Saturday 14 April 2012

TITIAN HASRAT

Matahariku tersipu malu
kala bening sepinya kutatap
menyelinap di antara daunan merimbun
lalu kusapa dengan salam bertekad
hari ini bakal kujelang
dengan semangat membara
dan harapan akan kusemai
dengan iktikad menyala.
menjadi rindu yang berpadu
antara semangat dan kerohanian.

Lalu kuiklas menguntum senyum
bila mimpi semalam tak memberi nyata
igauan kelmarin berlalu tak menyapa
lalu hasrat yang bergelora
antara kecewa dan cita-cita
kugenggam sepadu kukuh
melerai ditebing usaha
meniti ketangga jaya
andai Tuhan memberi ruang
keyakinan menyatu dalam diam.

ANUGERAH CINTA


Bercinta tak pernah salah
bila ia satu anugerah
perasaan tak mampu diduga
bila hadir mengocak rasa
rindu makin membelenggu
bila ingatan makin celaru
sayang kian membayang
saat hati kian mengenang.

Bercintalah selagi terdaya
bila bisikan sukma saling menyapa
andai takdir mendesir hadir
rintihan nurani mudah ditafsir.

Bila tetamu cinta membawa bahagia
biar usia di penghujung senja
andai jingga perasaan memerah warna
seri hidup tak mudah layu
mesra harapan makin mencumbu
lalu hidup pun makin terisi
bila pengabdian memberi erti.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
13 April 2012

Friday 13 April 2012

YAUMUL JUMUAH


Yaumul Jumuah pengulu hari
senyum pagi kembang berseri
tingkatkan prestasi kurangkan kontrovesi
kuatkan ibadah muliakan peribadi.

Hari Jumaat mempunyai berkat
hari saksi para malaikat
perbanyakkan segala amalan sunat
di hari Jumaat diberi manafaat.

'Saiyyidul Ayyam' di hadis Rasullullah
banyak kebaikan nabi berkisah
taatlah kita kepada Allah
mengikut perintah dan segala sunnah.

Hari Jumaat hari istimewa
hari beramal orang bertakwa
jangan turutkan hati kecewa
mantapkan nurani ,,raga dan jiwa.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
13 April 2012

WASPADA DIRI

Nasi sudah menjadi bubur
andai harapan sudah terkubur
semangat diri semakin kabur
segala impian menjadi lebur..

Hasrat hati segala yang indah
malang diri mahu disanggah
bila sikap mengambil mudah
ditimpa bahana membawa padah.

Bagaikan buaya di air tenang
harus waspada bila berenang
jadi pemimpin bukannya senang
bukan sekadar bersenang-lenang

Amat susah membentuk pekerti
jika sekadar bersenang hati
segala perkara perlu diamati
jadilah manusia yang dihormati.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
12 April 2012

SESAL DULU PENDAPATAN

Sesal dahulu pendapatan
muhasabah diri di awal perbuatan
sebelum kecewa diberi peringatan
jangan termakan hasutan syaitan.

Kalau hidup mengambil mudah
tiap perkara endah tak endah
tidak mahu bersusah payah
akhirnya diri menerima padah.

Sesal kemudian tidak berguna
berfikir dahulu sebelum terkena
janganlah berleka bena tak bena
mudah-mudahan minda tercerna.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau.
Perak
11 April 2012

JANJI ITU SATU AMANAH

Dalam berjanji berkalam kata 
hendaklah benar memberi nyata
jangan hanya bijak berkata
janji ditabur wajib dikota.

Bila berjanji jangan mungkiri
lihatlah pada kemampuan diri
andai janji tidak ditepati
akan hilang percaya diri.

Janji itu satu amanah
menepati janji janganlah lengah
nasib diri disumpah seranah
andai kepercayaan menjadi punah.

Mengucap kata sangatlah kencang
menyusun janji berbilang-bilang
bila mungkir dikenang orang
persahabatan indah menjadi renggang.

