Tuesday 23 October 2012

SESETIA KATA.


Dalam ikatan pasangan kekasih
jalinan cinta memutih jernih
seia sekata tiada tersisih
itulah hakikat cinta yang bersih .

Sesetia kata madah terucap
sematkan di hati ikrar diserap
tidak akan memesong harap
memelihara cinta di dalam adab

Cinta suci memberi erti
bersama bersusah sebelum mati
masa depan sama meniti
itulah ikatan bahagia sejati.

Waktu berjanji jangan mungkiri
sama berjuang baiki diri
jangan mementing diri sendiri
dapatkan cinta indah berseri.

Bila bercinta terasa indah
jangan di buat perkara mudah
ingat selalu kemurkaan Allah
jangan terjerumus ke jalan salah.

Bila cinta sudah temeterai
jagalah ia jangan terlerai
ranting kasih jangan terkulai
airmata jangan di derai.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
23 Oct 2012
10.26 am

KATAKAN SAYANG



Katakan sayang sepenuh hati
ikhlas bersemi memberi erti
harapan hidup bahagia sejati
itulah impian suami isteri.

Bila hidup berlimpah cinta
setiap masa do’a dipinta
jauhkan azab seksa derita
hati bercahaya bagai pelita.

Sayangi saudara , kasihi keluarga
lingkungan hidup bagaikan syurga
berlaku kejam tidaklah tega
pastilah hidup aman sentosa

Ibubapa jangan dialpa
sanak saudara jangan dilupa
kenang segala budi dan jasa
hidup pun damai dalam sejahtera.

Kaum keluaga jangan di abai
sahabat handai kasih membelai
lemah lembut tutur gemalai
iman dan takwa jangan terkulai.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
22 Oct 2012
11.43 pm
Suka · 

PERSIMIS


gersang lesu
saat kerikil tajam menikam
terkoyak jiwa
pecahnya kubu cita.

nafas memberat
gelisah berkarat
sialan pecundang
mencincang rentak juang.

semangatlah
bangkit menerjang
usah peduli nista hina
kata bicara bernoda
sinis mentertawa
hati yang retak.
lusuh dan koyak,

bangkitlah
rajut kental diri
membuka lembaran
beri cahaya di sudut gelap.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
21 Oct 2012
2.46 pm

BANGUN SETELAH JATUH.


Dalam hidup sentiasa teruji
setiap kemelut harus dikaji
tanpa ikhtiar tidak tersaji
daya usaha membawa puji.

Angan –angan boleh dibaja
asalkan sanggup tekun berusaha
semaikan hajat teguh upaya
pastikan dapat mencapai jaya.

Bila hidup mengendong hasrat
tidak mengira taraf dan darjat
seiring do’a restu dipanjat
mohon dicapai segala hajat

Jika tidak mencapai impian
janganlah mengeluh turut perasaan
gandakan usaha janganlah bosan
kesungguhan pasti ada balasan.

Bila cita tercapai sudah
bersyukur selalu tangan tengadah
hidup di dunia tidaklah mudah
tekun dan sabar membawa indah.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
20 Okt 2012
2.34 pm

LIDAH TAK BERTULANG.


Bila lidah tidak bertulang 
setiap janji diulang –ulang
dalam putih hatinya belang
senyum muslihat jiwa pertualang.

Bila ucap sekadar kata
niat yang buruk berbaur dusta
setiap madah indah serata
penuh daya tiada dikota.

Bagai siakap dengan senohong
jangan suka jadi pembohong
bila susah tiada yang tolong
punah sahabat hidup melopong.

Jangan jadi manusia pembelit
tidak menyimpan rahsia sulit
melihat kebenaran hatinya sakit
dalam jiwa hasad berpalit.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
18 Oct 2012
5.06 pm

DALAM


Dalam embun kita cari makna titisan
dalam gerimis kita resapi erti rahmat
dalam terik kita menilai lelehan keringat
dalam bahang resah gelisah menerjang
dalam suka terkait rasa teruja
dalam duka engkau tahu getir sengsara
dalam tawa bahagia basahkan jiwa
bila hidup dan mati menjadi saksi
kelangsungan hayat memberi seribu erti.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
17 Oct 2012
11.27 am

AYAH


Ayah
biar kutemanimu
sebagai penyemarak
kibarkan semangatmu
memagut mimpi
menjadi realiti.

