Sunday, 1 July 2012

ANDAI TERLUKA


Andai jiwamu luka tersayat
arahkan saja ke pintu qiblat
kalau di sana rintihanmu terlerai
dipautmu dengan kasih tak tercerai.

Cinta-Nya semesta alam
redha-Nya yang paling dalam
tak terucap dengan kata
tak terbanding segala harta.

Khusyuklah meraih cinta
tawadduk tak membuat kau lara
rendah hati kemuliaan budi
jernih jiwa menghapus dosa
lalu bahagia kau genggam selamanya.

CFI
Kuala Kurau
Perak
30 Jun 2012


Saturday, 30 June 2012

DUKA LARA


Duka jangan dipendam
kelak membarah membibit dendam
andai itu sekadar menguji
biar tersemat segala puji.

Bila tersungkur di pintu takdir
segala harapan takkan mungkir
walau setahun di dalam resah
iman dan takwa baik diasah
agar tenang jiwa mengait rasa
damai sentosa bertenun bahagia

CFI
Kuala Kurau.
Perak
30 Jun 2012
5.43 pm

MESRA BUDI


Salam mesra bersantun adat
kalam bicara mengungkap makrifat
andai telus niat terangkai
teguh ikatan tak terungkai
kita simpulkan saja
mesra bertali budi
kasih merantai hati

Kita buang jauh-jauh
onak dan duri hati
bersaling paut
iklas setia bertaut
mengharap redha Illahi
sebelum berangkat ke pintu maut.

CFI
Kuala Kurau
Perak
30 Julai 2012

JANGAN SIMPAN LARAMU


Sibuk yang disengaja
dapatkah melupus lara
andai lelah jiwa
terpenjara dek renta usia.

Andai nyanyian rindu beralun
sayunya gemersik melantun
seloka berbait kalam
mengungkap luahan kalbu terdalam.

Usah kau sembunyikan gerak rasa
terbeku kelaut derita
nyanyikan lagu jiwa
mengungkap sejuta bahasa
biarkan hatimu melirik
meniti bait ke bait
bila ada yang menemani
kau tak akan sepi lagi.

CFI
Kuala Kurau
Perak
30 Jun 2012
7.06 am

Friday, 29 June 2012

DALAM PERPADUAN


Demi kebaikan rakyat jelata
jangan terbabit dalam sengkata
merenung , memikir tutur dan kata
perpaduan membawa damai semesta.

Dalam berjuang mencapai matlamat
harus ditimbang segala maklumat
biar tindakan telus dan selamat
sempurna hidup mendapat rahmat.

Andai kita sering berbalah
tidak menghirau benar dan salah
ibarat buluh dikerat belah
matanya runcing di hujung galah.

Dalam perpaduan menolak geruh
tidak membawa resah dan rusuh
segala keburukan biarlah lusuh
cerdiklah akal minda diasuh.

Bila kita hidup sempurna
tidak lalai atau terlena
sebagai rakyat biar berguna
masa hadapan tidak merana.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
29 Jun 2012
7.49 am

Thursday, 28 June 2012

RAHSIA DIRI


Kalau kita mahu mengerti
tentang hakikat hidup ini
dan menyelami kejadian diri
kita pasti ingin mencari
suatu bentuk penilaian abadi
lalu pasrahkan iman ke hadrat Illahi.

Kalau kita ingin tahu
kekuasaan Allah yang Satu
menjadikan tiap sesuatu
penuh dengan rahsia tertentu
kita pun tidak ragu
lalu menggengam kukuh iman yang padu .

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
28 Jun 2012

UJUB


Ujub bermaksud bangga diri
miliki sifat tingginya diri
hidup sentiasa ingin dipuji
riak dan takbur mainan hati.

Sombong dan bongkak sudahlah tentu
bangganya diri setiap waktu
hebatnya diri bila diseru
kononnya pintar lagi berilmu.

Jika diri cukup sempurna
biarlah hidup memberi guna
jangan asyik memandang hina
di sisi Tuhan semuanya sama

Walau ilmu penuh di dada
hidup mewah seba berada
tapi jangan pernah kau lupa
itu pinjaman Yang Maha Esa

Lebih baik merendah diri
walau darjat mekar berseri
biar hatimu mulia berbudi
namamu indah elok terpuji

Dunia ini sekadar tumpangan
untuk diuji amal dan iman
dalam Al Quran sentiasa berfirman
eloklah kita ambil pedoman.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
28 Jun 2012

Wednesday, 27 June 2012

KATA TERUCAP BERMADAH HELAH


Kerana kata indah bahasa
itu hanyalah bermuka-muka
dalam pesona menipu daya
akhirnya diri dalam binasa.

