Tuesday 29 May 2012

JANGAN

Jangan hidup suka menghina
damai sentosa Allah kurnia
budi dan agama biar sempurna
iman yang teguh minda dicerna.

Jangan haluan tersalah langkah
laku yang buruk baik di tegah
akhlak yang buruk elok disanggah
bimbang nasibmu membawa padah

Jangan hidup suka bersengketa
perangai yang keji membawa cela
elok sesama berbaik sangka
di mana berada pasti selesa

Jangan hilang harga dirimu
kembang budaya menjadi layu
hidup suram membawa lesu
punah maruahmu membawa haru.

Jangan hanya berparas cantik
andai fikir tak membawa cerdik
sekadar terlolong jerit dan pekik
ibarat menelan tapi tercekik.

Jangan terlupa resminya padi
makin menunduk makin berisi
mulia pekerti tingginya budi
begitu sebaiknya akhlak peribadi.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
22 Mei 2012

HILANG PERCAYA

Di dalam kehidupan yang paling bimbang
kepercayaan diberi dimusnahkan orang
bila lidahnya mula bercabang
hati yang tenteram jadi tak tenang

Sedih sungguh kalau begini
kebaikan dirinya sering dihargai
dalam asyik memuja-muji
rupa-rupanya bersifat keji.

Malang sungguh saling bertimpa
sukma menangis membawa hampa
sungguh tidak disangka-sangka
ukhuwah yang indah membawa cela.

Buanglah segala sifat yang buruk
segala rahsia biar tersorok
jangan dibiar barah membusuk
kelak batinmu tidak terpujuk.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau,
Perak
26 Mei 2012

TANGAN MENCINCANG BAHU MEMIKUL


Tangan yang mencincang bahulah memikul 
peribahasa Melayu berkias betul
jangan bersembunyi di sebalik bakul
tetap diseranah bila tersembul.

Mudah benar menutup bicara
sedang diri membuka cerita
insan begini mengolah petaka
rosaklah budi badan celaka.

Elok jangan diturut hati
buruk laku jangan diuji
akhlak begini menerbit benci
bila takut sentiasa menafi.

Laku begini mengundang bencana
hancurlah hati badan merana
dipandang orang serba tak kena
dibenci orang tak semena-mena.

Lebih baik mengaku salah
tidaklah perlu menambah helah
sebelum terantuk biar mengadah
indahnya ukhuwah tidak berbalah.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau,
Perak
28 Mei 2012

KU CINTAIMU KERANA DIA


Kekasih
saat terukirnya senyum mentari di ufuk timur
gema adzan membangkitkan getaran nurani
waktu berteleku dalam sembah sujud di sejadah subuh
doaku tak putus mengiringimu
dan mengharapkan engkau dalam pelukan Ilahi
semoga dibelaimu dengan cinta 
dan kasihmu terhadapku tak terlupa
meski di sisimu aku tiada
namun di hatimu aku sentiasa ada.

Kekasih
aku sentiasa mengharapkan yang terbaik 
dalam genggaman takdir kutitipkan harap 
genta rasamu biar sampai kehujung nyawa
iklas dan setia tak membawa duka
lalu kita pun merenda cinta
tanpa bayangan noda dan dosa.

Kekasih
aku mencintaimu kerana Allah
Maha Esa dan Maha Pencipta
do’a kudus dan harap ihsan kupohon
hilangkan kesedihan dalam sanubarinya
berikan kemanisan iman dalam jiwanya
bila bahagia itu milik kita
biar selamanya menjadi sempurna.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau 
Perak
26hb Mei 2012

Sunday 27 May 2012

CERMINAN HATI

Iman penyuluh bahagia sejati
takwa dan redha sering  meniti
andai dinilai segala hakiki
pasti tawadduk bercermin di hati.

Sinar harapan itu pencarian
menitip kasih dalam pegangan
andai Tuhan memberi ihsan
segala kemuliaan di capai insan.

Hati budi insaf nurani
itu lebih memberi erti
dalam tawadduk berendah hati
walau hidup berdarjat tinggi.

Jangan ditiru ayam di kandang
bertelur sebiji riuh mengundang
jangan takbur dalam memandang
kelak  angkuh biak megembang.

Biar diturut resamnya padi
makin tunduk makin berisi
sentiasa menyedari takdir Ilahi
segala kurniaan milik Ya Rabbi.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
27 Mei 2012


Thursday 24 May 2012

BAGAI MUSANG BERBULU AYAM

Indah sungguh bidalan kata
perpatah Melayu berbagai rupa
bukan bermaksud untuk bercanda
sebagai kiasan dalam budaya.
Musang berbulu bertopengkan ayam
dalam diam hasrat di anyam
hasat dan dengki dibiar bersemayam

dalam waspada ia menerkam.

