Friday, 22 June 2012

ILMU DAN IMAN


Ilmu dan iman penyuluh hidup
segala kemanisan dapat dihirup
kala kepanasan menjadi redup
bayang kehinaan semakin sayup.

Andai kita kurang berilmu
iman pula semakin dungu
pasti kita sentiasa ragu
dicucuk hidung bagaikan lembu..

Iman itu pegangan kita
menjadi suluh bagaikan pelita
tidaklah jiwa gelap gelita
teraba-raba di dalam nista.

Ilmu dan amal saling berganding
sama sepadan saling bersaing
barulah bahagia tidak berpaling
menjaga insan di saat genting.

Kalau ilmu penuh di dada
iman pula sentiasa dijaga
sempurna hidup aman sentosa
sepanjang hayat mengecap bahagia.

Kalau diri tidak beriman
bagai kemudi hilang haluan
ke mana arah hala tujuan
bagaikan nakhoda hilang pedoman.

Jika ilmu tiada di dada
pastilah diri mudah terpedaya
jiwa yang kelam teraba -raba
mudah ditimpa mala petaka.

Che fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
20 Jan 2012

SEIIRING SEJALAN


Seiring sejalan arah dituju
berkasihsayang biar berpandu
teguh ikatan membawa restu
tanda kemesraan setia bersatu.

Ikrar kita berpadu teguh 
jangan bercerai membawa roboh
andai pendirian menjadi rapuh 
pasti kekuatan menjadi runtuh.

Iman teriring sabar bertindak
mulianya budi itu kehendak
cantiknya pekerti senyumnya segak
umpama putera menjunjung tanjak

Kita jauhkan bibit seteru
ke jalan damai biar bersatu
membibit kasih membawa haru
indahlah ukhuwah bagai diseru.

Bersama mengharum nama negara
bersama teguh kita pelihara
wanginya bangsa seri persada
santun nilaian damai sentosa.

Che fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
18 Jan 2012
5.17 pm

BENING JIWA


Bila cinta mengetarkan segenap nurani
hasrat pun mengurai lafaz dan janji
teguhlah jiwa mengatasi segala rintangan
berbekalkan iman dan keyakinan
kurangkul segenap harapan
menjadi kekuatan dalam pengabdian
bila hidup ini adalah realiti
pencarian memberi seribu erti.

Selimut rindu pun tersingkap
bening jiwa kian mengerlap
serlahkan jernih hati
mendekap kesucian budi
bila segalanya mungkin
terlerailah seluruh batil
menjadi rindu yang mengebu
pada tiap detik suara hati bergema
pun berbisiklah luapan sukma
tiada cinta yang tak berbalas
andai pengabdianku begitu iklas
mendekaplah kasihNya Ya Rabbi .

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
21 Jun 2012

KERANA CINTA ITU SUATU ANUGERAH


Kerana cinta suatu anugerah
pastilah jiwa sentiasa mengarah
ingatan terpahat tidakkan goyah
segala impian dilakar indah

Kerana cinta hidup bahagia
mengenggam kukuh janji setia
mekarlah perasaan kembanglah jiwa
kasih terikat itu dipinta

Kerana cinta perlu di pesan
menahan nafsu juga perasaan
kalau bersandar hukuman Tuhan
akan berbahagia sepanjang zaman .

Kerana cinta insan berbahagia
andai dijaga tata susila
tidak menurut nafsu gelora
sentiasa diperlihara iman di dada.

Kerana cinta harapan bertaut
lafaz diucap bernada lembut
alangkah indah jabat bersambut
seruan Allah segera di ikut.

Kerana cinta ada yang sengsara
memendam rasa sukma melara
andai ditinggal kekasih tercinta
hati nan kecewa membarah luka.

Kerana cinta bermuram durja
leka mengelamun melalaikan kerja
jangan diturut kesedihan meraja
pasti hidupmu kian merana.

