata
dalam esak sendu
tintanya menghiris kalbu.
atau senyum menguntum bait
bahagia saling melirik
berlagu nada jiwa.

Adakala
pandangannya menyimpang jauh
harapan menyimpul jenuh
membuka minda
semangat bagai pelita
aksara jiwanya bercerita
melambai daya fikir
bagai kalam penyair
membuka hati pentafsir
menjadi pengkaji
bukan sekadar cerca keji.

Manusia penyair
bermain di kolam tafsir
memerah keringat
dalam resuh resah semangat
atau menjadi lupa
pada rentak bicara
lalu menyimpannya
menjadi do’a.

Pemuisi
bila akhir zamannya menyepi
abadi terpahat
andai tertugu di sudut memori.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
9 Dis 2012
16.56 pm

KALA BULAN MENGINTAI

Bila takdir membelenggu
bulan tidak dapat mengecup keningmu
namun hasrat tak sampai 
sinarnya tetap sampai
kala bulan mula mengintai.

Andai bersentuhan
dalam pancaran emas
batinmu mengikat kemas
antara rohani dan jasmani
bulan tidak pernah lari
melengkungimu
dalam remang dingin.

Cintanya tetap nyata
menjadi satu
di bawah langit nan samar
kala mimpi mengulit sang camar.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
6 Dis 2012
10.47 pm.

MEMUJA BULAN


Akukan datang
andai diri terilham
memuja bulan
dan sinar gemintang
namun tangan tak sampai
resah gelisah tergadai
rindu sering bertamu
di gerbang malam
mengharap seuntai mimpi
menjadi realiti,

Namun aku kecundang
harapan jauh melayang
terumbang -ambing mencari masa
kealpaan tak mengenal jiwa
falsafah diri
diam tersembunyi
mencari hakiki
aku yang mati.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
6 Dis 2012
12.14 am.

Friday 30 November 2012

KERANA AKU

kerana aku malam 
engkau cari bintangmu
buat menghiasi langit mimpi. 

kerana aku laut
engkau cari bidukmu
buat melayari samudera kasih. 

kerana aku angin
engkau cari derumu
buat menghembus nafas rindu.

kerana aku cinta
engkau cari erti bahagia
buat mengapai keindahan syurga.

SRI MAWAR
Kuala Kurau.
Perak.
30 Nov 2012
12.18 am.

Thursday 29 November 2012

KADANGKALA


Dalam telaga penghidupan
terkadang jaringku menjerat alpa
melewati kegusaran nasib
mengaut sejuta rasa
pahit madu rencah dunia.

Kekadang aku berlari
mengejar masa yang lewat
kehampaan menambat
menjerat langkah
tersungkur di kalbu gundah.  

Kadangkala lupa memagar diri
jauh dari prasangka
sandiwara hidup
adalah penentu segala
lakonan di pentas dunia.

Bila segalanya mungkin
kepahitan menjadi penawar
simpulan getir
menguat pegangan
   
kala 
lelayang jiwa mulai melayah.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
29 Nov 2012
12.38 pm
   




YANG NYATA


Aku bukan isteri yang terbaik
buat lelaki sepertimu
namun aku bukanlah yang terburuk
pada pandangan batinmu.

Engkau pun
bukan seorang suami yang terbaik
di segenap perasaanku
namun engkau cukup mulia
menaungiku
dengan kesabaran
dalam jengkil hati.

Kita miliki jiwa yang lain
haluan yang berbeza
namun kita tetap punya cinta
sehalus sutera
menjadi pakaian hayat
menerima segala kekurangan
demi hidup seadanya

Dan kita pun bahagia
merenda penghidupan
menghiasi taman syurga
dengan kembang-kembang
 cahaya mata.

Che Fauziah Idris
Kuala kurau
Perak
29 Nov 2012
1.04 am.

