Thursday, 3 May 2012

AKHLAK DAN PEKERTI



Jujur dan takbur amalam diri
iklas dan angkuh mainan hati
akhlak pembentuk sikap dan peribadi
bertunjang antara keji dan puji.

Lagak sombong orang takbur
ego bertingkah imannya lebur
indah bahasa orang yang jujur
berbudi mulia sentiasa dihulur.

Apa megahnya pada lagak
ego tinggi sombong dan bongkak
amat indahnya budi dan akhlak
Allah muliakan di akhirat kelak.

Mulia sungguh orang tawadduk
merendah hati sentiasa menunduk
orang yang zalim bersikap buruk
bagaikan seladang ingin menanduk.

Akhlak yang baik disenangi orang
tidak membuat perkara terlarang
hidup tenteram hati pun senang
budi bahasa sentiasa dikenang.

Hidup di dunia tidaklah kekal
amal makruf nahi mungkar
amalan soleh menjadi bekal
akibat buruk pastikan sesal..

Duhai insan insaflah diri
setiap di dunia tiada abadi
berhati-hatilah mengemudi diri
amalan dihitung kemudian hari.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
27 April 2012

ANTARA KELAM DAN SINAR



Akal memilih jangan tersasar
antara kelam dengan sinar
memandang ringgit mata berpinar
lalu memesong kuasa yang benar

Negara kita tempat bernaung
panji terkibar megah melaung
semangat bersatu biar diharung
benar dan nanar wajib dihitung.

Politik itu umpama berjudi
nasib rakyat wajib dipeduli
jika pemimpin tidak berhati
kemakmuran negara tidak menjadi

Pemimpin onar membawa musibah
mendabik dada merasa gagah
dalam megah membuat helah
bujur berlalu melintang patah.

Pemimpin benar pintar berakhlak
memimpin rakyat dengan bijak
maju dan jaya sentiasa digalak
mendidik bangsa tak pernah jelak.

Rakyat bijak lagi terdidik
pintar memilih pemimpin yang cerdik
berfikir dengan minda celik
harus mengkaji jasa ditilik.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
26 April 2012

RAJIN



Rajin rajinlah diri
mencari makna hakiki
dalam rohani dan jasmani
menjadi dwidimensi
pada keindahan hayat.

Rajin rajinlah diri
mencari rahsia bisikan hati
meyelami sanubari
pada tetap satu pilihan
antara urusan dunia dan akhirat
yang mana paling memikat.

Rajin rajinlah diri
mendengar bisikan Al' Quran
menghayati lautan ilmu
tafsir dan kalam Tuhan
menyingkirkan yang kufur
dan meraih sejuta kebaikan
pada garis masa
selagi masih bernyawa.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
25 April 2012

MERTABAT KEROHANIAN



Iman dan takwa penerang jalan
buat bekalan hari kemudian
kalam Al'Quran jadikan pedoman
perkara yang baik menjadi panduan.

Bujukan duniawi sekadar menggila
nafsu dan cumbu sentiasa menggoda
jika iman tiada di dada
alamat diri diulit petaka.

Hidup ini hanyalah sandiwara
setiap perbuatan dihitung kira
segala kemungkaran mengundang bala
amal kebaikan diberi pahala.

Mertabat manusia sebaik kejadian
unsur kerohanian memainkan peranan
akal dan fikiran berlandaskan iman
taufik dan hidayah menuju kebenaran.

Iman dan takwa penggerak minda
fizikal dan spiritual dirangkumi manusia
menjadi khalifah mantap dan selesa
di alam nyata mendapat redha.

Motivasi diri rangsangan peribadi
memberi kekuatan fitrah dan naluri
sentiasa meyedari kekuasaan Ilahi
unggul terbina di jati diri.

Bebaskan diri dari kongkongan
belenggu khurafat juga khayalan
iklaskan hati dalam ketaatan
dirahmati Tuhan sebagai ganjaran.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
25 April 2012

SEANDAINYA KATA -KATA



Untuk apa mengungkap kata
kalau hanya sekadar merungut
dan menunjukkan kebodohan
pada kekosongan minda
yang beku dan kaku.

Untuk apa berkata nista
kalau hanya sekadar mencerca
dan mempamerkan kedunguan
pada kerendahan budi
yang menyakitkan hati.

