Thursday 26 July 2012

RAHSIA RAMADHAN



Candan hinggap di ranting sekah
jerebu memutih api memamah
Ramadhan bulan penuh berkah
seribu satu rahsia dan hikmah.

Jerebu memutih api memamah
jenuh berlari si itik angsa
seribu satu rahsia dan hikmah
penuh kelebihan di fadilat puasa.

Jenuh berlari si itik angsa
takut di gigit tikus keturi
penuh kelebihan di fadilat puasa
mulut wangi bagai kasturi.

Takut digigit tikus keturi
malam merayap si tikus munduk
mulut wangi bagai kasturi
dalam zikir penuh tawadduk.

Malam merayap si tikus munduk
luka tersiat si burung bayan
dalam zikir penuh tawadduk
terbuka sudah pintu al’ Raiyyan.

Luka tersiat si burung bayan
tumpah darah di tanduk rusa
terbuka sudah pintu al’Raiyyan
limpah kurnia buat yang berpuasa.

Tumpah darah di tanduk rusa
harumlah herba di tangan nyonya
limpah kurnia buat yang berpuasa
minumlah kamu dari telaga-Nya.

Harumlah herba di tangan nyonya
kilang ubat di Kampung Cendana
minumlah kamu dari telaga Nya
menghilang dahaga selama-lamanya.

Kilang ubat di Kampung Cendana
suasa gemerlap cincin pusaka
menghilang dahaga selama-lamanya
puasa menjadi benteng di neraka.

Suasa gemerlap cincin pusaka
kedidi hinggap memagut laksa
puasa menjadi benteng di neraka
menjadi perisai azab dan seksa.

Kedidi hinggap memagut laksa
kala jengking di celah nipah
menjadi perisai azab dan seksa
segala do’a mustajab melimpah.

kala jengking di celah nipah
bermadah kiuk ayam belanda
segala do’a mustajab melimpah
ibadah sempurna dilipat ganda.

Bermadah kiuk ayam belanda
kelapa tumpah di tepi kolah
ibadah sempurna dilipat ganda
betapa besar kasih-Nya Allah.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
26 Julai 2012

No comments:

Post a Comment