Wednesday 2 May 2012

CINTA KASIH SAYANG


Sayang sayang buah kepayang
bila dimamah mabuk terlayang
andai teguh berkasih sayang 
pasti bahagia akan menjelang.

Kasih dan sayang bukan mainan
tidak seperti barang dagangan
tulus dan iklas dalam pegangan
setia teguh berlandaskan iman.

Hanya jauhari yang mengenal manikam
biar dipilih jangan menerkam
andai cinta berlaku kejam
pastilah diri sengsara terpendam.

Hidup bagai intan terpilih
setia budi dalam berkasih
niat hati suci dan bersih
kalbu bersinar bak kain putih.

Cinta itu anugerah Ilahi
buat insan yang mahu mengerti
dalam pergaulan berhati-hati
andai tersasar diri yang rugi.

Kasih sayang kerana Allah
hidup bersatu tak berpecah belah
silaturrahim tercipta indah
hindarkan musuh durjana berhelah.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
18 April 2012

No comments:

Post a Comment