Ayah
aku tidak mahu bermimpi
kerna igauan itu
adalah lena panjang
yang menyekat detik juang.

Ayah
biar kugabus keringat lelahmu
merenung ronarona bening mata
suramnya menjerih
dukalara biar titis
usaplah di ubun-ubunku
agar jejakku beriring restu.

Ayah
aku ingin bawamu bulan
bila jemari tidak tergapai
sinarnya biar sampai.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
17 Oct 2012
10 05 am

SELIMUT RINDU


Angin pun berhembus
meraup gigil sepi malam
menunggumu mengamit bulan
sambil mengira butir bintang
tersingkaplah selimut rindu
berbantalkan hasrat
mimpiku menjelajah tujuh lautan.

Kita pun bercinta penuh rahsia
kujejak harapan sejauh mungkin
pelangi kasih tinggi mengawang
mengintai di sebalik awan
cahaya cinta mula meliuk
menunggu padam
rona mesra melakar suram.

Kalau aku harus memilih
melempar jauh kesangsian takdir
kubiarkan engkau berlalu
tinggalkan jejak kasih
bila badai mula menghempas
laluan kita kehilangan bekas.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
17 Oct 2012
8.53 am

DARI KATA KENAL BUDINYA


Senyum kembang bagaikan kekwa
wajah ceria bahasa jiwa
geletek hati lontar ketawa
tanda hati tidak kecewa.

Indah budi kerana pekerti
luas pandangan dalam memerhati
bila bercakap sentiasa teliti
sentiasa ikhlas jernihkan hati.

Wajah cantik bukan gambaran
tampan bergaya bukan nilaian
budi bahasa jadi pilihan
hati nurani jadi ukuran.

Pangkat dan harta sekadar pelengkap
iman dan takwa biar bertetap
paling penting membentuk sikap
kasih sayang setia merakap.

Waktu bercinta penuh gelora
patut peduli noda dan dosa
bila sudah berumah tangga
harus menempuh suka dan duka.

Che Fauziah Idris
Kuala kurau
Perak
16 Ogos 2012

DIAM 11


Ungkapan mati
sipu terharu
pada bisik malam
cengkerik bersenandung.

Hati riuh berbicara
raungan di sukma
berteriaklah
puaskan hatimu
usah peduli
andai ragamu teruji.

Lelah
cungap mengharap
membisu tanpa gema
senyap sunyi
diam lebih bererti.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
15 Oct 2012
12.32 am

KANVAS HIDUP

 
Kelmarin
kita lakar dengan sejuta cerita
warna-warni memutar
pada berus hayat
dalam relung langit
alam membias cahaya.

Hari ini
kita mencorak kanvas
potret harapan
terbentang tak berwajah
rona hitam memalit
putih dan ungu
terbiar kaku.

Esok
lukisan kita tanpa wajah
kanvas memudar
lakaran bernoktah
suram dan kusam.

Kalau saja
matahari bersaksi
gerak jemari
dan rentak langkah
adalah pesongan takdir
bingkai hidup
terbiar kosong.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
14 0gos 2012
10.37am

KASIH ITU SUATU IKATAN.


Kasih sayang pautan hati
setia mengikat jalinan budi
indah bersantun bersih nurani
itulah lambang cinta sejati.

kasih terbelai bawa bahagia
harap berkasih memberi mulia
jauh dari noda dan dosa
biar kekal bawa ke syurga.

kasih sayang bukan mainan
berhati luhur berserta iman
seumur hidup rela berteman
serumah tangga memberi aman.

Sri Mawar
Kuala Kurau
Perak
11 Oct 2012

KUSIMPAN SEGALA


Kusimpan segala rindu
duniaku tempat aku merejam duka
membilang hari dengan sejuta rahsia
melerai mimpi dan resam durjana
aku pun lali dalam resuh resah
igauan menjadi debu
hasrat dirangkul pilu.

