Saturday 11 August 2012

MENDIDIK INSAN

Pandan membiak di kerat-kerat
jelatik hinggap di dahan sena
Ramadhan bulan penuh berkat
mendidik insan menjadi sempurna.

Jelatik hinggap di dahan sena
balan di sarang mematuk galak
mendidik insan menjadi sempurna
bulan Ramadhan membentuk akhlak.

Balan bersarang mematuk galak
padi tersedia di dalam talam
bulan Ramadhan membentuk akhlak.
peribadi mulia ajaran Islam.

Padi tersedia di dalam talam
biji selasih di kedai nyonya
peribadi mulia ajaran Islam
Allah kasih sebagai hambaNya.

Biji selasih di kedai nyonya
ulat gonggok berwarna merah
Allah kasih sebagai hambaNya
taat perintah kuat beribadah..

Ulat gonggok berwarna merah
keladi birah di tepi khemah
taat perintah kuat beribadah
menjadi permimpin penuh berhemah.

Keladi birah di tepi khemah
air di kolah melimpah ruah
menjadi pemimpin penuh berhemah
penuh tawadduk hidup bermaruah.

Che Fauziah Idris
Kuala kurau
Perak
8 Ogos 2012
11.26 am

No comments:

Post a Comment