Bicaralah pada kesungguhan
dan kemuliaan jiwa
lalu membentuk wibawa diri
pada kesejatian manusia
yang punya rencana .

Andai tak mampu berbicara
pada perjuangan suci
dan keindahan nurani
lebih baik diam dan menjadi bisu
pada kata kata tak bermakna.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
25 April 2012
1.18 am.

BICARA BUAT ANAK PERIBUMI



Anak-anak peribumi
kalian amat bertuah mejadi jenerasi
yang bernaung di langit waktu
yang tidak pernah dusta
atas rengkuh payah perjuangan silam
yang menuntut erti merdeka
dan meraih erti keamanan
untuk nusa dan bangsa.

Maruah yang tercabar
terpelihara dalam keakraban
suci dan murni
buat kalian nikmati
erti kebebasan
di tanah air sendiri.

Kenangilah sejarah silam
jerih perih nenek moyang
dalam duka dan airmata
dalam korban dan darah perkasa
mertabatkan erti daulat
dan bangsamu diangkat darjat.
lalu hadir kalian memberi erti
untuk kesinambungan bakti
membentuk jenerasi jaya
tersohor di persada..

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
24 April 2012

ADUHAI ANAK , INGATLAH..


Malang diri sendiri yang tempah
segala nasihat tidak diendah
anggap perkara semuanya mudah
ditimpa malang diri tergadah.

Bukan salah ibu megandung
setiap perbuatan sukar dibendung
bila langkah tersalah sadung
bagaikan ayam kalah menyabung.

Ibu berdo'a siang dan malam
pilu di kalbu berhati walang
andai si anaknya ditimpa malang
nasibnya anak sentiasa dikenang.

Bila diri di ambang binasa
pahit maung pasti terasa
insaflah diri terhadap dosa
takutkan balasan dari Yang Esa.

Wahai anak zaman sekarang
jauhkan diri barang dilarang
perbuatan jahat biar ditentang
bahagia hidupmu di jalan terang.

Nasihat ibu dipegang selalu
agar dirimu tidak keliru
malangnya nasib jangan diburu
andai perbuatan mengharu -biru.

Kita hidup dalam dunia
janganlah leka asyik terlena
jadilah insan memberi guna
akhlak yang baik biar terbina.

Che Fauziah Idris
KualaKurau
Perak
25 April 2012

MARUAH BANGSA


Bersultan di hati bagaikan Hang Jebat
merasa diri sentiasa hebat
namun hidup penuh muslihat
akan membawa seribu musibat.

Bila diri dianggap penderhaka
sering membawa mala petaka
bila asyik lalai dan leka
pasti bangsa ditimpa celaka.

Bila penderhaka mula bermadah
penuh dengan tipu dan helah
bangsa bergolak resah dan gundah
akhirnya melayu menjadi susah.

Biarlah hidup memberi guna
membuat sesuatu dalam rencana
jangan diri bena tak bena
kelak bangsa dipandang hina.

Jangan jadi insan yang alpa
sanggup ditindas dan menjadi lupa
akhirnya bangsa miskin dan papa
melayu hilang tak dikenali siapa.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak

ANGKARA DURJANA



Mendokong biawak hidup dirundung nasib
malang bertamu datang berbisik
sekali diduga pastikan serik
angkara durjana begitu licik.

Andai diri ditandang cubaan
lantas ihsan menjadi korban
tanpa sekelumit belas kasihan
terpaksa menanggong segala beban.

Biawak hidup lidah bercabang
memutar kata bersilang -silang
hidupnya mudah bersenang lenang
tanpa hiraukan kesulitan orang.

Insan begini menganggap mudah
tidak mahu bersusah payah
usaha ikhtiar tak pernah endah.
sanggup membuat orang tergadah.

Malangnya nasib menimpa diri
andai suratan telah terjadi
berbuat baik membawa rugi
menjadi luka hati nurani.

Beringatlah kita sebagai insan
jangan kelamkan hati dan perasaan
setiap perlakuan menjadi hitungan
takutkan balasan di hari kemudian.

Allah itu maha melihat
andai bergelumang dengan muslihat
setiap perkara menjadi berat
dosa terhitung di alam akhirat..

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
22 April 2012

RAGAM MANUSIA


Burung tiong hinggap di dahan
patah ranting buat penahan
surah Al' Quran kalam Tuhan
hukum hakamnya penerang jalan.