Orang jahat meyamar baik
busuknya niat di hati terdetik
di dalam riuh bagai memekik
berlagak angkuh kononnya cerdik.

Nampak baik bagaikan sekutu
Tapi rupanya paling seteru
teman begini tidak sebulu
hidupnya juga umpama dedalu.

Wahai anak bersikaplah baik
jujur dan telus biar tersedik
di dalam hati iklas berbisik

hati budimu biarlah cantik.

Che Fauziah  Idris
Kuala Kurau
Perak
24 Mei 2012
9.22 am

PELANGi JIWA TAK LAGI BERWARNA

PELANGi JIWA TAK LAGI BERWARNA

Dapatkah dikutip kembali keping hati yang tercicir
bila hidup ini semakin fakir
atau menyerahkan saja di tangan takdir
dalam menentukan lakaran hidup
andai terang cahaya semakin redup
pelangi jiwa tak lagi berwarna.

Kemana sesal nak dihumban
andai tak mampu mengalas beban
kecelaruan mengigit jantung hati
getar rasa semakin mati
kudrat sebatas cuma
iradat-Mu mengatasi segala.

Dalam pencarian menentu dasar
kita sering saja tersasar
mengira itulah yang terbaik
sebaliknya paling membawa sulit
bila janji sukar ditafsir
kata akhirnya membawa mungkir.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
24 Mei 2012
12.17 am

Saturday 19 May 2012

MAKSUD HATINYA

.
Di dunia ini banyak terjadi
hasrat dan dendam mainan hati
penuh hasutan  di dalam dengki
bagaikan ayam mengasah taji.

Dalam hatinya bongkak dan sombong
niat hatinya tidak terselindung
maksud jahatnya tidak terbendung
hasad dan iri tidak tertanggung.

Bagaikan telujuk mencucuk mata
insan begini tidak setia
perlakuan buruk menjadi nyata
di dalam  diam berpura -pura.

Dalam berkawan harus berwaspada
carilah teman jujur hatinya
agar tidak ditipu daya
biarlah setia , iklas sentiasa.

Berhati-hati memilih teman
buruk dan baik jadi pedoman
biarlah tulus serta beriman
kukuh persahabatan sepanjang zaman.

Perbuatan jahat jangan diturut
laku yang baik elok diikut
biar telus iklas bersambut
harum namamu disebut-sebut.

Che  Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
19 Mei 2012

INDAHNYA BUDI BAHASA


Indahnya laku cantiknya bahasa 
pekerti dan budi dipandang mulia
serba sempurna serba sederhana
sentiasa dihormati di alam semesta.

Tidak takbur dan sombong diri
lembutnya tutur kayanya budi
buruk dan baik sentiasa dikaji
akhlak yang indah oang memuji.

Bersikap sederhana dalam peribadi
jangan amalkan bersikap dengki
sifat yang buruk orang mengeji
akhirnya rugi diri sendiri.

Bersopan santun budaya kita
iklas dan jujur paling disuka
tidak menimbulkan bibit sengketa
rakan dan taulan dianggap saudara..

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau.
Perak
17 Mei 2012

MENINGGI DIRI MEMBIBIT BENCI


Apa megahnya kepada lagak
bersikap sombong ,takbur dan bongkak
di dalam hati terpancar riak
mendabik dada di tempat sesak.

Orang memandang jengkil di hati
di dalam diam terdetik benci
jauhlah dari dipuja -puji
di cerca orang di dalam caci.

Meninggi diri di dalam kata
suka mencemuh mencari sengketa
membibit seteru begitu leka
tak sedar diri orang tak suka.

Insaflah anak jangan diulang
perangai buruk usah ditantang
berlemah lembut biar dijulang
elok lakumu mesra memandang.

Janganlah suka meninggi diri
tidaklah elok orang mengeji
demi kemuliaan diri sendiri
berbudi bahasa orang hormati.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
19 Mei 2012

Thursday 17 May 2012

JASA GURU


Bagaikan pelita budimu memancar
di gelap gelita membawa sinar
teguh harapan semangat berkobar
putih hatimu di dalam sabar.

Engkau digelar seorang guru
mendidik murid ke alaf baru
darilah dungu bijak berilmu
begitu mulia jasa baktimu.

Sangatlah besar engkau berjasa
memberi ilmu membentuk warga
ilmu diberi mencelikkan minda
pelajar cemerlang mengharum negara.

Jasa baktinya amatlah besar
mendidik pelajar supaya sedar
tanpa ilmu jiwa tersasar
dibelenggu dungu , bodoh dan nanar.