Kata terucap bermadah helah
sanggup bertegang rela berbalah
tidak memikir benar dan salah
akhirnya hidup berpecah belah.

Dalam muslihat menegak juang
pintar meraih segala peluang
bagaikan gagak datang menyerang
terpalit najis setiap ruang.

Renung dan tenung panduan diri
buruk dan baik elok dikaji
jangan terhasut mesra tersaji
dalam berlembut diasah taji.

Jangan diturut hati sendiri
kelak hancur binasa diri
rosaklah nama orang mengeji
hilanglah ghaib segala puji .

Walau ilmu penuh di dada
tapi tidak menilik perkara
hanya mengikut cita dan rasa
pasti akhirnya penuh kecewa.

CFI
Kuala Kurau.
Perak
27 Jun 2012

NYANYIAN JIWA


Kalau saja rentak hati bisa senada
menjadi lirik dan melodi serasi
pasti gemanya menguasai alam
merayap alunan ke laut pandang.

Tapi irama hati kita tak sama
sukmamu berdendang senada ria
kalbuku ditawan nyanyian rawan
kelak disatukan dalam dendangan
pasti sumbang irama paduan.

Bernyanyilah kita sendiri-sendiri
andai bisa menghibur hati
lagu jiwa lagu rasa
hanya kita yang tahu resapannya
membuai segenap perasan
tanpa sunyi dan tanpa bosan.

CFI
Kuala Kurau
Perak
27 Jun 2012
8.10 am

Tuesday, 26 June 2012

KAU MASIH TAK MENGERTI


Dalam kebuntuan kata
termanggu kehilangan bicara
baitku tak bertinta
rusuh menjerut hati
ilhamku makin sepi.

Telah setahun rindu tergadai
membingit telinga pedih terlerai
kurenangi selaut rasa
menguak bahasa jiwa
ada sejuta kehampaan
dalam nubari pilu menerkam.

Masih kau tak mengerti
kalau segalanya sekadar menguji
bukan harga yang kupinta
tapi sekadar memahami makna
andai hidup hanyalah ilusi
biarkan ku bermimpi.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
26 Jun 2012
12.44 pm

( Puisi yang ke 500 genap setahun…)

KAU YANG TERSENDIRI


Kau tak pernah datang , adikku
kala jelang rindunya di tebing mata
kelibatmu tak pernah ada
sayu kalbuku menatap pandang
di penjuru matanya titik berlinang
kasihnya jauh sukar diselam.

Pasrah
rindu yang terbiar
kelam dan tawar
berjuta saat dihitung
jejak kakimu tak kunjung.

Perginya dia ditatap sendu
merusuk pedih membarah di hati
biar rindunya di kalbu menggoda
kala nafas terakhir menerbit tanya
‘masih ingatkah dikau padaku,
kalau saja kau hilang tak berseru”
pergilah dia dengan rusuh hati
dalam jasad dan jasmani
sebelum terhentinya degup nadi.
tetaplah engkau yang tersendiri.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
25 Jun 2012
11.20 pm

BILA HUJAN


Kemarau gersang di tanah bendang
kering kontang di tanah padang
panas menyingau selaut pandang
hati yang panas makin membahang.

Bila gerimis mula menitis
resahnya hati bagai terhakis
tidak lagi sedih merintis
bersyukurlah diri mendapat pitis.

Andai hujan deras mencurah
hati yang risau hilang gelabah
segala kemelut menjadi indah
bagaikan irama diolah madah.

Mutiara menitis dari gemawan
bagai membasuh duka dan rawan
kalbu bersinar hati tertawan
itulah sifat adil pahlawan.

Bila mendapat siraman kalbu
jasanya baik kenang selalu
biar digilap fikiran buntu
agar mindamu tidak keliru.

Jangan lupa laut dan darat
bila berada di pantai muslihat
bantuan diperlu di suatu saat
bila tak daya menanggung sarat.