Naik perahu ke Tanjung Bidara
singgah sebentar ke Batu Berendam
dalam lembut kata bicara
amarah bersulam berkait dendam.

Mari bersama bersihkan rumah
disusun kemas hiasan indah
singkirkan bahana sifat mazmumah
semaikan cinta sifat mahmudah.

Sakit kaki terpijak duri
duri selumbar tersangatlah bisa
peribadi adalah harta diri
buruk baik nilaian manusia.

Lesung batu dahulu kala
barangan antik masih berguna
domba dan dusta dihumban segala
ukhuwah indah mesra terbina.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
21 April 2012

HATI DAN BUDI


Sahabat sejati memberi erti
nilaian budi membawa mati
jika tiada iklas di hati
sukar diteka dalam memerhati.

Bagai melepas anjing tersepit
belum berpaling ia menggigit
bila sekadar mampu menjerit 
segalanya bagaikan igauan pahit.

Alangkah malangnya nasib diri
begitu mengharap memohon simpati
bila terserlah kebusukan hati
budi diberi tidak dihargai.

Iinsan begini tak mengira saudara
bila ditolong membawa lara
segala kebaikan menjadi sandiwara
bagaikan parasit memakan jiwa.

Berbuat baik berpada -pada
beringat-ingat masa berada
bersatu hati bagaikan saudara
kenangkan bakti segala jasa.

Ingatlah bakti sesama insan
budi yang baik dilupa jangan
hargailah semangat setiakawan
menjadi harmoni dalam persahabatan.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
21April 2012

PEMUSNAH BANGSA



Pahlawan negara bagai pelita
memimpin rakyat di gelap gelita
tapi andai membuat angkara
negara akan menjadi huru -hara.

Dendam itu mainan kuasa
bagaikan racun penuh berbisa
andai pahlawan membawa celaka
alamat bangsa menuju binasa.

Jika bangsa di ambang musnah
di benak pahlawan memunggah nanah
bila diri disumpah seranah
pasti kekuasaan akan punah.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
20 April 2012.

DUSTA BONEKA



Kalau hidup jadi boneka
lagak bijak alasan direka
membelit perkara berlaku dusta
segalanya palsu memutar kata.

Bila hidup jadi pengkhianat
banyak dipesung segala amanat
mengadu domba menaikkan semangat
memberi bisa bagaikan penyengat.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
19 April 2012

Wednesday, 2 May 2012

KASIH NAN HILANG


Tak ada lagi langit cerah buat kubernaung
kalau hanya mendung memayungi sepanjang hari
bila sinar mentari seakan turut membenciku 
aku pun termanggu memandang awan kelabu
dalam resah gundah tanpa hati
genta rasa bagaikan mati.

Entah apa gerangan pergantungan nasib
tak pernah diberi ruang
pada resap rasa bahagia sejati
andai kekosongan sentiasa ditangisi
bila hidup sekadar untuk derita
aku pun tak punya jiwa.

Di manakah kasihmu tertumpah
andai tak terteguk walau setitis harap
bila rindu kalian tak pernah kudakap
di saat aku mendambakan pelukan sayang
bila keujudanku tak memberi nyata
lalu kau pinggirkan aku dari cinta.

Andai suratan menentukan azali
bila aku harus kehilangan rasa
bahagia sejati tak kumiliki
kupasrahkan saja seluruh jasad
buat Tuhan yang punya kudrat
dalam suratan atau kebetulan
hanya dia yang menentukan.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
18 April 2012.

CINTA KASIH SAYANG


Sayang sayang buah kepayang
bila dimamah mabuk terlayang
andai teguh berkasih sayang 
pasti bahagia akan menjelang.

Kasih dan sayang bukan mainan
tidak seperti barang dagangan
tulus dan iklas dalam pegangan
setia teguh berlandaskan iman.

Hanya jauhari yang mengenal manikam
biar dipilih jangan menerkam
andai cinta berlaku kejam
pastilah diri sengsara terpendam.

Hidup bagai intan terpilih
setia budi dalam berkasih
niat hati suci dan bersih
kalbu bersinar bak kain putih.

Cinta itu anugerah Ilahi
buat insan yang mahu mengerti
dalam pergaulan berhati-hati
andai tersasar diri yang rugi.