Kenanglah segala jasa dan bakti
guru mengajar dulu dan kini
segala ilmu memberi erti
budi terbawa sampai ke mati.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
16 Mei 2012

WARGA EMAS DILUPA JANGAN


Warga emas pemulaan warisan
pembentuk jenerasi di awal zaman
jasa mereka dilupa jangan
jadikan itu satu kenangan.

Jasa mereka terlalu besar
dalam pembangunan menjadi dasar
bila kita sentiasa sedar
maksudnya baik tidak tersasar.

Pengorbanan mereka biar dijunjung
bakti mereka wajib disanjung
ujud mereka pembawa untung
tidaklah salah ibu mengandung.

Janganlah kacang lupakan kulit
kenanglah jasa susah dan sulit
mereka harungi di dalam perit
begitu tabah menahan penyakit

Malangnya nasib wargalah emas
menahan sakit jari diramas
di dalam lelah merasa lemas
orang melihat merasa belas.

Hari mereka biar dijaga
meniti usia mudah berduka
biar dibelai memberi suka
terubat luka jiwa mereka.

Jangan abaikan nasib mereka
di dalam alpa kita pun leka
mereka tidak meminta-minta
cukup sekadar tidak dilupa.

Che FauziaG Idris
Kuala Kurau
Perak
15 Mei 2012

Tuesday 15 May 2012

KENANGI IBU


Ibu melahirkan bersusah payah
di jaga sakitmu hingga terlayah
segala dugaan tak pernah goyah
suci nurani tak berkeluh kesah

Cinta kasihnya biar dimengerti
tiap kesulitanmu sentiasa diperhati
segala derita sanggup meniti
asalkan anak bersenang hati.

Ibu mendengar penuh setia
tiap perkara dibawa bercerita
dinasihatimu jangan bersengketa
tidakkan sanggup engkau menderita

Sentuhan ibu memberi harap
kasihnya zahir di dalam tatap
pilu jiwanya jarang terungkap
tidaklah rela dirimu meratap.

Begitu mulia pegorbanan ibu
kesusahanmu sentiasa dibantu
 
bahagia dirimu dido'akan selalu 
di relung hatinya memberi restu.

Penat lelahnya mengharap balasan
jiwanya penuh belas kasihan
suci hatinya rela berkorban
biar mengeluh menahan perasaan

Alangkah malang nasibnya ibu
merintih pedih di dalam kalbu
seandainya anak membuat laku
sengsara hatinya menahan pilu.

Kepada ibu jangan durhaka
kelak ditimpa mala petaka
buruk akhlakmu Allah pun murka 
azab dirimu di alam baqa .

Andai ibu berhati walang
mengenang nasib ditimpa malang
anak durhaka tidak mengenang
sedih hatinya tidaklah tenang.

Jadilah anak mengenang budi
elok lakumu mulia pekerti
menjaga ibu sentiasa sudi
kasih padamu membawa mati.

Hidup di dunia hanya sementara
jagalah ibu masa berada
biarlah dirinya rasa bahagia
sebelum pergi menutup mata.

Kuala Kurau
Perak
14  Mei 2012

WARGA EMAS DILUPA JANGAN


Warga emas pemulaan warisan
pembentuk jenerasi di awal zaman
jasa mereka dilupa jangan
jadikan itu satu kenangan.

Jasa mereka terlalu besar
dalam pembangunan menjadi dasar
bila kita sentiasa sedar
maksudnya baik tidak tersasar.


Pengorbanan mereka biar dijunjung
bakti mereka wajib disanjung
ujud mereka pembawa untung
tidaklah salah ibu mengandung.

Janganlah kacang lupakan kulit
kenanglah jasa susah dan sulit
mereka harungi di dalam  perit
begitu tabah menahan penyakit

Malangnya nasib wargalah emas
menahan sakit jari diramas
di dalam lelah merasa lemas
orang melihat merasa belas.

Hari mereka biar dijaga
meniti usia mudah berduka
biar dibelai memberi suka
terubat luka jiwa mereka.

Jangan abaikan nasib mereka
di dalam alpa kita pun leka
mereka tidak meminta-minta
cukup sekadar tidak dilupa.

Che FauziaG Idris
Kuala Kurau
Perak
15 Mei 2012

Sunday 13 May 2012

NOSTALGIA CINTA IBU

Betapa manisnya senyum malu-malumu , ibu
tatkala ayah mengusik nostalgia cinta silam
lalu kami anak-anakmu bertelegu meneliti
kisah romantik dari insan suci
begitu ghairah memikat
mertabat kasih yang terhebat.