Monday 26 November 2012

SELOKA PEKERTI


Kera di hutan disusui
anak di rumah mati kelaparan
santan segera dicari
kelapa luruh dibiar kekeringan
rajin orang disingkap
malas diri disimpan
malu tetangga dijaja
aib sendiri bertaburan
tidak sedar diri tertinggal
orang lain naik ke bulan
hidup asyik membanggakan pangkat
bangsa sendiri kehilangan darjat
apa dimegah harta melimpah
haram sesen buat sedekah
insan mulia menambah iman
awak mati dalam kehinaan.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
24 Nov 2012
12.00 pm.

Thursday 22 November 2012

LAUT BIRU MENGHIRIS RINDU


Laut yang berolak membiru rona
menitip rindu menguak dada
pada pilu saujana pandang
kian berulang tak mampu dikenang
airmatanya tumpah
pada sejuta janji dan sumpah.

Angin pun membisik salam
pada kenangan di wajah silam
lelah keringat nelayan tua
gigih berusaha menjaring laba
pilu matanya merenung jauh
lelah jiwanya terseksa jenuh.

Debur ombak merayu pantai
kecai dirempuh hujaman badai
mimpi semalam menjadi lebur
harapan musnah jiwa terkubur
menjaring matahari
senyumnya tidak berseri.

Di mana jiwamu tuan
pedih sendu tak keruan
kala rindumu membelai hati
telah jemu engkau menanti
tidak kunjung tiba
mesra kucupan puteri dan putera
nyilu yang dalam
kasih sayangmu tidak diselam.

Duhai anak-anak
kala nasi sedang ditanak
pada harapan tinggi menjulang
kalian diintai mimpi cemerlang
hatinya penuh bahagia
kudrat tercurah tidak bersisa.

Tapi di mana kini
penghuni di teratak sunyi
memujuk rawan diri
kala hidup membilang sepi
mati pun harus sendiri.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
22 Nov 2012
1.05 am

ROTI DAN PELURU



Kemana hilang segala rasa
kejam dan keji mainan jiwa
tidakkah hatimu tersayat luka
bila membedil bawa sengsara.

Kemana pergi rasa simpati
sedang lakumu patut dikeji
kenapa mesti sikapmu begini
bertuhankan syaitan beraja di hati.

Zalim dan hina membawa kecewa
Gaza ditempur menumpah bisa
darah melimpah tanpa bicara
mangsa yang malang apalah dosa.

Hancur rumah peluru memusnah
hilang penghidupan segalanya punah
hilang diri jantungnya lemah
tiap saat cemas memamah.

Anak kecil memungut roti
perutnya lapar tidak terperi
nasib diri tidak terkendali
nyawa direntap tanpa disedari.

Celaka sungguh zionis Israel
patut segera dihumban Izrail
hati insaninya tidak terpanggil
biar diseksa azab mengigil.

Wahai anak-anakku semua
andai pilihan ditanganmu jua
antara peluru , roti serikaya
mana mahumu bercitarasa.

Insaflah diri hidup didunia
jangan bersifat zalim dan hina
usah sikapmu suka menganiaya
kenanglah nikmat Allah kurnia.

Tidak selamanya menongkat langit
perangi nafsu teguh dan sengit
zalim dan dendam jangan melekit
mulianya hati jangan sedikit.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
21 Nov 2012
11.20 am

YANG TINGGAL


pernahkah engkau tahu
pantai hatiku punah di badai rindu
menjaring ketulusan cinta
mengintai wajahmu selayang pandang
mengukir bayangan di alam mimpi
pesona ayumu
menguntum senyum
aku pun merawan hiba
tatkala engkau tiada .

apa lagi yang membekas
kala cinta sedang memutih
hilang diterjang badai sengsara
harapan yang ditinggalkan
musnah terbuang
aku tidak lagi pulang
laksana camar yang goyah
kala sayapnya patah.

yang tinggal
hanya mimpi usang
disirna masa
mainan nostalgia
walau luka masih memerah
cintaku padamu tetap indah.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
18 Nov 2012
8.45 am

HIJRAH


Ayun temayun di langit maghrib 
lalu sepi pun mengintai kiblat
terbukalah pintu MuharramMU
pada tiap tadahan tangan
kala mengutip bekalan pulang
jejak insaf pun bertandang
kita pun berhijrah.