Memberi janji setiasa berdegar
meyenangkan hati bila mendengar
namun bila amanah diingkar
Allah mengeji perkara mungkar.


KENDALI DIRI

Berhati-hati meniti hari
biarlah sempurna kendali diri
kalau iman tidak dicari
seperti siang tiada mentari.

Jangan bertindak mengikut nafsu
terombang ambing sudahlah tentu
natijah yang buruk pasti berlaku
andai syaitan sentiasa bersekutu.

Akhlak mulia ibarat pelita
menjadi penyeri di malam gelita
kalau tersasar membawa derita
hidup dihina di alam semesta.

Hidup ini penuh percaturan
biar hidup ada peraturan
akhlak berkembang sejajar keimanan
tingkatkan potensi meraih pembangunan.

Manusia harus menerima hakikat
syaitan sentiasa membawa sesat
kukuhkan iman dalam munajat
pasti hidup membawa berkat.

Saturday 7 April 2012

SETIA MUAFAKAT

Bersatu teguh bercerai roboh
pepatah melayu begitu ampuh
semangat waja menentang musuh
andai petaka datang merusuh.

Musuh ditentang khidmat cemerlang
menjulang nama negara terbilang
bercerai roboh hasrat tergalang 
setia muafakat para pejuang.

Bila perpaduan dapat dicerna
1 Malaysia dalam wacana
bersatu teguh memberi guna
negara makmur rakyat sempurna.

Kukuh besatu tidak berbalah
segala kerja menjadi mudah
damai harmoni begitu indah
Malaysia tersohor begitu megah.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
7 April 2012

BAHASA BERBISA MENUSUK DADA

Kala lidah sedang menyapa
andai terungkap seribu kata
penuh hina dan caci nista
akan membuat hati terluka.

Lidah itu bagai senjata
amat hebat kala mengata
sangat tajam dalam nyata
pasti membibit punca sengketa.

Bahasa tajam menusuk dada
tidak meghirau dosa pahala
andai hati telah terluka
akan terseksa jiwa dan raga.

Sifat begini tidak terpuji
andai terucap seribu maki
dipandang orang penuh benci
kehilangan teman sendiri yang rugi.

Kita hidup dalam dunia
berbuatlah baik antara sesama
jangan bersengketa tak memberi guna
selamanya orang memandang hina.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
6 April 2012

WAHAI BANGSAKU


Hati yang kelat bibit mudarat
umpama besi menyimpan karat
jika dibiar terus melarat
alamat bangsaku di ambang sakarat.

Wahai bangsa sedarlah segera
jauhkan diri dari sengketa
merdeka jiwa merdeka bangsa
pasti harmoni segenap warga.

Darah merah sama diwarna
ciptaan Allah empunya kurnia
bila hidup penuh rencana
wacana minda dapat dicerna.

Che Fauziah Idris
Kuala Kuala Kurau
Perak
5 April 2012.

LAGAK SOMBONG


Bangga diri , riak dan sombong
buruk peribadi ego melambung
menjadi kebencian sendiri menanggung
lagaknya bagai si ayam sabung.

Sifat begini kurangnya iman
bermuka-muka tak memberi aman
hidup di pulau rakan dan teman
dibenci orang sepanjang zaman.

Megahnya lagak hebat merasa
berhidung tinggi mendabik dada
sifat begini membibit sengketa
orang pun benci Allah pun murka.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
4 April 2012

MULIA PEKERTI


Lembut bicara hemah berbudi
tidak pentingkan diri sendiri
muhasabah diri mulia pekerti
itulah umat muslim sejati.

Biarlah hidup mengikut panduan
akhlak sempurna bersalut iman
perkara baik menjadi pedoman
muhasabah diri sentiasa berteman.

Hadis dan Al'Quran menjadi pelita
bagai penyuluh di dalam gelita
jangan hanya bijak berkata
belagak sombong bagai pendita.