Kerana cinta tak semesti bersatu
menutup bicara berlidah kelu
janganlah diikut sedih nan pilu
ingatlah kehendak Allah yang satu.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
21J un 2012

Sunday, 17 June 2012

SELAMAT HARI BAPA



Selamat menyambut Hari Bapa
setahun sekali ucapan terbuka
walau dirinya tak pernah terlupa
fitrah manusia sesekali teralpa

Hormati ayahanda ketua keluarga
budi jasanya membesarkan kita
berjuang demi keluarga tercinta
mendidik anak menjadi manusia.

Dalam berikhtiar ayahanda berkorban
mencari nafkah mengalas beban
rezeki dicari untuk keperluan
keringat mengalir tidak dihiraukan…

Pengorbanan ayahanda tinggi nilainya
kita diberi didikan sempurna
hingga menjadi insan berguna
kejayaan dirangkul indah laksana,

Jangan lukakan hati ayahanda
dewasa kita jangan derhaka
kenangkan segala budi dan jasa
dengan restunya kita bahagia..

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
17 Jan 2012
12.26 pm

KASIHMU , BONDA



Tidak ternilai cinta kasihmu bonda
tulus iklasmu bukan nilaian harta
sanjungan budimu tinggi melangit
pengorbananmu memapah sakit dan perit
tak tertanggung deritanya memagut harap
andai antara kita bermain dengan duga
pahit getir tak perlu bicara
segalanya menjadi indah
bila duka itu menjadi milik kita
itu tidak membuat kita alpa

Aku pun berjanji ,bonda
andai dapat membahagiakan engkau di hujung usia
bila terdaya mendaki ke puncak jaya
relung hatiku sentiasa tersingkap
mesra kasihmu tetap kudakap
kubawamu belayar di lautan usaha
biar labuhnya di hentian bahagia
mengenangmu memberiku erti
betapa mulianya hati budi.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
17 Jan 2012

KUDRATKU SEBATAS CUMA

KUDRATKU SEBATAS CUMA

Bukanku merendah se lantai bumi
bukan menutup pintu hati di gubuk mimpi
namun kudratku sebatas cuma
mimpiku tetap sama
andai keperitan menerjangku kelubuk derita
kesakitan melontarku sepi terpenjara
aku tetap tak berdaya
melawan kehendak takdir
ketentuan Allah tak dapat kumungkir.

Sakit memekik seluruh saraf
lemah anggota membuatku insaf
tidak aku khilaf
andai ketakutan menyanggah keinginan
ilusi bermain dengan perasaan
sedih pilu mengenang nasib
pahit getir pasti terungkit
di hujung usia aku tengadah
kekecewaan berteman kesal tak sudah
di mana pengabdianku terhadapmu Ya Rabbi
andai segalanya sebatas mimpi}
aku tak lagi mampu berdiri dan berlari.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
16 hb Jan 2012

AIRMATA MENJADI TINTA



Dapatkah lagi aku secergas cengkerik membingitkan sepi malam
memesrai rimba dan belukar tanpa jemu
kala purnama berwajah siang melirik bintang di balik awan
hingga terkesima saat terbitnya mentari di ufuk timur
lalu tersipu malu menyambut salam pagi di basah rerumputan.

Dapatkah lagi aku sesegar bunga kembang di taman seri
menerima sentuhan embun menghilangkan dahaga siang hari
bila kelopakku menguntai indah di celahan daun
lalu detik demi detik kelayuan mula merantai sepi
gugurlah kelopak mereput lunyai terpijak di bumi..

Dapatkah lagi aku menitip tinta di warkah biru
melirik bait-bait puisi tanpa gema dan lagu
bila gerak jemariku semakin lesu dan kaku
daya diri semakin hilang dalam kuncup semangat
beban tergalas di naluri tak bisa terungkap
gema sarat laungan terperangkap dalam sanubari sendiri.
kelesuan menelanjangi segenap ruang diri
lalu airmata menjadi tinta bergalang ganti
andai takdir menetapkan titik perhentian
dapatkah aku menoktahkan tinta terakhir
mrenjadi bisu dalam bicara
puisiku tak lagi mampu bersuara.