Di dalam hidup semuanya mungkin
banyak yang kaya tak kurang miskin
andai bersatu teguh terjalin
segala kesempurnaan dapat dipangkin.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
26 Jun 2012
9.35 am

KERANA PEMURAH


Melayu terkenal sejak dahulu 
sifat permurah tak mengira seteru
sebagai saudara sentiasa diperlaku
tidak membeza engkau dan aku.

Murah hati baiknya budi
dalam berkawan sentiasa sudi
dalam baik dibalas keji
sembunyi bisa dibalik taji.

Andai tidak selalu waspada
apa kehendak sentiasa ada
kalau tidak berpada –pada
lemaklah mereka mengada.-ngada.

Berbuat baik jangan berlebih
walaupun hati sepenuh kasih
bukan semua berniat bersih
akhirnya kita ingin disisih.

Orang kita suka berkawan
tidak menghirau seteru dan lawan
tidaklah sedar diri ditawan
umpama tergoda si gadis rupawan.

Sifat pemurah itu biasa
namun harus diingat sentiasa
jangan sampai hancur binasa
Kita hilang tanah pusaka.

Andai terjadi bagai tersedik
ke mana haluan dibawa nasib
elok berfikir secara cerdik
dalam merenung minda berbisik.

Jangan dibuat perkara rambang
budi yang molek orang tak pandang
hidup tergugat simpang perenang
di lautan neraka kita berenang.

CFI
Kuala Kurau
Perak
25 Jun 2012

SETITIS EMBUN DI JULAIAN DEDAUN


Kala dinihari menyepi
cengkerik malam menjadi saksi
pilu langit menitis tangisan
kelak jelang suria membening dingin 
punai cempera di reranting bergoyang
embun pun tumpah ke bumi.

Setitis embun di julaian daun
mesra bersapa kala kelam masih berbintang
andai hayatnya daun teguh di dahan
rintih sang embun kehilangan asa
terik mentari menghilang dahaga
embun kehilangan jejak
dedaun pilu sebak.

Malam jelang lagi mengarak mimpi
bulan bersinar menyindir awan
kala siang kepulan mengebu
bahasa alam pun menjadi syahdu
awan ditelan gelap malam
bintang bertabur seri terpandang
dan dedaun dijulaan merimbun
menanti nasibnya meluruh ke bumi
dan embun pun menitis lagi.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
25 Jun 2012
6.29 am

WASPADA BERLEMBUT



Berlembut itu ada caranya
jika sekadar ingin menduga 
namun jangan terus terlupa
di dalam diam ia menerpa.

Bersikap lembut memanglah elok
janganlah sampai dijadikan momok
jika tergadai hatikan remuk
negeri sendiri sedang di amuk.

Biar waspada dalam bertindak
di gelanggang politik banyak yang bijak
tapi jika kehilangan jejak
pemerhatian rakyat pasti tertolak

Andai negeri dijaga molek
segala perjuangan sama dikelek
kesulitan rakyat sentiasa ditilik
tidaklah bosan dibenak tersedik.

CFI
Kuala Kurau
Perak
24 Jun 2012
 

Berlembut itu ada caranya
jika sekadar ingin menduga 
namun jangan terus terlupa
di dalam diam ia menerpa.

Bersikap lembut memanglah elok
janganlah sampai dijadikan momok
jika tergadai hatikan remuk
negeri sendiri sedang di amuk.

Biar waspada dalam bertindak
di gelanggang politik banyak yang bijak
tapi jika kehilangan jejak
pemerhatian rakyat pasti tertolak

Andai negeri dijaga molek
segala perjuangan sama dikelek
kesulitan rakyat sentiasa ditilik
tidaklah bosan dibenak tersedik.

CFI
Kuala Kurau
Perak
24 Jun 2012

Friday, 22 June 2012

GHAIRAH

Bila tarian ronggeng pun tamat
tepukan riuh siulan gamat
penari berjijiran keringat
dalam tunduk hormat senyumnya sumbing
siapa tahu hatinya merkah 
pecah terbelah
dukanya menyimpan seribu cerita.

Penguasa membayang ghairah
mata jalang lelaki menelanjangi
liuk lintuk memancing pesona
jantungnya bergegar
hasratnya meruap dalam getar
rupiah dan ringgitnya menggoda
alpa pada kesepian seorang isteri
di rumah resahnya meniti.

