Friday, 8 March 2013

BILA SENJA

Bila senja merona jingga ada lakaran mencorak di langit kelam dan indah pun menjelma merawat lelah mentari maghrib pun membelai hati memuji kebesaran Illahi. Di sejadah malam kita pun menjadi tetamu meneguk manisnya iman mengadu kepada Tuhan melapangkan dada mencari sejuta redha. Kita pun melirik bait pada kehalusan hadis dan kelunakan Al'Quran bersatu dalam jiwa meresap damai rasa. Andai lelah dalam pencarian dan kehilangan harga diri pulanglah mengabdi pintu kasihNya tetap terbuka pada keikhlasan do'a. SRI MAWAR Kuala Kurau Perak 1.13 am

KEMELUT MERANTAI

Dalam meniti saat demi saat di ruang hidup kita sering lupa pada waktu yang terbiar kesia-siaan dalam kekalutan lalu kemelut pun merantai membelit tiap persoalan yang tidak mungkin terlerai. Kita sentiasa mencari salah andai takdir berbicara lain maksud hati meraih angan namun kegetiran kian membukit menumpuk dalam hati yang sakit atas landas kekhilafan diri. Biarlah dalam waktu yang sedikit tersisa kita serakkan kudrat yang ada memenuhi impian mencari kebenaran dan menetapkan haluan tuju agar renung fikir tidak lagi celaru kita pun memecah buntu. SRI MAWAR Kuala Kurau Perak 12.26 am

PERWIRA

Tapau sarapan kuih bersira pengat dijamu terhidang di beranda bersantap tetamu sambil bercanda .........walau terkorban jasadmu perwira .........semangat juangmu menjadi lagenda .........tetap namamu mengharum persada.

UNTUK KALI TERAKHIR

Bila mata tertutup atau sedikit terbuka renungku tak lagi berkedip pejamku tak lagi celik itulah pengabdian terakhir berangkat ke Luh Mahfuz usahlah gentayangan menuju puncak awan. Mandikan aku untuk kali terakhir berlangir limau kasturi sintuk perlahan mengelus terbaring kaku kain putih berlapis menyelimuti aku. Di hujung kepala dan disekitar suasana gemakan aku dengan surah Yassin dan merdunya ayat-ayat Al’Quran tanda kasihmu padaku dan meringankan bebananku menyongsong pergi tak lagi kembali. Jangan menangis sayang andai kita terpisah kini aku dijemput pergi meninggalkan engkau dan secebis pesanan engkau yang mithali jadikan anakku insan berbudi andai afdal do’anya biar engkau dan aku tidak pernah menyesal menghuni alam jauh dari sesat dan dendam. SRI MAWAR Kuala Kurau Perak. 1.08 am

CINTA KITA

Kita tetap punya rasa mendalam di lubuk kalbu menjaring rindu syahdu menyelam di alam impian perasaan menjadi korban. Kita tetap punya rahsia menyimpul ikatan jiwa biar hakikat tersisih batin kita kian merintih walau tak terdaya di dalam kudrat dan iradat kasih sayang sepanjang hayat. Jurang menghantui bayangan nampak jelas di perairan kasih namun kelocak bergelombang biasanmu seakan hilang. Aku cinta padamu cintamu pun lekat di jantung hati namun kita tetap berbeza dalam nyata dan ilusi bagai tak tergapai menghuni puncak mahligai. Tapi sayang engkau tetap mejadi bayang mengekori tiap gerak dan ruang dalam hati dan perasan cinta kita memberi kesan. Dalam pasrah tahajjud kita merangkai do’a membawa harapan ke pintu syurga jauh dari noda dan dosa bila cinta bukan memiliki biar damai melangkah pergi. SRI MAWAR Kuala Kurau Perak 1 Mac 2013 12.52 am

JEJAK WAKTU

Kelmarin kita meninggalkan jejak waktu lalu melupakan tiap detik yang berlalu kerana tiap saat yang mendatang bagai berlari masa dikejar seribu satu persoalan. Hari ini kita meniti detik bersisa lalu meraih segala kesempatan kerana harapan yang dijulang bagai tidak terkata di alpa sejuta kesyikan dunia. Esok kita meninggakan tiap kenangan menatang jelang ketentuan hidup dan mati belum bisa melunas janji kerana segala sesuatu berada dalam ketentuan Ilahi Kita yang datang dan melangkah pergi adalah kita yang tersendiri. SRI MAWAR Kuala Kurau Perak 1 Mac 2013 12.16am

