Sunday 8 July 2012

IKUT NAFSU BINASA DIRI


Kelana berteduh di pekan Miri
cuaca elok terik mentari
kerana menurut nafsu berahi
rosak akhlak binasa diri.

Cuaca elok terik mentari
silau biasan di pinggan kaca
rosak akhlak binasa diri
diri terhina di dalam cerca

Silau biasan di pinggan kaca
nampak memancar di tengah padang
diri terhina di dalam cerca
hidup mati tidak terpandang.

Nampak memancar di hujung padang
padang semak ditumbuhi lalang
hidup mati tidak terpandang
bagai pak pandir dirundung malang.

Padang semak ditumbuhi lalang
di pinggir kali rumput berampai.
bagai pak pandir dirundung malang
ke hulu ke hilir hajat tak sampai.

Di pinggir kali rumput berampai
tempat merbuk membuat sarang
ke hulu ke hilir hajat tak sampai
sedih menanggung badan seorang.

Tempat merbuk membuat sarang
tinggi menjulang di ranting berduri
sedih menanggung badan seorang
kerana turutkan nafsu sendiri.

Tinggi menjulang di ranting berduri
tempat berpaut si burung nuri
kerana turutkan nafsu sendiri
binasa hidup membawa rugi.

Che Fauziah Idris
KualaKurau.
Perak
7 Julai 2012
12 .57 pm

No comments:

Post a Comment