Kami pun menjadi ingin untuk meresapi
semangat kental dalam jiwamu
memelihara kerukunan dengan pasrah
menyelami hidup dalam lautan payah
penyakit yang kau deritai
memisahkan kita tanpa duga
bila kau pergi tak kembali
ayah pun menyusul jejak
memesrai cinta di alam abadi.

Mengapa begitu cepat masa berlalu
anak-anakmu yang tak mengerti apa-apa
tulus menerima hakikat kehidupan
bila dengan rela menjadi piatu
memasung ketentuan pada kehendak takdir
dan kami pun tak pernah kecewa
bila masa depan menjadi nyata.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
13 Mei 2012

Saturday 12 May 2012

SEMANGAT MEMBARA


Merah membara semangat waja
bersatu teguh pertahankan negara
gemersik bergema nada suara
di pentas dunia berpadu tenaga

Laungan bersatu memberi erti
melakar transformasi memacu jenerasi
ke puncak jaya membawa bukti
majunya bangsa seluruh negeri.

Bila bersemangat rela berjuang
mertabat bangsa sanggup dijulang
biar gerun seteru memandang
pastikan hilang ghairah pembangkang.

Bersumpah setia gembling tenaga
pemimpin berwawasan membentuk era
harapan negara ke mercu tanda
teguh bersatu menghindar leka.

Che Fauziah idris
Kuala Kurau,
Perak
12 Mei 2012

Friday 11 May 2012

JANJI TERUCAP BERKALAM KATA

Dalam lembut bahasa berbunga
janji terhulur madah di terima
sekadar gemersik resap pesona
dalam kalbu sekadar mengena

Jangan terpedaya ungkapan yang kosong
jika isinya hanyalah kelongsong
jika hanya untuk dibohong
kecewa nian kepalang tanggung.

Lidah memang tidak bertulang
hanya sekadar menarik pandang
janjinya bagai emas di dulang
mahligai palsu diberi bayang.

Untuk apa bermain kata
jika hanya sekadar dusta
bermulut manis ungkap berbisa
sepatah kata sukma terasa.

Biar pandai memilih sahabat
jangan tertipu jasad tertambat
dalam lembut salam berjabat
rupanya untuk mengikat jerat.

Lembutnya lidah darilah gigi
biarpun hanya sekadar menguji
berpura-pura dalam memuji
namun hatinya bersifat keji.

Di pentas dunia insan terlena
kalaulah tidak minda dicerna
andai fikirmu tidak kemana
akhirnya dirimu papa kedana.

Duhailah anak ingat selalu
jangan jadikan dirimu seteru
berbuat baik elok lakumu
di pintu aman pasti bertemu..

Berbuat baik berpada -pada
bila berjanji jangan dilupa
bibit seteru jangan ditempa
bahagia dirimu tak memberi hampa.

Kalaulah jadi katakan jadi
tidaklah orang ternanti -nanti
kalamlah kata resap dihati
molek namamu indah meniti.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
11 Mei 2012

KADANG KALA

Aku meneleku menatap cebisan peristiwa hati
kala sederet puisi-puisiku tersibak dihembus angin waktu
ada onak dan duri tertancap di bait-bait 
ada luka hati yang tertusuk sembilu kelukaan
terlalu banyak kemelut yang terungkap
terlalu sedikit ghiarah hidup yang terucap
bila sepi dulu tak menyerlahkan sosok bahagia
lara pun mengiringi aku dalam diam.

Kadang kala aku duduk menatap cerminan jiwa
menatapi biasan yang berkecamuk
antara retak hati dan duka lara
kecewa menerjangku dalam segala.

Aku pun meneruskan pencarian
di celah syair dan gurindam berlagu
melaung pada hasrat hati yang terkesima
pada rekah semangat yang makin menukar
perjuangan pun bermula
di sebalik selimut masa lalu
kutemui erti bahagia
bila cita-cita itu lebih berharga.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
9 MEI 2012

DALAM MESRA LEMBUT MENIKAM

Dalam tersenyum berjabat salam
manis di wajah hatinya kusam 
mesra terhulur bersalut dendam
pepat di luar rencong di dalam.

Teman begini mengundang seteru
kata hatinya tidak sebulu
sambil menerkam dia mengampu
dalam pelukan menyucuk sembilu.

Hati-hati memilih teman
biar dikaji bentuk peranan
kalau dirimu jadi tawanan
malang nasibmu dalam genggaman.

Tidak semua kawan setia
ada yang pintar berpura-pura
mengaut untung mengait laba
padanya kita dibiar papa.