MENYEMAI BUDI

Pohon selasih tinggi mengayat pangkas rantingnya harus sentiasa bila kasih merangkai hayat tenteramlah jiwa damai sentosa. Lima bulan mengidam nangka jeruk mempelam di dalam kendi sama menelan suka dan duka itu tandanya menyemai budi. Bersih lantai di sapu bersama silau cermin tembus ke dalam kasih diuntai seindah purnama kilau cahayanya menerangi alam. Manggis putih tampuknya lapan ikat sekati buah berangan gadis manis ayu dan sopan memikat hati melirik angan. SRI MAWAR Kuala Kurau Perak. 26 Feb 2013 9.45 pm.

YANG DATANG DAN PERGI

Yang datang menjanjikan mentari terang tanpa mendung hitam dan gerimis mengundang. Yang pergi melenyapkan segala kepalsuan tanpa putihnya awan dan biru di langit impian Kita ini bagai pelarian mengharapkan gemerlapnya bintang dan sinar di bulan mengambang namun hijaunya dedaunan adalah kelayuan pada tunjang kebenaran. Sedarlah dari lena yang panjang hidup yang sementara biar bercahaya menerajui persada dan suburnya kita menjadi penaung bertumpang teduh. SRI MAWAR Kuala Kurau Perak 25 Feb 2013 1.21am

PUTIH DAN HITAM

Bila lidah bagai gergaji tajam matanya berlekuk gerigi lalu suka menabur janji sedang bukti tidak terpuji. Kata-kata bagai mengarah suka mengarut memecah belah asyik merungut mencari salah sedangkan diri tidak menyerlah. Dalam mengarut leka terlena corak hatinya berbagai warna budi terlupa kutukan terbina itulah takbur suka menghina. Angan-angan tinggi menggunung bagaikan tidur di atas bumbung andai hati taksub dan sombong segala ego tinggi melambung. Bila sekadar bijak bercakap sedang hidup laksana merakap hanya mengganggap diri yang cekap namun menunjuk buruknya sikap. Kasihan orang rendah fikirnya menyesal kemudian tiada berguna hanya mengikut telunjuk katanya sedangkan hidup akan merana. Bukalah minda cerahkan fikir segala janji janganlah mungkir hidupnya kita bagaikan fakir di tanah air bagai musafir. Andai milik terlepas tangan gelap segala masa hadapan rosak diri mabuk penangan tiadalah lagi dapat berangan. Hitam hati mengikut corak rosak pekerti bagai digertak bergema hinaan di dalam sorak sedangkan langkah tidak bergerak. Putihkan hati nilaikan budi andainya molek laku pekerti wawasan jaya elok di titi untuk kehidupan lebih bererti. SRI MAWAR Kuala Kurau. Puteri Perak 24 Feb 2013 9.58 am

PANTUN

Besar lipan di tepi palung terkapai katak ditelan ikan biar harapan tinggi menggunung tercapai tidak Tuhan tentukan. Merah pakaian tersidai di ampaian baju Pak Pian ditiup taufan fitrah insan sesal kemudian itu sebahagian pintu keinsafan.

PANTUN CINTA SEJATI

Cempaka di titi di kiri kanan indah berseri menghias taman luka hati menjadi peranan muhasabah diri itu pedoman. Cenderawasih dan selayang di atas jerami kumbang berterbangan di atas titi kasih dan sayang tetap bersemi lambang kemurnian cinta sejati. Liar merbah meluru di angkasa terkedu melihat si ular sawa biar gundah membelenggu rasa itu menjadi penguat jiwa. Di dalam peti tertanam kekwa cabai melaka di tepi gua bahagia hati tenteram jiwa andai setianya tiada dua. Bila terhidang keropok lekor enak disantap minuman bersusu bila kumbang bukan seekor apa dihirau rayuan palsu. Buah berangan dikelilingi duri sendok berasap di tempat hidang bila bayangan menghantui diri elok menatap seluas pandang.