Mulia pekerti sentiasa berbakti
hidup berbudi membawa mati
nama yang baik orang memuji
nama yang buruk pula dikeji.

Hidup di dunia banyak pancaroba
penuh pesona tipu dan daya
jadi pemimpin jangan haloba
di tangan musuh mudah terpedaya.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
3 April 2012

ROSAK AKIDAH

Hidup ini penuh pengalaman
asam garam dalam kehidupan
kalau hidup berlandaskan iman
setiap yang elok jadikan panduan.

Berjiwa songsang jangan diikut
berbuat dosa haruslah takut
jangan dirosak minda pengikut
berlindung di sebalik jiwa penakut.

Rosak akidah mengundang bala
menentang arus tak tentu hala
berfikir tenang nafas dihela
menjaring akal minda dijala.

Kita hidup bebas di dunia
biar sementara memberi guna
jangan bergelumang keji dan hina
sampai masanya alamkan fana.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
2 April 2012

KEMELUT HIDUP


Saat menyapa senyummu di ufuk timur
kerlip sinarnya menyelit malu di balik awan
dedaunan masih bermandi embun
kembang pagi mengungu megah
lalu kita pun berbicara tentang rezeki
bersama secawan kopi dan sepotong roti.

Mentari pun makin menyerlah
keringat menitis memunggah laba
hitungan hari bersahaja
tanpa sedar tahun makin tua
sedang kemelut nasib tak merubah warna
selamanya di dalam sesak
lorong hidup tetap menyempit
dalam rongga nafas dan bebanan hidup.

Malam pun mula datang berlenggang
jingga senja makin terbenam
penat lelah belum pun hilang
besukkan jelang lagi
andai warnanya tetap sama
dan dada masih berombak
lalu takdir yang bisa melukis
pudar terangnya di kanvas hidup.

MELAKA INDAH

Negeri Melaka sudah tersohor
di mata dunia sudahlah masyur
tempat pelancung datang berlibur
di Taman Buaya hati terhibur.

Tersergam indah kota bersejarah
Melaka gagah indah dan megah
terhindar dari tipu dan helah
hasutan penjajah endah tak endah.

Pemimpin berwawasan mindanya cerdik
semangat berdagang diasuh celik
setiap barangab berkualiti dan cantik
gadis perdagang senyum melirik.

Indah sungguh negeri Melaka
sekali melawat tak pernah lupa
rakyatnya mesra ramah belaka
pengunjung teruja sentiasa disapa.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
1 April 2012

SEPI LARANYA

Derap langkah bersepatu tumit tinggi
tas tangan dari kulit buaya
kebayanya dari butik
bercermin mata gelap
keretanya berjenama mewah
menelusuri pinggir bukit
lalu banglonya ditinggal dalam sepi.

Hatinya sunyi
airmata duka terbelenggu dalam sebak dada
rindu yang terkurung tak siapa menduga
anak-anak entah di mana
tak tersapa khabar berita
kesebukan menjadi jurang
sakit peritnya tak pernah terpandang.

Lelaki yang pernah bergelar suami
kini menghilang sudah
berlalu dalam pelukan kekasih
yang menimbulkan bibit cemburu
dan kasih sayang semakin membeku
lalu menjadi lagu sepi
seorang wanita kehilangan suami.

Siapa pernah tahu
andai hasratnya bercelaru
mengharap titik mula kehidupan
dalam mencari kebahagiaan sendiri
namun hasrat tak nampak nyata
tersembunyi dalam seribu rahsia .

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
1 April 2012

CINTA TAK BERMATA


Tak aku pernah sakit
bila direjam cacian nista
atau libasan cemeti berduri
bila perisai cintamu menahan
melindungiku dengan setia 
memberi hidup 
pada hasratku yang mati

Namun
aku sentiasa sakit
bila dicengkam seksa dan derita
dari kepalsuan cintamu
bila kau tusukan aku
dengan belati berbisa
lalu kau lemparkan aku
ke dalam neraka dunia
dalam luapan cemburu dan ragu.