Kenanglah itu duhai sahabat
hidup ini penuh muslihat
berbuatlah baik membawa berkat
kepada teman janganlah khianat.

Muliakan dirimu suci nurani
indahkan jiwamu bagaikan pelangi
hindarkan hatimu bersifat dengki
kelak pekertimu sentiasa dipuji.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau,
Perak
10 Mei 2012

Thursday 10 May 2012

IBU

Ibu
hari ini tak kulihat lagi jernih bebola matamu menikam
layu sendunya yang pernah menatap pada detik kedukaan
mengenang nasib memikul resah diterjang payah
bila sendirian harus mengerti bentuk peribadi
betapa sulitnya mengalas bebanan tanpa tulang rusukmu disisi

Ibu
anak-anakmu membesar dalam didikan yang berakar umbi
membina hasrat dalam teguhnya keyakinan
amanatmu menjadi penyalur dalam urat nadi
keturunanmu menyubur karya di muka bumi
pada tanah warisan menanam kecintaan seni
lalu sinar jaya membawa terang
meski kau tak terpandang namun maksudmu jelas membayang
pengharapanmu memberi nyata, mencerna di minda
meskipun kau telah tiada semangatmu tetap membara

Ibu
besuk anakmu akan meneleku di kuburan rindu
mengulangi imbasan saat kau mendekapku dalam pelukan
menyiramimu dengan titis-titis do'a
gemersikkan nada sayu surah Al'Quran  dalam gema.
ada getar yang berbisik perlahan meresapi
memberi rindu yag tak pernah bertepi
'ibu,anakmu tak pernah lupa pada jasa baktimu
meskipun kini kau telah tiada namun semangatmu selalu ada'.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
10 Mei 2012

Wednesday 9 May 2012

BURUKNYA PEKERTI INDAHNYA BUDI



Sulit benar menentu akhlak
sentiasa merasa diri yang berhak
sentiasa tertawa terbahak-bahak
akhirnya jatuh mata terbelalak.

Andai ego diletak dihadapan
mulut berbisa dalam pengucapan
akhirnya senjata memakan tuan
andai terbongkar laku tak sopan.

Bila hidup pentingkan diri
penuh dengan hasat dan dengki
seteru dan musuh sentiasa dicari
akhirnya rugi diri sendiri.

Indah sungguh bermain kata
berlaku jujur berbaur dusta
meghimbau maki menghembur nista
akhirnya aib tersebar serata.

Untuk apa bermadah helah
sekadar untuk memecah belah
sesama bangsa sering berbalah
Melayu hancur senyum tersanggah

Bangsa kita harus difikir
untuk berseteru baik dimungkir
nasib kita pastilah fakir
andai dipijak sampai ke akhir.

Mengapa masih leka dan lena
asyik menyalah serba tak kena
bukankah baik memberi guna
agar bangsamu tidak dihina.

Salahnya orang jangan dicari
sempurnakan dulu diri sendiri
apalah untung suka mengeji
dibenci orang sampai ke mati.

Biarpun apa fahamanmu tuan
asalkan elok menetap iman
pekerti yang baik jadi pedoman
dipandang mulia sepanjang zaman.

Hidup di dunia tidak sendiri
buruk dan baik perlu dikaji
berbuat bakti berhalus budi
nama tersohor indah terpuji.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
8 Mei 2012

Tuesday 8 May 2012

BUDIMU


P=Padamu terhimbau sejuta harap
A=Antara rindu puisi dan segenggam ilmu
K=Keyakinan dalam genta rasa.

C=Cukuplah walau untuk sebait cuma
H=Hamparan budi yang kau bentangkan
U=Untuk mengetuk pintu minda.

S=Setelah sekian lama terbelenggu dalam keakuan diri
U=Untuk meresapi erti ketulusan
P=Pada keakraban
I=Ilahi memberi pertunjuk jalan
A=Andai puisiku tak lagi membeku
N=Nuraniku pun berbisik syahdu.

Che Fauzaih Idris
Kuala Kurau,
Perak
8 Mac 2012

CINTAI TANAHAIRMU

Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung
pepatah melayu sentiasa dimaklum
andai bangsa tak ingin meyanjung
negara asing memandang serong.

Kasihi nusa bangsa dan negara
masyurkan pertiwi indah di persada
makmur negara berbilang bangsa
harmoni rakyat aman sentosa.

Sumpah setia taatkan raja
mertabat negara dijulang warga
bersatu padu memelihara bangsa
kembangkan ekonomi serikan budaya.

Jangan jadi petualang bangsa
perintah raja jangan durhaka
anasir jahat jangan terpedaya
musibah menunggu di ambang petaka.