KITA HANYA SEKECIL KIAMBANG

Kita hanyalah sekecil kiambang
 terbelah di haluan tuju
sedang kita penghuni alam
 pedih di terik hari.

 Kita kiambang terapung
di tasik kehidupan
menghijau rona
tenang dikocak maya.

 Tapi bila biduk melintasi
 kita tercerai diburu mimpi
tidak terjawab tanda tanya
haluan biduk hala ke mana
 kita pun mula memikir
 kolek hanya sekadar kolek
 yang tak pernah tahu derita lara
 kedalaman dasar
 atau karam di muara.

 Andai kiambang kembali bertaut
 atau lalang meliuk lintuk
 menepis angin angkara
kita pun memilih arah
 menentukan jejak diri
dan berperang dengan hakiki.

 Kitakah kiambang yang terapung
 atau lalang ditiup angin.

 SRI MAWAR
Kuala Kurau
 Perak
15 Feb 2013
 12.54 am._

ENGKAU LELAKIKU

ENGKAU LELAKIKU Engau lelakiku ilham dari syurga menjadi pelita menerangi segala. Engkau lelakiku sumber segala rasa menjadi pautan tumpuan pacaindera Engkau suamiku naungan hasrat munajat kasih cinta erat mengikat. Sampai mati tetapkanlah hati curiga jangan meniti biar lara kita teruji kita genggam setia nan tulus seni jiwa ikhlas dan telus. Bila cinta menerawang angkasa bersama melayah ke teluk suka berterbangan melepasi lautan duka kita pun menetap tiitk keikhlasan atas satu cinta hidup mati biar berdua. SRI MAWAR Kuala Kurau Perak 14 Feb 2013 12.53 pm Suka · · Promote ·

AKU WANTAMU

Bila aku wanitamu yang punyai sejuta cerita ruang fikirku sentiasa bergelora terhempas badai perasaan dilambung ombak kekalutan takkan ada lagi seri terukir takkan ada rona mesra terlahir kemelut bagai mengikis keremajaan jauh terpinggir menjadi selaut peristiwa dirangkai masa. Aku ini wanita di hujung senja memiliki seberkas kudrat tak mampu kuat mengikat meski kasihku sentiasa tertambat padamu insan tersayang dan engkau hadir sebagai bayang memburuku tiap detik saat mula cinta berputik. Semoga saja kasihmu memalar segar cinta hatimu sentiasa mekar meskipun aroma kuntumku tidak lagi sewangi dulu dan kelopaknya gugur satu-satu. SRI MAWAR Kuala Kurau Perak 12 FEB 2013 1.01 am

SEPUTIH SALJU SEMERAH DARAH

Kalau kita punya cinta seputih salju semerah darah menggetarkan degup jantung aliran rindu di sukma bagai kerdip kejora di dada malam ia berasmara. Bayu pun berpuput lembut mengelus wangian syorga merangkul seerat kasih resapnya memberi ilham bertebaran titisan kalam di tinta kalbu melirik syahdu senandungkan cinta ke hujung nyawa Bila bahagia itu milik kita engkau dan aku tetap bersatu mengenggam suka duka memahat ukiran takdir dan hiasan kita melatari zaman. SRI MAWAR Kuala Kurau Perak 19 Feb 2013

JENDELA MATA

Kita tetap serupa sentiasa memandang di luar jendela meneliti peristiwa melangkaui luar diri lalu lupa untuk bercermin bagi merapikan diri sendiri. Ada apa pada cinta kalau hanya mainan perasaan melekakan tumpuan sedang hidup ini makin memaksa untuk kita telusuri sejuta hakiki. SRI MAWAR Kuala Kurau, Perak 12 MAC 2012