Siapa yang menjadi korban
antara nafsu serakah dan kewajipan
isteri yang hampa , penari yang terluka
bila rupiah dan ringgit membutakan mata
antara budi dan keikhlasan
segalanya kian hancur dimamah waktu
lalu bencana pun menunggu di pintu nafsu.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
21 Jan 2012

KERANA CINTA ITU SUATU ANUGERAH


Kerana cinta suatu anugerah
pastilah jiwa sentiasa mengarah
ingatan terpahat tidakkan goyah
segala impian dilakar indah

Kerana cinta hidup bahagia
mengenggam kukuh janji setia
mekarlah perasaan kembanglah jiwa
kasih terikat itu dipinta

Kerana cinta perlu di pesan
menahan nafsu juga perasaan
kalau bersandar hukuman Tuhan
akan berbahagia sepanjang zaman .

Kerana cinta insan berbahagia
andai dijaga tata susila
tidak menurut nafsu gelora
sentiasa diperlihara iman di dada.

Kerana cinta harapan bertaut
lafaz diucap bernada lembut
alangkah indah jabat bersambut
seruan Allah segera di ikut.

Kerana cinta ada yang sengsara
memendam rasa sukma melara
andai ditinggal kekasih tercinta
hati nan kecewa membarah luka.

Kerana cinta bermuram durja
leka mengelamun melalaikan kerja
jangan diturut kesedihan meraja
pasti hidupmu kian merana.

Kerana cinta tak semesti bersatu
menutup bicara berlidah kelu
janganlah diikut sedih nan pilu
ingatlah kehendak Allah yang satu.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
21Jun 2012

KERANA SIKAP


Kerana hati sedang berduka
gelora dendamnya tidak terkira
ingin mengecap segala cita
sanggup hidup di dalam dusta.

Kerana impian di puncak tinggi
buruk dan baik tidak berbagi
segala dugaan bagaikan api
kalah dan menang mainan sendiri.

Kerana sikap ego melambung
maksud hatinya tinggi membumbung
dalam berfikir bersifat sombong
segala kehendak sentiasa diharung.

Kerana kau,anakku tambatan hati
segala nasihatku biar diteliti
buruk dan baik baik kau kaji
untuk kesempurnaan diri sendiri.

Kerana akhlak buruk begini
rakan dan taulan habislah lari
sanggupkan engkau tinggal sendiri
ditimpa nasib sepi sendiri.

Kerana dunia luas terbentang
janganlah cuma mengambil senang
suka dan duka harus diimbang
lautan hidup biar direnang.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
21 Jun 2012

MASIH ADAKAH HARI ESOK

MASIH ADAKAH HARI ESOK
 
Malam  menyeringai di bibir senja
jingga wajahnya ditutupi juraian kelam suram
ada bisikan seru selamat tinggal matahari
kerana hijrahmu untuk menutup lembaran hari ini
kelu aku di penjuru waktu mengenang kelmarin yang hilang
helaan nafas yang semakin tenat
apakah hari esok masih berkeringat..
 
Masih adakah hari esok
andai kerdip bintang di dada malam menutup sinar
suara merdu kicauan burung tak kudengar
menjadi pekak dan bisu pada kata suara
atau jasadku sekadar bayangan ditelan masa
bila pejam mataku tidak lagi berkedip 
di bungkah tanah bakal terbenam dihimpit bumi.
 
Oh Tuhan
kalau aku terus mengadapMu tanpa berpaling 
membawa segenap resah gundah bebanan dosa-dosa
dalam raga tak  lagi bernyawa
terhindar dari rangkulan dunia.
berangkatkah aku dengan walang hati
atau senyum menyantuni iman dan budi
bila segalanya tak dapat dimungkiri
pasrahlah aku pada ketentuan Ilahi.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
22 Jun 2012

BERCERITA TENTANG MIMPI


Aku pulau yang terbiar
gersang berdebu kontang tak berpenghuni
sunyi mengamit segala rindu
untuk apa melirik camar yang terbang dikejauhan
bila sepi itu indah
lalilah aku dalam gundah.

Kaukah camar itu
tercarik harapan di ranting mimpi
andai patah sayap membawa rusuh
kicauan tak lagi kedengaran riuh
luka disayat kecewa yang berpanjangan
kiraikan sayapmu datang ke mari
di sini kau temanilah aku
biar kita bercerita tentang mimpi…

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
20 jan 2012
11.44 pm