Tuesday 26 June 2012

KERANA PEMURAH


Melayu terkenal sejak dahulu 
sifat permurah tak mengira seteru
sebagai saudara sentiasa diperlaku
tidak membeza engkau dan aku.

Murah hati baiknya budi
dalam berkawan sentiasa sudi
dalam baik dibalas keji
sembunyi bisa dibalik taji.

Andai tidak selalu waspada
apa kehendak sentiasa ada
kalau tidak berpada –pada
lemaklah mereka mengada.-ngada.

Berbuat baik jangan berlebih
walaupun hati sepenuh kasih
bukan semua berniat bersih
akhirnya kita ingin disisih.

Orang kita suka berkawan
tidak menghirau seteru dan lawan
tidaklah sedar diri ditawan
umpama tergoda si gadis rupawan.

Sifat pemurah itu biasa
namun harus diingat sentiasa
jangan sampai hancur binasa
Kita hilang tanah pusaka.

Andai terjadi bagai tersedik
ke mana haluan dibawa nasib
elok berfikir secara cerdik
dalam merenung minda berbisik.

Jangan dibuat perkara rambang
budi yang molek orang tak pandang
hidup tergugat simpang perenang
di lautan neraka kita berenang.

CFI
Kuala Kurau
Perak
25 Jun 2012

No comments:

Post a Comment