Arahkan tiap nadi rasa
pada seluruh aksara jiwa
selazat iman
sejernih tawaduk
dan seindah nurani
menjadi cahaya
kala diri melangkah
penuh mahabah
tanpa dosa
tanpa noda
muhasabah diri
mengamit redha Illahi.

Usir masa silam
pada kekosongan jiwa insani
hijrah dari kekalutan
pindah dari kezaliman
merdekakan jiwa
lepaskan diri dari belengu mimpi
nubari yang hampa
pada sejarah pengorbanan
kesia-siaan
adalah permainan hidup
pada hati yang kosong.

SRI MAWAR
Kuala Kurau.
Perak.
15 Nov 2012
2 .59 am..

Sunday 4 November 2012

RAKUS


Menderulah angin
membisik bahasa alam
bicara tentang laut
debur gelombang samudera
memukat duka segara
khazanah di laut dalam
dan anak anak talang
tercungap di kantung jaring
perih menerjang.

Rintih pepohon
desiran bayu bukit
menjerit bunga rimba
layu sebelum kembang
gegar makin menghakis
debu-debu pembangunan
menebar sebal.

Pagi dingin
embun berkeledak
tidak sejernih mimpi
semalam yang hangat
getir menyengat
ranting hidup
bertaut kalut
lancang mencincang
jenerasi pertualang.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
4 NOV 2012
6.34 am

SIAPA

Entah siapa sudi mendengar
tentang lakonan bercerita 
bila kepalsuan dunia
memugar ragam manusia
menginjak murni peribadi
memusar panah lirih
luka yang dalam
menghimpun kesumat dendam.

Entah siapa sudi melihat
aliran darah hanyir
pada kebusukan hati
membunuh kesucian murni
laungan benci dan hina
memantul gerak gema
alam keliling menatap
jantung hati meratap.

Entah siapa sudi menjawap
soalan tentang adab
kalau hati sentiasa berselubung
berselindung menabir senyum
harum budi tidak tercium
rakus memamah iri
menelan segenap dengki.

Entah siapa antara kita
memiliki segala rasa
berhati kental jiwa
manis senyum tawa
saat senja memanggil malam
dunia semakin kelam.

Che Fauziah Idris
Kuala kurau
Perak
4 Nov 2012
2.57 pm

AKU

itu aku
bila berkarya dan bersajak 
laksana nadi dalam jiiwa.

mengucup kening alam alam
melambai ufuk timur
berbisik dengan hati nurani
mengintai lembayung petang
mencari makna cinta
menyibak deru angin
menitip sejuta salam
berteriak melantun ke langit mimpi
segala-galanya tertuang di dalam puisi.

dapatkah kubunuh diri
mati dalam rasa

aku berdialog sendiri
engkau jangan mendengar
tidak usah menilai
bila tidakmengerti bahasa alam.

Che Fauziah Idris.
Kuala Kurau.
Perak
3 Nov 2012
8.59 am



PERGI

nyah !!!...
bosan
aku di usir
tutup pintumu.

kabur nurani
hitam sukmaku
tidak secerah hatimu.

aku menatap dunia
melakar rentak pandang
bicara tentang rembulan
merenung melepasi awan.

hatiku berkata-kata
nyilu dan padu
cinta erat mengikat
kukuh terjerat
tak mungkin berpaling
memeluk segala rindu
puisiku menitip sendu.

bila engkau
tidak sudi memandang
tidak perlu lagi bertandang.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
2 Nov 2012
11.52 pm

SAKIT HATI


Sakit hati memakan diri
bagaikan daging ditusuk duri
sentiasa pentingkan diri sendiri
bermegah diri tidak terperi.