Duhai anak jenerasi sekarang
demi tanahair relakanlah berjuang
jangan jadikan dirimu petualang
berbaktilah sayang budi dikenang.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau,
Perak
8 Mei 2012

MERTABAT MELAYU SEJATI


Wahai anak peribumi semua
jadikan diri insan berjasa
indahkan nama sebagai warga
jagalah maruah bangsa dan negara

Begitu mulia Melayu sejati
sanggup berjuang perit meniti
segala kemuslihatan akan diteliti
angkara musuh sentiasa diperhati.

Melayu sejati tersohor nama
tersebar megah serata dunia
di persada indah membawa wacana
bijak megatur segala rencana.

Jadilah diri insan terbilang
memertabatkan Melayu terus dijulang
usah melukut di tepian gantang
tak memberi lebih tak membawa kurang.

Sayangi bangsa cintai pertiwi
jadilah Melayu berjati diri
berjuang demi amanah Ilahi
itulah bangsa Melayu sejati.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau,
Perak
7 Mei 2012

DAPATKAH

Dapatkah kita
untuk menjadi begitu sempurna
membebaskan semua tentangan
menjadi amat sejati
dalam menetapkan pilihan
menurut kehendak hati
dan menyempurnakan naluri sendiri.

Dapatkah kita
menikmati hidup ini
dan mengecapi sejuta kepuasan
menentukan untung nasib
menyingkirkan kekalutan
melupakan dukalara
lalu menikmati hidup seadanya

Mimpi tak pernah sama
derita tak bermukim lama
bahagia juga penyudahnya
seandainya diri bisa menghargai
ketentuan Ilahi beriringan hikmah
lalu waktu menjadi saksi
bahawa dusta itu tak pernah terjadi.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
6 Mei 2012

WAHAI ANAK MUDA, JANGAN TERPEDAYA


Duhai nak muda berhati berani
jalani hidupmu biar bererti
bukan di jalanan caci memaki
masa depanmu harus dikaji.

Janganlah sombong berlaku angkuh
belajarlah dahulu bersungguh-sungguh
politik negara jangan direngkuh
belum masanya untuk kau tempuh.

Mudah terhasut jiwamu halus
mentah akalmu berhati lurus
di pesong budaya hina menjurus
dikait kelingking telujuknya lurus.

Semangat negarawan biar berpada
renunglah diri di mana berada
jangan terpedaya tipu dan daya
kelak nasibmu di ambang lara.

Janganlah asyik mengikut telunjuk
di air keruh dia menangguk
disuruh angguk engkau mengangguk
nasibmu bagai di hujung tanduk.

Apa hebatnya dipandang orang
sekadar hanya mejadi dalang
bisa lakumu sampai ke tulang
maruah bangsamu tidak kau julang.

Wahai nak muda jiwamu rapuh
mudah dihasut petualang yang kepoh
semangat bangsamu tak menjadi ampuh
kelembah hancur ingin kau tempuh.

Kita hidup dalam dunia
biar sempurna memberi guna
masa depanmu biar dicerna
agar jenerasimu indah terbina.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau,
Perak
6 Mei 2012

RETAK HATI

Entah kenapa untuk kali ini
tak dapat untukku sembunyikan retak hati
bila ungkap kata bagaikan panah berbisa
memercikkan darah kelukaan
lalu aku pun menahan pedih
tangisanku tak bersuara.

Dapatkah airmata membasuh
segenap kesengsaraan yang membelenggu
bila sekian lama menjadi kabur
pada cerminan diri yang usang
dalam lusuhnya jiwaku.

Biarlah untuk sekali ini
ku laungkan jeritan hati
walau tanpa suara
diamku menyimpan kata
agar segala kekusutan
menghimbau segala dosa
agar lautan deritaku
tak lagi menjadi badai
yang menghempas kedukaan
lalu aku pun menjadi hina
pada sekeping hati
yang pernah kuberi rasa
dan kuberi cinta.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
8 Mei 2012

Sunday 6 May 2012

MUSLIHAT DAN KEIMANAN



Setiap kemahiran menentukan segala
bila perbuatan bertuju hala
jangan jadi seperti serigala
ada kesempatan diterkam segera.

Mahir bertindak dalam diam
menyimpan kukuh hasrat terpendam
andai tersimpul seribu dendam
amatlah sulit untuk diselam.

Rahmat Tuhan memberi pahala
berilmu itu penentu jaya
andai terpesona dalam pedaya
umpama meniti di mulut buaya.

Setiap kehendak seiring jalan
sebelum bertindak harus fikirkan
cara sempurna dalam penyelesaian
bukan mengikut hasutan syaitan.