Che fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
16 Jan 2012

TIDAKLAH SALAH IBU MENGANDUNG

TIDAAKLAH SALAH IBU MENGANDUNG

Bukan salah ibu mengandung
mengapa diri berlagak sombong
perangai kasar sukar dibendong
menjunjung ego tinggi melambung.

Sedari kecil ibu mendidik
bak kain putih diwarnakan cantik
tetapi kenapa sesudah cerdik
sampai hatimu ibu diherdik

Mengenang anak berhidung tinggi
sengsara ibu bersedih hati
kasih tak pernah berbelah bagi
walaupun kecewa bermain di hati.

Sewaktu kecil sentiasa dijaga
dibelai diasuh setiap masa
malangnya ibu tidak menyangka
dewasa anak menjadi derhaka.

tidakkah takut hari pembalasan
didalam kitab sering berpesan
kasihilah ibu sepenuh ihsan
sempurnalah hidupmu sebagai insan

Kuasa Allah jangan dilupa
diberi balasan ketika alpa
bila malang timpa menimpa
dapatkah ia membasuh dosa.

Insaflah diri wahai anakku
hidup di dunia jangan begitu
kenanglah sentiasa pengorbanan ibu
bahagia hidupmu mendapat restu.

Airmatanya jangan titiskan
luka hatinya jangan guriskan
kasih sayangnya bukan nilaian
melebihi teguhnya segunung intan.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
16 Jun 2012
9.56 am

ANDAI HATIMU SEKERAS BATU



Andai hatimu membatu sudah
segala kehendak sukar dibantah
tiap perbuatan dianggap mudah
biarpun akhlak dipandang rendah.

Hati yang keras sulit dibentuk
sehingga mendapat sedikit pertunjuk
mungkinkah insaf jalan menunduk
bagaikan kerbau kehilangan tanduk.

Tidaklah guna berhati batu
bersikap kasar sudahlah tentu
jangan membina bibit seteru
ingatlah pada Allah yang satu.

Hati yang keras biar berlembut
mesra kasihmu dapat disambut
nama yang bersih indah disebut
bagaikan sinar di sebalik kabut.

Andai diri terlangkah jauh
berpatahlah pulang labuhkan sauh
buang segala kusut dan geruh
hati yang hitam biar dibasuh.

Ingatlah selalu kepada Allah
sentiasa tenang biar mengalah
sabar bukan bererti kalah
petanda iman sifat mahmudah.

Biar mulia hidup di dunia
setiap masa memberi guna
segala rencana membawa sempurna
dikasihi orang selama-lamanya.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
15 Jan 2012

Friday, 15 June 2012

ANDAI KAU MISKIN ATAU KAYA

Andai engkau kaya
mewah segala menimbun harta
bergulung duit berjuta
namun pernahkah hidupmu menderita
merasai kehinaan pengemis meminta-minta
melata dalam kepayahan
sedang kudrat tidak bermaya
airmata kering dalam kebekuan perasaan.
terlonta -lonta dalam hinggar- bingar kota.

Andai engkau miskin
lusuh berbaju da'ifnya koyak rabak
kepuk beras sekadar tin kosong
hutang keliling kian melambung
namun pernahkah kau berbahagia
merasai nikmat bermimpi tentang bulan madu
melayari bahtera perlancungan
sedang keperluanmu terisi di kocek
merasai keenakan kek keju di plaza
dan nikmat pun merayap di balik penghawa dingin.

Andai kayamu meresapi erti kemewahan melimpah ruah
pernahkah huluran tanganmu merungkai setitis ihsan
menginsafi erti hati budi
memesrai segenap derita dan payah
kerana hidup ini sekadar pinjaman
bukankah bahagia menjadi hartawan yang dermawan.