Sakit hati diam meniti
bertandangnya ia tidak dinanti
menusuk jantung bagaikan peniti
gelap pandangan dalam memerhati.

Sakit hati biar terlerai
masyarakat yang indah pecah berderai
kesatuan insan hancur berkecai
ranting ukhuwah patah terkulai.

Sakit hati punca berbalah
tidak menilai benar dan salah
maksud hati sukar ditelah
kalbu tertimbus dendam amarah.

Sakit hati mengundang bencana
bertindak buruk tanpa rencana
adab terpesong ke jalan hina
gunakan akal dengan bijaksana.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
2 Nov 2012
1.24 pm

SYAIR MENDUGA ( 1 )

SYAIR MENDUGA ( 1 ) 

Syair terukir mengungkap minda
buat memikir berlapang dada
dalam berkalam berpada-pada
agar kebahagiaan membawa redha.

Dalam hidup serba sederhana
jiwa terangkai mesra dibina
tidak bermegah di sini sana
mabuk asmara insan terlena.

Cinta sejati merantai hati
cinta palsu sukar dimengerti
bijaklah menilai dengan bestari
agar dapat kendali diri.

Carilah insan teguh beriman
sempurna dirimu dalam berteman
harum hatinya bak bunga di taman
abstrak jiwanya bagai seniman.

Akalnya tinggi tidaklah dangkal
bijak bertindak serta tawakkal
budi dan pekerti menjadi bekal
di kemudian hari tidak menyesal.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
31 Oct 2012
7.56 pm

SYAIR MENDUGA ( 2 )

Lagu bernama Pak Ngah Balik
dinyanyikan penyanyi bersuara gemersik
dalam pilih tilik menilik
gadis terpilih tentunya cantik.

Kelapa dikupas diambil sabut
buat menambak di tanah gambut
bila gadis berwatak lembut
luahan hati mudah bersambut.

Ikan bersisik si ikan siakap
kilau di air nampak gemerlap
lihatlah dulu watak dan sikap
jangan tersasar berbuat silap.

Naik buaian di hujung sana
dibuai angin sampai terlena
budi ditanam biar bermakna
jangan sekadar membawa hina

Kait rambutan gunakan galah
jangan dipanjat dahan yang sekah
sebelum terlanjur berbuat salah
baik berijab membawa nikah.

Che Fauziah Idris.
Kuala Kurau
Perak
31 Oct 2012
5.24 PM

KESETIAAN


Kesetiaan itu pautan hidup
segala kemanisan dapat dihirup
rasa bahagia datang menyusup
laksana bernaung di bawah redup.

Jangan mudah menabur janji
jika sukar untuk menepati
jadikan itu amalan murni
bila berjanji tidak mungkiri.

Janji setia biar berpada
jangan sekadar berkata-kata
usah manis bibir menggoda
sedang hati berbaur dusta.

Bila janji dihambur-hambur
hendaklah niat berhati jujur
bagai jarum dengan jelujur
sentiasa bersama setia dan akur.

Setia itu ukuran peribadi
mulia hatinya umpama sendi
bila bermadah berhati-hati
dapatlah kasih memberi erti.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak.
29 Oct 2012
1.34 pm

MARUAH


indah pada nama
kemashyuran memanjat darjat
hakikatnya punah ranah
bergelumang menguji maruah
mengencingi anak bangsa
memekakkan telinga
membuta tuli
pekik raung ledhaifan
tersekat di halkum ketamakan
tenggelam dalam kantung perut
dan senyum menguntai di bibir gemalai

hilang harga diri
memancing segala puji
kebinasaan maruah
me
ramu ucap bergula
pada keindahan janji dusta
laksana pepatung
bodoh dan sombong.

amanah yang terpikul
sekadar mengisi bakul
terpikul di bahu sendiri.

