Sunday 29 July 2012

MENGHIAS DENGAN KEIKHLASAN


Kelapa rendah di hujung titi
beras di pinggan dibalas roti
betapa indah budi pekerti
dihias dengan keikhlasan hati

Beras di pinggan dibalas roti
lepat bersama manisan serawa
dihiasi dengan keikhlasan hati
mendapat redha dan ketulusan jiwa.

Lepat bersama manisan serawa
batang cermai di dalam almari
mendapat redha dan ketulusan jiwa
tenang dan damai dalam sanubari.

Batang cermai di dalam almari
benih meranti bekasnya kendi
tenang dan damai dalam rohani
jernih hati ikhlasnya budi.

Benih meranti bekasnya kendi
merak di taman meregas kekwa
jernihkan hati ikhlasnya budi
semarak iman berhias takwa.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
28 Julai 2012
 

No comments:

Post a Comment