Andai miskinmu melalaikan rengkuhnya pencarian
pernahkah terdetik di hatimu ingin meringankan beban
memaknai khtiar yang sarat dan padat
ikhlasnya hati membanting tulang empat kerat
meraih segenap hasil setara kudrat
walau rezekimu sekadar melukut di tepian gantang
mengais perih rezeki pagi dan petang
redhalah engkau memandang hidup seadanya
bila janji Allah itu tak pernah mungkir
berbahagialah engkau mengenggam takdir.

Che Fauziah Idris
KualaKurau
Perak
14 Jan 2012
11.29 pm

Thursday, 14 June 2012

MUHASABAH DIRI

Muhasabah diri penenang segala
hening bertafakur sukma berbicara
menimbang diri sebaik cara
mencari keredhaan Allah Yang Esa.

Muhasabah diri iman terpelihara
renungan diri menuju hala
kebaikan dicari memberi pahala
kemuliaan hakiki jernihkan jiwa.

Muhasabah diri mencari kebenaran
Al’Quran ditafsir menentukan panduan
setiap surah jadikan pedoman
setiap langkah bertemankan iman.

Muhasabah diri banyakkan mengkaji
sentiasa oasrah ketentuan Illahi
berusaha dan ikhtiar kendali diri
dunia dan akhirat bahagia dicari.

Che Fauziah idris
Kuala Kurau
Perak
14 Jan 2012
10.55 am

PATAH TERKULAI

Aku bukan lagi sekuntum mawar 
yang sedang kembang mengharum
memesrai laman nuranimu 
merahnya memudar warna
bila mekarku kuncup sudah 
lusuh dan terbiar
kelopak berderai satu-satu

Aku telah lupus dibenakmu
tanpa siraman rohani
taman jiwa seakan mati
semaian budi tak lagi bercambah
pohonan rindu patah terkulai
daunan kasih semakin berderai
rebah mereput di tebing hati
menjadi sampah yang berselerak
bila derap sepatumu menginjak
lalu kesakitan yang kurasa
tidak membuat kau sengsara.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
14 Jan 2012
12.35 am

MENENTU HALA

Ketika di persimpangan
aku menjadi takut keliru
mencari hala tuju
antara kiri dan kanan
tunjuk arahnya bersimpang siur
sedang terik mentari kuat menyengat
tubuhku bermandi keringat.
kaki melangkah terasa penat
kusam wajah bersalut gundah
resah gelisah mencari arah
lalu ke langit harap tengadah

Jika berkereta bagai puan
hawa dingin mendorong tumpuan
resah gundah bisa diimbang
antara kelat hati dan senang lenang
arah tuju menetap gerak
samar impian kian berjejak
senyum melebar di wajah
keringat tidak pernah membasah.

Antara berkereta diri dan berjalan kaki
hala tuju tak sekata
perit dan lelah tak pernah sama
lena kita tak serupa
antara salah dan benar
segalanya menjadi nanar
andai Tuhan menutup pintu
minda pun menjadi beku
mencari jejak penentu arah
pendirian menjadi goyah
bila simpang siur makin kelam
berpatah balik ke arah terang.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
13 Jan 2012

TERSALAH LANGKAH


Menjadi pertualang di negara terbilang
dengan harapan nama dijulang
namun jika diteliti pandang
niat yang jahat pasti terhalang.

Jangan mengikut jalan yang sesat
nama yang buruk pasti terpahat
bila diri dianggap bejat
maruah tergadai hilanglah hebat

Untuk apa menjadi alat
diperguna orang mencapai matlamat
kalau terdorong di jalan yang sesat
pastilah hidup tidak selamat.

Jangan jadi besi berkarat
walaupun dulu kukuh dan kuat
bila cemuhan semakin sarat
hinalah diri dianggap keparat..

