Friday 13 July 2012

KACA DISANGKA INTAN


Subur mekar si bunga kantan
tumbuh merimbun di tepi lama
andai kaca disangka intan
tidak berharga jadi mainan

Tumbuh merimbun di tepi laman
semut hitam di batu -bata
tidak berharga jadi mainan
kerana harta jadi pendusta

Semut hitam di batu -bata
mencari makan di celah -celah
kerana harta jadi pendusta
menipu daya membelit helah,

Mencari makan di celah-celah
anak musang mengigit buah
menipu daya membelit helah
merosak nama bergadai maruah.

Anak musang mengigit buah
buah mempelam masak sentiasa
merosak nama bergadai maruah
kerana tamak ingin berkuasa

Buah mempelam masak sentiasa
Harum Manis dan limau kedangsa
kerana tamak ingin berkuasa
sanggup merosak sesama bangsa.

Harum Manis dan limau kedangsa
masak sebiji di sebalik nyiru
sanggup merosak sesama bangsa
membibit benci menambah seteru.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
13 Julai 2012

No comments:

Post a Comment