Che Fauziah Idris
Kuala kurau
PERAK
25 Oct 2012
3.35 pm.

JAGA

 

sepi mengigit
bintang mencumbu langit
sepoi dingin menyapa wajah
saat insan di lautan mimpi
mataku kebil menatap
memikul beban harap
tanpa peduli untung rugi
bergadai nyawa sendiri.

saat insan menghela nafas
lena yang panjang
aku di sini lelah mengalas
harap dalam mengharap
mengenggam amanah
menjaga jangan punah
demi kelangsungan hidup
biar perut anak isteri terisi penuh .

Sri Mawar
K.kurau
PERAK
24 Oct 2012
11.56 am

KERANA PUSAKA.



Harta pusaka harta warisan
silap dijaga guris perasaan
bukan dijanji secara lisan
harus tertera dalam utusan .

Harta diagih bukannya mudah
barang yang baik menjadi payah.
kerana harta boleh berbalah
saling menuduh berbuat salah

Harta warisan untuk jenerasi
elok diperlihara dengan serasi
bila diagih sesama sendiri
mengikut hukum ketentuan Illahi.

Harta diwaris mengikut wasiat
faraid pusaka biar bersurat
jangan jadi manusia pengelat
pembahagian harta membawa akhirat..

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
24 Oct 2012
10.35 am
Suka ·  ·

Tuesday 23 October 2012

SESETIA KATA.


Dalam ikatan pasangan kekasih
jalinan cinta memutih jernih
seia sekata tiada tersisih
itulah hakikat cinta yang bersih .

Sesetia kata madah terucap
sematkan di hati ikrar diserap
tidak akan memesong harap
memelihara cinta di dalam adab

Cinta suci memberi erti
bersama bersusah sebelum mati
masa depan sama meniti
itulah ikatan bahagia sejati.

Waktu berjanji jangan mungkiri
sama berjuang baiki diri
jangan mementing diri sendiri
dapatkan cinta indah berseri.

Bila bercinta terasa indah
jangan di buat perkara mudah
ingat selalu kemurkaan Allah
jangan terjerumus ke jalan salah.

Bila cinta sudah temeterai
jagalah ia jangan terlerai
ranting kasih jangan terkulai
airmata jangan di derai.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
23 Oct 2012
10.26 am

KATAKAN SAYANG



Katakan sayang sepenuh hati
ikhlas bersemi memberi erti
harapan hidup bahagia sejati
itulah impian suami isteri.

Bila hidup berlimpah cinta
setiap masa do’a dipinta
jauhkan azab seksa derita
hati bercahaya bagai pelita.

Sayangi saudara , kasihi keluarga
lingkungan hidup bagaikan syurga
berlaku kejam tidaklah tega
pastilah hidup aman sentosa

Ibubapa jangan dialpa
sanak saudara jangan dilupa
kenang segala budi dan jasa
hidup pun damai dalam sejahtera.

Kaum keluaga jangan di abai
sahabat handai kasih membelai
lemah lembut tutur gemalai
iman dan takwa jangan terkulai.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
22 Oct 2012
11.43 pm
Suka · 

PERSIMIS


gersang lesu
saat kerikil tajam menikam
terkoyak jiwa
pecahnya kubu cita.

nafas memberat
gelisah berkarat
sialan pecundang
mencincang rentak juang.

semangatlah
bangkit menerjang
usah peduli nista hina
kata bicara bernoda
sinis mentertawa
hati yang retak.
lusuh dan koyak,

bangkitlah
rajut kental diri
membuka lembaran
beri cahaya di sudut gelap.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
21 Oct 2012
2.46 pm

BANGUN SETELAH JATUH.


Dalam hidup sentiasa teruji
setiap kemelut harus dikaji
tanpa ikhtiar tidak tersaji
daya usaha membawa puji.