Kalaulah sikap jadi pengukur
bertindak bijak bersifat jujur
hati nan bersih berniat luhur
budi dan jasa tak pernah kabur

Jangan tergelincir di jalan yang kelam
jasad terluka batin membungkam
kajilah dulu luar dan dalam
khazanah jiwanya dapat diselam.

Bila hati diamuk dendam
segala muslihat sentiasa diandam
wajah kemungkaran cuba dipadam
namun terserlah jahat terpendam.

Allah itu maha adil
sedia terkalam di dalam dalil
ambillah tafsiran dari yang batil
jangan terlibat budaya jahil.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau..
Perak
3 Mei 2012

DEMI KEAMANAN



Bila rakyat membuat angkara
tanpa memikirkan berbagai perkara
Bila suasana dihuru-hara
polis mengawal keamanan negara.

Pedih perit mengawal keamanan
meski dilempar berbagai tohmahan
keselamatan rakyat tetap diutamakan
walau dihambur berbagai cacian.

Kenanglah nasib PDRM menanggung
segala bahaya harus ditanggung
tiap jenayah terpaksa di bendung
mara ke depan tak pernah canggung.

Tapi malang sering menimpa
kepada polis amukan diterpa
dicaci maki berbagai cerca
namun tak gentar dihujani cela.

Amanah dipikul bukanlah mudah
segala kekacauan biar terpunggah
bila keamanan berdiri megah
nama negara tersebar indah.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau,
Perak
4 Mei 2012
 · 

Saturday 5 May 2012

INSAFLAH BANGSAKU

Aduhai bangsaku sedarlah kamu
kuasa kita makin bercelaru
diganggu gugat puak seteru
di sebalik senyuman peluang ditunggu.

Tidakkah hati remuk dan redam
kuasa Melayu makin terpadam
bila bersalut dengki dan dendam
segala kemuslihatan musuh terpendam.
Petualang bangsa menunjuk kuasa
walaupun dengan menghalalkan cara
biar pun luka bangsa merasa
asalkan dapat apa yang dicita.

Apa nasib bumiputeraku malang
bangsa sendiri menjadi petualang
hilang maruah diperbodohkan orang
bangsa yang lain tertawa girang.

Tidakkah hati merasa gundah
mertabat Melayu di ambang goyah
musuh mencari jalan yang mudah
akhirnya bangsa menerima padah.

Insaflah segera wahai bangsaku
janganlah asyik berotak beku
bukalah minda celikkan buntu
sejarah silam kenanglah selalu.

Begitulah akhirnya warga peribumi
bagaikan menumpang di negeri sendiri
dapatkah tenteram dunia dihuni
seandainya gelapnya nasib jenerasi.


Wahai anak jenerasi sekarang
bukalah fikir berhati terang
janganlah asyik bersenang lenang
bawalah bangsamu ke puncak menang.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau.
Perak
5 Mei 2012

Thursday 3 May 2012

IKHLAS


Satu resapan rasa yang telus
lapang dada terungkap bicara
tanpa sembunyi bisikan hati
kalamku tak terselindung
tanpa pura-pura
tanpa noda sukma
meskipun sentiasa mengerti
akan ada hati yang terluka.

Untuk apa membina tabir
pada luahan hati sendiri
menyimpan kebenaran
membungkam pada kekalutan
lalu berperang dengan resah rasa
keikhlasan menjadi bohong
lalu kelegaan tiada lagi
menjadi api
membakar naluri sendiri.

Bukankah ikhlas itu lebih indah
menyingkirkan resah gundah
pada ketelusan berbicara
lalu pasrahkan saja
seandainya api dendam
mula ditiup angin angkara.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau.
7.16 pm

SEBELUM TENGADAH



Jika hati membatu sudah
segala nasihat tidak diendah
buruk dan baik sama diredah
akhirnya diri ditimpa padah.

Riak dan sombong diri merasa
berlagak angkuh bagaikan raja
pahala ditepis mengaut dosa
laku yang buruk sentiasa bersahaja.

Status pertualang dialah juara
belaku megah mendabik dada
membuat onar seribu angkara
menjadi taksub bermaharaja lela.

Kerasnya hati tidak terpujuk
nafsu megganas bagai diamuk
hatinya ibu pedih menjeruk
mengenangkan anak bagai dirasuk.

Duhai anak jadilah baik
fikir dahulu soal selidik
sedari kecil ibu mendidik
waktu bertindak biarlah cerdik.

Kembalilah diri ke jalan Allah
kepada Dia nasib diserah
insaflah dulu sebelum tengadah
kepadaTuhan hendaklah pasrah.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau.
Perak
2 Mei 2012

HARI PEKERJA



Hari Pekerja di tetap hari
hari istirehat hari bercuti
hari untuk saling mengingati
hari mengenang segala bakti.