Kusimpan setiap impian
bila lerai segala harapan
agar dapat bangun meniti hidup
meraih semangat diri
mengenggam segala hakiki
dunia pun menjadi fana
cahaya nurani melengkari segala.

Duniaku kian bertukar
desau rindu terlempar jauh
lupa segala kusut kusam
rencah lara yang kejam
biar sengsara mengelepar
andai derita meraung lapar
cekikan di dalam dada
adalah gumpalan dosa-dosa
lalu menginjak pergi
membuka khilaf diri.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
10 Oct 2012
11.56 pm

SESEKALI


Sesekali engkau berhak
menjadi kurang ajar
untuk membentuk keyakinan diri
tidak membuta tuli
diinjak- injak ketakutan
membungkam hasrat
pada belenggu perintah
dan turutan kata .

Sesekali engkau harus belajar
menghormati diri
bila sesuatu itu
menyimpang dari kebenaran
menegakkan hak
beranilah memberontak
bukan kerana kekurangan adab
biarpun engkau perlu biadab
demi menyata harap.

Sesekali engkau
perlu cemburu
bergegas dengan waktu
mencapai keyakinan
menentukan pedoman
tidak perlu merintih
dalam luka yang pedih
tabah merantai
gigih merangkai
dalam angan dan ketelusan
lalu menjadi diri sendiri.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak

KARIPAP


Panas..,panas..!!!
karipap berasap 
mencuit rasa
menelan liur
perit mengigit
lapar pun mengelupur
angan mengecur
lemak pedas inti
rangup kenyal berisi
adalah titik airmatanya.

Sayu memandang
telapak tangan kosong
gelandangan
anak kecil di jalanan
apa dosa
kukunya hitam
lesu terbiar
kumal dan usang;

Debu-debu berterbangan
adalah mimpi manis
sinar nampak terang
gelita dalam diri
merayap
hasrat meronta
di mana ibu
ke mana ayah
jejak kakinya lesu.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
23 Sept 2012
11.24 pm.

RAHSIA BIBIR


Bibir sempit
juih menjungkit
buat hati selalu sakit
dalam telagah ungkit mengungkit
perit menjentik.

Bibir merah
ungkap madah berhelah
resu resah
serlah dalam gundah
parah berdarah.

Bibir tebal
paling menyebal
penuh sebak sesal
adakalanya menggatal
dalam sua dan kenal.

Bibir nipis
bicara makna berlapis
ada waktu menghiris sinis
mengundang trajis.

Bibir pasu
letih melesu
kalamnya membait palsu
sendu pilu
bibit rindu
sayu mengharu.

Bibir
adalah rahsia wajah
lantunan hati
bisikan nada
nyilu dalam rahsia.

Sri Mawar.
Kuala KuRAU.
PERAK
23 Sept 2012

SAHABAT


Sahabat
bawakan aku bulan 
dari biasan sinar sukma
lembut bicara
indah senada
damai menyerlah.

Rawan menerjang
derita mengeranyang
terbitmu mengusir pilu
resap salju membelai
lesapkan duka
jelma bahagia.

Aku tidak ingin tidur
menjauhi mimpi
menjernih nurani
terbuka hijab kalbu
lena yang terulit
adalah bayangan ngeri.

Diamku menyimpan kata
usah peduli dusta
hidup untuk sendiri
mencari bahagia sejati.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
3 Sept 2012
9.41 am

PEREMPUAN DALAM RAHSIA


Di hujung jalan dia lewati
di pohon rendang menunggu kekasih
di redup senja airmata menitis
di malam kelam melangkah pulang.
hancur hati rindu nan walang.

Di kasur mimpi mata berkedip
di kamar usang tangis merejam
di subuh dingin perit menerjang
di pagi dingin muntah mengigit
terjangan kecil memugar rahsia .

Perempuan itu menjerit
gema suara bergelung dada
dari subuh ke dinihari
sepi .