Inilah angkara cinta buta
yang tak pernah ku sedar
andai matahatinya telah tiada.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
27 Mac 2012

GURU DI DESA

Apa dibanding khidmat bakti
segala ikhtiar sudah diberi
guru di desa terus teruji
minda muridnya perlu dikaji.

Segala usaha terus ditabur
pelajar dicerna akalnya subur
apakan daya pelajarnya mundur
asalkan bakti iklas dan jujur.

Guru mengajar pelbagai bangsa bangsa
walau di kota maupun desa
andainya kemudahan sama dirasa
guru mendidik tak kira masa.

Segala usaha sudah diberi
pelajar leka sendiri yang rugi
prestasi mundur guru dikeji
ubahlah sikap merugikan diri.

CHE FAUZIAH IDRIS
KUALA KURAU
PERAK
26 MAC 2012

BAGAIKAN ULAR

Ular membelit di dalam semak 
begitulah bidalan orang yang tamak
helah menipu sentiasa gamak 
bagaikan minyak menepu lemak.

Bagaikan ular menyusup sasap
kerja mematuk di kala lelap
andai terleka dalam mengharap
alamat diri jatuh tertiarap..

Dalam bicara helah belaka
pandailah pula bermuka-muka
kalau kita mudah terpedaya
mudah tertipu di dalam leka.

Pengkhianat negara petah berkata
mengadu -domba bermaharaja -lela
laba di kutip menimbun harta
asalkan hajat dapat dikota.

Jangan amalkan sifat begini
kalau terbongkar orang pun benci
nama disebut sentiasa dikeji
insan begini sentiasa merugi.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau Perak
28 Mac 2012

SELEMBAR BENANG MENJADI KAIN

Benang terjalin tenunan melayu 
songket bermutu buatan Terangganu
dipakai indah gadis nan ayu
segar warnanya sedari dulu.

Benang ditenun menjadi kain
buat dipakai di majlis kahwin
indah tersohor kenegara lain
halus buatan begitu yakin.

yakin dan cermat sentiasa tenang
sabar menenun berlembar benang
hasil terindah mata memandang
buatan tangan sentiasa dikenang.

Pepatah melayu sering berkata
selembar benang menjadi kasa
asalkan tekun giat berusaha
segala ikhtiar akan menjadi laba.

CheFauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
29 Mac 2012.

MELAKA INDAH TERUKIR SEJARAH

Sejarah tertulis di dalam fakta
kesultanan bermula disini bercerita
begitu masyur negara kita
dipugar belantara menjadi kota.

Melaka tercipta mengukir sejarah
berdiri teguh,kukuh dan megah
empat sahabat bersama Hang Tuah
di negeri ini khidmatnya gagah.

A Famosa tempat singgahan
ramai pelancung buat lawatan
perigi Hang Tuah dilupa jangan
sejarah tersurat begitu menawan.

Taman Buaya di Ayer Keroh
tempat buaya duduk mengeluh
Hutan Reakreasi menunjuk geruh
Muzium Orang Asli empunya contoh.

Berbagai lagi sejarah dikaji
disini juga Parameswara diuji
mesra Melaka memberi janji
untuk pelawat sentiasa dinanti.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
30 Mac 2012

JASA TUN PERAK

Bendahara Seri Paduka Raja
amat berpengaruh dalam kerjaya
membina empayar ke mercu jaya 
Melaka terkenal dengan jasanya

Tun Perak bendahara ke lima
mentadbir Melaka dengan saksama
segala kebijaksanaannya sultan menerima
namun di hati manusia tak sama.

Hati yang dengki sentiasa teruji
sakitnya hati sentiasa mengeji
kepada sultan dihasut berani
akhirnya Tun Perak terkorban diri.

Fitnah berkuasa sultan teruja
jatuhkan hukuman tanpa periksa
menyesal sultan berputus asa
bila Melaka dihuru -hara.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
31 Mac 2012