Kasih sayang kerana Allah
hidup bersatu tak berpecah belah
silaturrahim tercipta indah
hindarkan musuh durjana berhelah.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
18 April 2012

BUDI DAN JASA



Hidup umpama emas tempawan
makin bersinar makin menawan
apa lagi bersifat budiman
nama termasyur insan hartawan.

Bagai resamnya semerah padi
makin tunduk makin berisi
hati mulia mesra berbudi
dikenang orang sampai ke mati.

Kenanglah budi segala kebaikan
hati yang mulia jadikan amalan
segala jasa menjadi sanjungan
bakti ditabur penunjuk jalan.

Budi itu mulia darjatnya
tulus iklas memberi guna
dikenang orang selama-lamanya
bagaikan tugu indah terbina.

Buat baik berpada pada
pepatah melayu sering berkata
balaslah kembali segala jasa
budi yang baik jangan dilupa.

Demikian juga insan penerima
hargailah segala budi dan derma
untuk kebahagiaan insan sesama
barulah hidup aman sempurna.

Jangan jadi anjing tersepit
lepas ditolong terus mengigit
kenanglah waktu susah dan sakit
dibantu orang meningkat naik.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
17 April 2012

PUSAKA BANGSA



Warisi pusaka budaya bangsa
negara gemilang rakyat bangga
jasa dan bakti nilaian mulia
mertabat melayu dikagumi sentiasa.

Bangsa bersatu kukuh dan padu
benteng negara nilai bermutu
jati diri erat di pandu
budaya kita warisan melayu.

Tanah air tanah pusaka
gagah berdiri dengan perkasa
bergema teriaan ke ruang angkasa
laungan semangat wirawati negara.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
16 April 2012

SEJARAH CINTA~



Mataku terpaku
saat cinta mengukir sejarah
detik pertama lirikan matamu menikam
santun senyummu menyapa
resap kalbuku bergetar
ada debur yang mengocak
gelora rasa memukul dada

Sejarah pun melakar
saat kasih kita berakar
semaikan segala setia
rimbunkan dedaunan kasih
pohon cinta pun berkembang.

Termeteralah janji suci
antara rindu dan airmata
kita pun menebus dosa
andai harus terkorban jiwa
segala sengsara kita tempuh
lalu luka hatimu kusepuh
memberi harapan yang takkan mungkir.

Kini kau tiada lagi
tinggalkan aku mengenggam setia
mengenangkanmu dengan redha
menyiramimu dengan cinta
meski cuma di pusara
do'a kudus sentiasa kuiring
bila takdir telah berpaling
sejarah cinta pun menjadi tugu
pada kenangan yang tak mungkin terlupakan.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
15 April 2012

PEPAT DI LUAR RENCUNG DI DALAM



Dalam menyokong membawa rebah
bagaikan lebah membawa padah
madu diberi menyengat sudah
insan begini pendirian berubah.

Teman begini sukar ditafsir
bagaikan pisau dihunus berdesir
menikam belakang tak pernah terfikir
membawa padah pasti tak mungkir.

Pepat di luar rencung di dalam
sukar dinilai sulit difaham
dalam merindu menyimpan dendam
bagaikan sampan mengundang karam.

Biar direnung tiap pengalaman
jadikan itu sebagai pedoman
bila telus bersendikan iman
tidak mengikut hasutan teman.

Teman jujur tak membawa padah
sentiasa bersama di waktu gundah
jangan membuat hati tergadah
ukhuwah disemai terasa indah.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
14 April 2012

DUHAI ANAK DARA


Menjadi isteri bukannya mudah 
mesti menilai susah dan payah
mentaati nasihat ibu dan ayah
rumahtangga tak akan goyah.

Anak dara harus begitu
biar bersantun penuh pemalu
andai sudah diberi restu
ke jinjang pelamin kompang dipalu.

Walau di hati kekasih dipuja
ingin hidup berumah tangga
berterus terang memberi nyata
semoga difahami ibu dan bapa.

Ibu bapa harus mengerti
kehendak naluri anak sendiri
jangan dipaksa mengikut hati
takut merajuk membawa diri.

Kalau merajuk membawa lara
diam menjeruk menutup bicara
memberi aib keluarga yang sengsara
andai penghidupan di badai gelora.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
13 April 2012