Biar mengikut resamnya padi
makin tunduk makin berisi
pada negara menabur berbakti
untuk bangsa sentiasa berbudi.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau,
Perak
12 Jan 2012

Tuesday, 12 June 2012

BAGAI PELARIAN

Jadi pelarian amatlah susah
lesu mengharap hidup tengadah
hilang impian segala yang indah
perjalanan hidup bagai dipapah

Menjadi pelarian di negeri sendiri
segala keinginan tidak terkendali
hina diri tak siapa peduli
hidup merempat di negeri sendiri.

1ni tanah tumpahnya darah
sanggupkah kita menerima padah
mertabat bangsa dipandang rendah
bangsa sendiri endah tak endah.

Jangan dianggap perkara mudah
Membenci segala pesan dan madah
kelak dirimu di dalam gundah
andai bangsamu ditimpa padah.

Kalau kita kehilangan negeri
pada siapa salah dicari
menyesal kemudian menghamun caci
akhirnya terjelepuk mati sendiri.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak.
12 Jan 2012

ANGIN BERBISIK

Purnama kelam
redup mengintai bintang
di celah pecahan awan
sunyi menyerkap aku
hening sayu
rindu pun menjadi selimut.

Angin berbisik
tentang dia yang jauh
hatiku tak terpujuk
untuk apa diratap tangis
kejora pun berkirim salam
ingatnya bukan padaku
lebih baik aku menghilang
bila kasihnya makin suram.

Che Fauziah idris
Kuala Kurau
Perak
10 hb Jun 2012

PASIR MERINTIH


Bayu selatan berpuput lembut
membias bahang terik mentari
di dada laut kilau peraknya bersisik
beralun ombak mendebur tebing pantai
pasir pun makin terlantun-lanting
dihimbau tanpa jejak
sengsaranya tak mampu bicara.

Siapa tahu duka laranya
berteman bebatuan merangkai tebing
bersapa lembut karangan yang terdampar
andai ombak laut tenang sentiasa
tetap terdamparkah dia di sana
menyatu bersama alam
sayupnya saujana pandang.

Dia tersingkir
dipukul badai gelora
tidak tahu ke mana arah
tenggelam ke dasar lautan
atau dihumban ke pulau landai
menjadi pecahan debu
yang sedang kau injak tanpa sedar.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
12 Jan 2012
6.30 pm

AKU PUN JADI TIDAK PEDULI



Pernahkah ada rasa buat anak jalanan
perlukah ada cinta di hatimu tuan
andai segunung pasrah hanya sekadar berteman waktu
sedang diri dan peribadi bukan milik sang ratu,
bila anak jalanan selalu tak pernah tau
erti kesetiaan bagi seorang pencinta
lalu segalanya sekadar igauan
hinggapnya sekadar kelkatu di sayap malam.

Aku merayap menanti hinggap
antara lapar dan telapak kaki berdarah
kerikil tajam menikam|
keperitan nafsu merejam
kudratku tak disapa
hajatku tidak ingin meminta
melata menguji usaha
namun apakan daya
gelandangan merajai jua.
peleseran itu tetap duniaku.

Demi kelangsungan hidup
apa saja bakal terjadi
aku tidak dapat memungkiri itu
andai pasrahku sentiasa diuji
aku pun jadi tidak peduli.

Che Fauziah Idris|
Kuala Kurau
Perak
11 Jan 2012

PERPADUAN BANGSA

Perpaduan bangsa ikatan bersama
penyatuan umat menegak agama
di bawah naungan raja saksama
aman sentosa hidup bersama.

Perpaduan membawa seribu erti
bersama mengembleng segala bakti
bersatu padu menjadi bukti
lambang kesucian hati nurani.

Perpaduan erat teguh mengikat
segala keputusan dibawa bersepakat
baik hasilnya bila muafakat
sempurna mencapai segala hasrat.

Perpaduan menjadi teras bangsa
bersama berusaha bersatu tenaga
jangan dibina bibit sengketa
akan makmurlah negara kita.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
11 Jan 2012
8.05 am