TIADA LAGI RINDU

Tiada lagi rindu dan keluh kesah pada rentetan waktu kerna hidup ini bersimpang siur dan susur galurnya bagai menjerat masa depan lebih memikat. Kita lupakan kisah silam bila segalanya menerbit dendam membunuh kecintaan melenyapkan igauan musim semi dikubur masa tiada lagi kelam cahaya. Kita adalah kita makin terasing mengubah haluan sesat di hujung persimpangan dan kita pun saling melambai bila jabat kasih kita terlerai aku pun kian tenggelam di laut segara lemas menyelam sedang engkau di pantai bahagia tersenyum girang. SRI MAWAR Kuala Kurau Perak 5 Feb 2013

INDAHNYA BUDI

Budi bahasa lembut tuturan menambat ukhuwah dalam berkawan ikhlas berbakti jadi panutan nama yang baik jadi sebutan. Bila jiwa bersih nurani ihsan hatinya buat berbudi tidak menerbit rasanya benci iman dan takwa menjadi sendi. Jasa dan budi itu matlamat tidak mengira diri dikhianat asalkan setia penuh berkhidmat kepada Allah dipohon rahmat. Amanah itu satu pegangan tidaklah mudah hilang pedoman tidak menghina mencaci jangan hadis , Al’Quran jadi panduan. Mindanya luas bersinar terang lembut hatinya bersifat tenang budinya baik sentiasa mengenang tidak memilih susah dan senang Bila berbakti tidaklah gundah sentiasa redha di dalam tabah walau beribu datang musibah namun hatinya sentiasa pasrah. Setiap maki ditelan caci tidak sedikit merasa rugi hatinya ikhlas patut dipuji tidaklah pernah ia membenci. Insan begini hatinya mulia segala dugaan bersiap sedia kasihnya telus terhadap bangsa pasti mengharum nama n.egara Kalau kita berbaik sangka Allah pasti memberi suka tidak hidup dalam berduka aman sentosa dalam sejahtera. Orang tamak selalu rugi orang yang baik sering dipuji tidak hidup bagai gergaji didalam lembut menusuk taji. SRI MAWAR Kuala Kurau Perak 4 Feb 2013

DILERAI JANJI

Mengapa ada derita meraung di bingkai sukma jeritan tanpa suara dimamah kepiluan rasa menusuk kalbu disayat janji palsu. Mengapa melunakkan janji jika sekadar berilusi andai pelangi menghias kata racun melerai bisa dan kalbu seakan mati harapan kehilangan erti. Engkau yang mentafsir atas kelemahan diri menghujam bagai cemeti membelit kerakusan budi menerjang segenap benci. Aku tidak mungkin berpaling mengintai mimpi di lautan dendam airmata menerbit karam tidak mampu kuselam. Kita merungkai ikatan tidak perlu berkelana di dalam mimpi yang membuai lena. bila siang menjelang kenyataan hidup membuai terang. SRI MAWAR Kuala Kurau Perak 2 Feb 2013 12.55am

Friday, 1 February 2013

KENAPA

Bila kita merasa selesa
menghirup harum kemakmuran
dalam damai sentosa
kenapa perlu membibit sengketa
menyeterui bangsa sendiri.
sentiasa mencarik benci.

Bila kita merasa aman
mendapat segala kemudahan
dalam udara kesejahteraan
kenapa perlu mengadu domba
mengkhianati generasi masa.
menghitamkan pemikiran saudara.

Kita ini insan yang malang
bila sering merasa kurang
tidak lagi berhati perut
sering kali hanya menurut
tanpa berfikir
leka berleter
mencari kekurangan
tidak berusaha membetulkan
sekadar mencaci
memburukkan bangsa sendiri.

Kita ini bagai petualang
selalu tidak mengenang
mencari helah
pendatang dirasuk ketawa ghairah
melihat bangsa sendiri berpecah
dalam tepuk sorak
diam-diam mengatur gerak.

Andai bersatu teguh
Melayumu tidak bakal runtuh
mengenggam kukuh perpaduan
menjulang setia kemerdekaan
di tanahair sendiri
mengibar panji-panji
kesatuan hati .

Ini negara kita
tumpah darah cinta ibunda
seringai jembalang
sentiasa menantimu lena
mendakap alpa
dan bangsamu kehilangan maruah
merempat tak bertempat
mengemis di lorong hamis
musafir bagaikan fakir
bila lalai memaknai budi
generasimu kehilangan seri.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
29 Jan 2013
12.58 am.