Angan –angan boleh dibaja
asalkan sanggup tekun berusaha
semaikan hajat teguh upaya
pastikan dapat mencapai jaya.

Bila hidup mengendong hasrat
tidak mengira taraf dan darjat
seiring do’a restu dipanjat
mohon dicapai segala hajat

Jika tidak mencapai impian
janganlah mengeluh turut perasaan
gandakan usaha janganlah bosan
kesungguhan pasti ada balasan.

Bila cita tercapai sudah
bersyukur selalu tangan tengadah
hidup di dunia tidaklah mudah
tekun dan sabar membawa indah.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
20 Okt 2012
2.34 pm

LIDAH TAK BERTULANG.


Bila lidah tidak bertulang 
setiap janji diulang –ulang
dalam putih hatinya belang
senyum muslihat jiwa pertualang.

Bila ucap sekadar kata
niat yang buruk berbaur dusta
setiap madah indah serata
penuh daya tiada dikota.

Bagai siakap dengan senohong
jangan suka jadi pembohong
bila susah tiada yang tolong
punah sahabat hidup melopong.

Jangan jadi manusia pembelit
tidak menyimpan rahsia sulit
melihat kebenaran hatinya sakit
dalam jiwa hasad berpalit.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
18 Oct 2012
5.06 pm

DALAM


Dalam embun kita cari makna titisan
dalam gerimis kita resapi erti rahmat
dalam terik kita menilai lelehan keringat
dalam bahang resah gelisah menerjang
dalam suka terkait rasa teruja
dalam duka engkau tahu getir sengsara
dalam tawa bahagia basahkan jiwa
bila hidup dan mati menjadi saksi
kelangsungan hayat memberi seribu erti.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
17 Oct 2012
11.27 am

AYAH


Ayah
biar kutemanimu
sebagai penyemarak
kibarkan semangatmu
memagut mimpi
menjadi realiti.

Ayah
aku tidak mahu bermimpi
kerna igauan itu
adalah lena panjang
yang menyekat detik juang.

Ayah
biar kugabus keringat lelahmu
merenung ronarona bening mata
suramnya menjerih
dukalara biar titis
usaplah di ubun-ubunku
agar jejakku beriring restu.

Ayah
aku ingin bawamu bulan
bila jemari tidak tergapai
sinarnya biar sampai.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
17 Oct 2012
10 05 am

SELIMUT RINDU


Angin pun berhembus
meraup gigil sepi malam
menunggumu mengamit bulan
sambil mengira butir bintang
tersingkaplah selimut rindu
berbantalkan hasrat
mimpiku menjelajah tujuh lautan.

Kita pun bercinta penuh rahsia
kujejak harapan sejauh mungkin
pelangi kasih tinggi mengawang
mengintai di sebalik awan
cahaya cinta mula meliuk
menunggu padam
rona mesra melakar suram.

Kalau aku harus memilih
melempar jauh kesangsian takdir
kubiarkan engkau berlalu
tinggalkan jejak kasih
bila badai mula menghempas
laluan kita kehilangan bekas.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
17 Oct 2012
8.53 am

DARI KATA KENAL BUDINYA


Senyum kembang bagaikan kekwa
wajah ceria bahasa jiwa
geletek hati lontar ketawa
tanda hati tidak kecewa.

Indah budi kerana pekerti
luas pandangan dalam memerhati
bila bercakap sentiasa teliti
sentiasa ikhlas jernihkan hati.

Wajah cantik bukan gambaran
tampan bergaya bukan nilaian
budi bahasa jadi pilihan
hati nurani jadi ukuran.

Pangkat dan harta sekadar pelengkap
iman dan takwa biar bertetap
paling penting membentuk sikap
kasih sayang setia merakap.

Waktu bercinta penuh gelora
patut peduli noda dan dosa
bila sudah berumah tangga
harus menempuh suka dan duka.