Tragedi
trajis
korban jiwa.

Degup nafas membeku
punah kecewa
hilang gemuruh resah
pohonan sepi
tiada lagi penanti..

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
26 Sept 2012
9.19 pm

NUR KASIH

Mekarnya hati
merimbun di bening sunyi
merenung hayat 
tenang merantai
rindu abadi membelai.

Kekasih
peluklah aku dalam damai
bawaku merenung bintang
kerdip sinarmu melambai
nur kasih
menjadi suluh jalan ke tempat terang
aku pun meniti dari bintang ke bintang.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
25 Sept 2012
8.31 pm

WANGIAN SYURGA


Deru angin
menitip salam
ada bunga di hujung sana
sedang kembang indah tersunting
buat Arjuna mencium harum
dan Dewi Ratna menyimpuh senyum.

Berbicaralah takdir
detik bahagia mengundang
wangian syurga terhidang
menyeri rerona bunga
nampak indah
menghimbau resu resah
alam bersorak
menumpang bahagia sejenak.

Kembanglah seluruh taman
sempurna dalam angan
janji berbisik
setia bertindik.

Che fauziah Idris
kuala Kurau
Perak
22 Sept 2012
2.14 pm

TULUS KASIH


Tumpahkan rasa sayang semulia budimu,nak.
ada resap kalbu membelai setia kasih
damai itu merasuk sukma
meski engkau entah di mana
terlalu dekat padaku
walau kita tidak sedarah
batin kita searah.

Tulus nian kasih tertumpah
do’amu membelai jiwa
gerak nadi terpasung harap
takdir bercerita
ada temujanji di hari muka
engkau kudekap
kucup keningmu tertib mengadap
jurai rambutmu
kubelai penuh rindu.

Seandainya
engkau dapat mengerti
itulah kasih ibu yang sejati..

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
MALAYSIA
21 Sept 2012
22.33 pm

REMANG MALAM


Dalam renungan ke bintang
remang malam berbisik
sedang apa anakku kini
masih bersenandung rindu
atau sedang melirik mimpi kekasih.

Atau masih menari jemari
mengarang bunga bait
memuja santunan insan
memesrai alam
merayap ke bulan
atau lesu di pembaringan.

Datanglah aku
mengucapkan selamat malam
dengan pohonan restu
Illahi tunjukan jalan
telusuri lorong terang buatmu
meskipun mimpi kita berbeza
kita masih tetap sejiwa.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
21 sept 2012
8.58 pm

SENYUM PUNGGUK


Bila bulan menyeringai
sinarnya memberi harapan
pungguk tersenyum
menghimbau resah rindu
sepi malam membuai dendang.

Pesan pada cengkerik
rimbamu jangan usang
akarmu usah gersang
itu duniamu
ranting kasih lekat mengikat.

Bersahut dalam bicara
gemuruh debur rasa
lautmu bercahaya
bila mendung berlalu
ombak membentang harap.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
21 sept 2012
3.42 pm

KECEWA



Tingginya langit
terawang
awan bergulung
sarat mendung
malam kian pekat

Bulan lena
pungguk meratap
belai dalam angan
rindu mengharu
terbuang lalu.

Nasib malang
sukma merintih
karam dalam sendu
harapan membiru
korban haru.

Kesendirian
memagut mimpi
di hujung dunia
alam beradu.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
21 Sept 2012
3.02 pm

TAKDIR


Langit membiru 
putih gemawan
camar nun jauh
melayah mencari kekasih
damai tenteram.
bahagia mengenggam.

Seringai mentari
alam menitis keringat
laut senyum
kerdip perak bersisik.

Angin beralih kencang
gelora membadai
pasir pantai berderai..

Senja mendung
kelabu berselubung
pekat menghimbau
malam kian sarat
gerimis melerai
mengamit taufan .

Hilang indah
punah harapan malam
sayu purnama berganti rindu
kejora tertunduk malu
berkerudung sepi
berselindung mimpi.

Di batas dunia
takdir sedang becerita.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
20 ,Sept 2012
9..57 pm