Hari Pekerja hari bermakna
disambut insan seluruh dunia
1972 termaktub di rencana
1 Mei tarikh keramat diguna.

Hari untuk melepaskan lelah
hari bersama untuk berriadah
hari melupakan segala gundah
mesra keluarga terjalin indah.

Bekerjalah dengan hati yang iklas
tetapkan niat biarlah jelas
jasa baktimu Allah membalas
berkat rezekimu memberi bekas.

Bekerjalah dengan kesungguhan hati
berniat baik membuat budi
hargai rezeki di jalan murni
rezeki haram jangan dicari.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau.
Perak
1 Mei 2012

SEDARLAH BANGSAKU


Wanita itu bersuara lantang
begitu berani tidak berpantang
emosi rakyat tidak dientang
asalkan kehendak dapat ditatang

Insaflah melayu bertambah parah
semangat bersatu telah tergugah
masing-masing menunjuk gagah
bangsa lain tersenyum megah.

Bangsa kita menjadi buta
jati diri tidak sekata
bodohkan diri penurut kata
sanggup diri terlonta-lonta.

Kalau menjadi bangsa yang leka
alamat diri jadi sengsara
memperhamba diri pada penderhaka
sanggup musnahkan keamanan negara.

Mengapa menjadi buta hati
hilang akal luntur jati diri
jika kelam dalam memerhati
akan mengemis di negeri sendiri.

Kenanglah nasib jenerasi mendatang
kuasa melayu semakin hilang
masa hadapan kian terhutang
telah kalah sebelum berjuang.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau.
Perak
30 April 2012

ANDAI BELUM WAKTUNYA


Rezeki yang kau hitung
satu satu
tetap bukan milikmu
lalu arah kaki menyongsong
denai kehampaan
pada bungkah masa depan.

Pada Ilahi terpaut harap
di manakah bermula
gerak kerja
pada titisan keringat pertama
dan nikmat suapan
dari pencarian sendiri.

Andai belum waktunya
pasrahkan saja
bila pintu rezeki masih tertutup
masa depanmu tetap terbuka
dengan seribu ikhtiar
dan sejuta usaha.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau.
Perak
29 April 2012

DEMOKRASI JALANAN



Maruah bangsa tercalar sudah
jika dibiar mengundang padah
perilaku bagai ingin menjajah
demokasi jalanan memecah belah.

Gembira benar bermain api
seronok sungguh sentimen diuji
bila berpuak pakat membenci
keharmonian negara bagai ditaji.

Melampau sungguh mendabik dada
tidak sedarkan diri mengada -ngada
demokrasi jalanan memporak peranda
keamanan tergugat berganda -ganda.

Wahai bangsa bersatulah teguh
jangan semangat kian merapuh
kalau hanya asyik mengeluh
maruah bangsa di ambang geruh.

Kita sekalian anak perbumi
cinta harmoni biar bersemi
andai bangsa sentiasa diuji
pasti bergolak di sana sini.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau,
Perak
29 April 2012.

DUHAI ANAK DUHAI SAYANG



Wahai anak-anak tambatan hati
Dengarkan pesanan ibumu ini
jadikan dirimu berbudi pekerti
agar hidupmu sentiasa dirahmati.

Duhai sayang belahan jiwa
jangan buatkan ibu kecewa
jangan terlalu banyak tertawa
minda yang celik tidak kau bawa.

Jangan menjadi musafir kelana
Membawa haluan ke mana-mana
bila bersikap bena tak bena
akhirnya diri juga merana.

Menjadi hamba di negeri sendiri
kalau tidak berhati-hati
mengikut telunjuk berhaluan kiri
nasib kalian tidak terkendali.

Untuk merdeka bukannya mudah
perlu berjuang bersusah payah
kuatkan iman jangan tergoyah
dibuai hasutan jangan terlayah.

Di sungai muslihat sedang kau renang
fikirkan buaya di air tenang
musuh terselindung disebalik terang
di dalam diam ia menyerang.

Fikirkan tentang masa depanmu
janganlah lalai bertindak melulu
nilailah sesuatu jangan terburu
jangan terulang susah yang dulu.

Dalam pahit menempuh hidup
tidak semanis madu dihirup
kembang harapan menjadi kuncup
dalam terang menjadi redup.

Dunia ini penuh sandiwara
sentiasa di onar berbagai perkara
musuh berjuang berbagai cara
tersasar pilihan kalian yang sengsara.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau,
Perak
28 April 2012