Che Fauziah Idris
Kuala kurau
Perak
16 Ogos 2012

DIAM 11


Ungkapan mati
sipu terharu
pada bisik malam
cengkerik bersenandung.

Hati riuh berbicara
raungan di sukma
berteriaklah
puaskan hatimu
usah peduli
andai ragamu teruji.

Lelah
cungap mengharap
membisu tanpa gema
senyap sunyi
diam lebih bererti.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
15 Oct 2012
12.32 am

KANVAS HIDUP

 
Kelmarin
kita lakar dengan sejuta cerita
warna-warni memutar
pada berus hayat
dalam relung langit
alam membias cahaya.

Hari ini
kita mencorak kanvas
potret harapan
terbentang tak berwajah
rona hitam memalit
putih dan ungu
terbiar kaku.

Esok
lukisan kita tanpa wajah
kanvas memudar
lakaran bernoktah
suram dan kusam.

Kalau saja
matahari bersaksi
gerak jemari
dan rentak langkah
adalah pesongan takdir
bingkai hidup
terbiar kosong.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
14 0gos 2012
10.37am

KASIH ITU SUATU IKATAN.


Kasih sayang pautan hati
setia mengikat jalinan budi
indah bersantun bersih nurani
itulah lambang cinta sejati.

kasih terbelai bawa bahagia
harap berkasih memberi mulia
jauh dari noda dan dosa
biar kekal bawa ke syurga.

kasih sayang bukan mainan
berhati luhur berserta iman
seumur hidup rela berteman
serumah tangga memberi aman.

Sri Mawar
Kuala Kurau
Perak
11 Oct 2012

KUSIMPAN SEGALA


Kusimpan segala rindu
duniaku tempat aku merejam duka
membilang hari dengan sejuta rahsia
melerai mimpi dan resam durjana
aku pun lali dalam resuh resah
igauan menjadi debu
hasrat dirangkul pilu.

Kusimpan setiap impian
bila lerai segala harapan
agar dapat bangun meniti hidup
meraih semangat diri
mengenggam segala hakiki
dunia pun menjadi fana
cahaya nurani melengkari segala.

Duniaku kian bertukar
desau rindu terlempar jauh
lupa segala kusut kusam
rencah lara yang kejam
biar sengsara mengelepar
andai derita meraung lapar
cekikan di dalam dada
adalah gumpalan dosa-dosa
lalu menginjak pergi
membuka khilaf diri.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
10 Oct 2012
11.56 pm

SESEKALI


Sesekali engkau berhak
menjadi kurang ajar
untuk membentuk keyakinan diri
tidak membuta tuli
diinjak- injak ketakutan
membungkam hasrat
pada belenggu perintah
dan turutan kata .

Sesekali engkau harus belajar
menghormati diri
bila sesuatu itu
menyimpang dari kebenaran
menegakkan hak
beranilah memberontak
bukan kerana kekurangan adab
biarpun engkau perlu biadab
demi menyata harap.

Sesekali engkau
perlu cemburu
bergegas dengan waktu
mencapai keyakinan
menentukan pedoman
tidak perlu merintih
dalam luka yang pedih
tabah merantai
gigih merangkai
dalam angan dan ketelusan
lalu menjadi diri sendiri.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak

KARIPAP


Panas..,panas..!!!
karipap berasap 
mencuit rasa
menelan liur
perit mengigit
lapar pun mengelupur
angan mengecur
lemak pedas inti
rangup kenyal berisi
adalah titik airmatanya.

Sayu memandang
telapak tangan kosong
gelandangan
anak kecil di jalanan
apa dosa
kukunya hitam
lesu terbiar
kumal dan usang;

Debu-debu berterbangan
adalah mimpi manis
sinar nampak terang
gelita dalam diri
merayap
hasrat meronta
di mana ibu
ke mana ayah
jejak kakinya lesu.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
23 Sept 2012
11.24 pm.