Thursday, 22 March 2012

PEMERAS WANG

Malas benar untuk berusaha 
inginkan ringgit dengan segera
culik menculik punya angkara
jenayah meningkat di dalam negara.

Hidup lebih dari pengemis
begitu mudah wang ditagih
sanggup mendera juga menghiris
tak pernah peduli mangsa merintih.

Jangan abaikan nasib si anak
manusia sekarang semakin tamak
kalau terdesak sentiasa gamak
bagaikankan ular mematuk di semak.

Friday, 16 March 2012

KALAU MASIH PUNYA JIWA

Tak akan pernah sudah
untuk menutup pintu sanubari
selagi impian masih membayang
kerna kita sebagai insan
sering saja punya rasa
punya jiwa yang hidup.

Selagi punya hati
denyut nadi mengungkap bicara
rindu kasih tetap terpahat
igauan menghantui
hasrat terpendam menjadi dendam.

Cuma saja kalau insaf terdetik di hati
andai impian tak tercerna harapan
biarkan saja dia berlalu
lenyapkan resah gundah
bila tak pernah memiliki
pasrahkan pada Ilahi
kerna tiap sesuatu itu
hanya Dia Yang Maha Mengetahui.

Monday, 12 March 2012

PEJUANG YANG SEPI

Jasad dan nyawa jadi taruhan 
semangat kental dalam perjuangan
kesal dan amarah disebut jangan
mereka berbakti membanting lengan.

Kalau nasib sepi sendiri
namun diri tetap dihormati
jasa dan bakti tetap dikenangi
perjuang tersohor jasa dipuji.

Pulang ke desa mengenang jauh
sepi merintih didalam keluh
semangat juang tetap dipertaruh
hidup di kampung tak pernah geruh.

UKHUWAH BERTAMU

Hari ini langit petang menjadi saksi 
pada kelangsungan ukhuwah
mesra kita terjalin erat
andai kasih saudara makin memikat.

Lalu aku pun memberi janji
tak pernah mungkir memohon redha
bila kesudian hatimu buat bertamu
teratak burukku sentiasa menunggu.

Kita rangkaikan bahasa jiwa
biar kasih terbawa jauh ke syurga
pada do'a-do'a kudus yang kita pohon
rindu saudara menjanjikan bahagia
lalu tali akrab kejap mengikat.

BAHASA BUDAYA

Tidak benar takkan diperkata
musnah bangsa celaru budaya
rosak bahasa dek orang kita
bahasa malaysia dicacamarba

Bahasa terucap penanda negara
tersusun tatanya pelengkap budaya
indah bahasa berteras bangsa
terkenal budaya seluas segara.

Bahasa Malaysia diambil berat
jangan terleka bahasa barat
indah bangsa berpadu erat
harmoni negara mesra memikat.

SURATAN NASIB

Lara yang tersimpan sekian lama
menyimpan nanah dan darah kelukaan
menapak jauh mengharap ihsan
belenggu jiwa terkorban bagai tak beraga
kemana ihsanmu tersembunyi
pada rintih pedih meraih simpati
kehampaan yang membiungkam
tidak membuat aku menyimpan dendam.

Aku tak akan lagi tunduk mengharap
kerna ikhtiarku tak sekadar meminta
laba kupohon atas titik keringat
mencari pengertian untuk hidup
agar kebahagiaan dapat kuhirup
lalu pasrahkan saja nasib diri
suratan atau kebetulan
biar Dia yang menentukan.

BINASA DIRI


Tabir hati mendalami hakikat
hakikat diselam dalam makrifat
keras hati sombong mengikat
dibenci orang empunya sifat.

Hidup umpama seorang penghulu
utamakan masyarakat terlebih dahulu
kalau pemimpin bagaikan dedalu
hilanglah maruah mengumpul seteru.

Ingin berkuasa mendabik dada
tidaK mengira agama dan bangsa
megah diri biar berpada
binasa diri padah merasa.

PEDULI APA

Peduli apa pada lelehan keringat di dahi
asal laba bertambah tak meningkatkan hutang
beras di kepok penuh bergantang
rezeki terhidang buat anak isteri tersayang.
hati puas atas limpah berkat Ilahi tertuang.

Peduli apa pada umpat keji orang
asal hati senang tak resah membayang
dosa terhimpun dihindar terang-terang
puas mengerah tulang belulang mengalas beban
namun hatinya puas membilang senang .

Demikianlah suratan
bila iklas dan telus dalam berkeringat
syukur tawadduk memberi ingat
anak-anak pun kuat bersemangat
pengajian dicapai di tingkat tinggi
budi berbalas tak perlu diuji
jasa baktimu dan isteri
terbalas jua dengan restu Ilahi.

BERSIFAT SABAR

Sabar separuh dari iman 
peribadi mulia menjadi teman
damai sentosa sepanjang zaman
tenang jiwa hidup pun aman.

Jauhkan sifat amarah melulu
sebelum bertindak berfikir dahulu
bersifat sabar amatlah perlu
minda sempurna jadi penentu.

Cerdik minda penentu cita
membawa jaya hasrat dikota
sabar dan fikir amalan kita
melebihi nilai segala harta.

SETIA HANG TUAH

Hang Tuah hulubalang terbilang
taatkan sultan tak pernah tergalang
menjunjung amanah raja dijulang
menurut perintah tak pernah curang.

Raja berdaulat raja Melaka
di singgahsana duduk bertakhta
bila Hang Jebat dituduh penderhaka
Hang Tuah bertindak menghunus senjata.

Taat sungguh menjunjung duli
walau di hati sedih sekali
tak perlu menoleh kanan dan kiri
Hang Jebat ditikam si Taming Sari.

NAKHODA BISTARI

Andai nakhoda bijak bistari
berjiwa jernih sentiasa berseri
kukuhkan iman dan jati diri
bahagia diresapi tidak terperi.

Indah sungguh budi perkerti
tidak bersikap pentingkan diri
jauhkan sifat munafik dan iri
untuk kebaikan rakyat sendiri.

Nakhoda bistari bijak laksana
memimpin negara dengan bijaksana
negara tersohor di puncak dunia
rakyat makmur aman selamanya.

JENDELA MATA

Kita tetap serupa
sentiasa memandang di luar jendela
meneliti peristiwa
melangkaui luar diri
lalu lupa untuk bercermin
bagi merapikan diri sendiri.

Ada apa pada cinta
kalau hanya mainan perasaan
melekakan tumpuan
sedang hidup ini makin memaksa
untuk kita telusuri sejuta rahsia.

Cukup sekadar
menjadi peneliti

menilai diri
mencari hakiki.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
12 Mac 2012

REALISASI MIMPI

Kau tak perlu gusar
merealisasikan sebuah dongeng
kerna konon-kononmu itu
tidak salah buat ditafsir
atau menyalahkan takdir
andai kemustahilan menjadi nyata
segalanya membuah cerita.

Kerna
sesuatu yang diperkononkan
adalah sebuah angan di puncak cita
lalu keakuan menjadi teguh
bergetar semangat menunjang rusuh
pabila mimpi menjadi realiti
andai dua hati direstui Ilahi
segala-galanya menjadi pasti.

SEORANG ENGKAU


Engkau
terpulang padamu
kalau sering saja menutupi diri
berlari dari riak yang kau takuti
menghindar dari rasa megah
lalu tunduk dengan tawadduk
bila menginsafi diri
bahawa engkau
seorang aku yang kerdil.

Aku
cuba untuk memahami
bahawa itu adalah hakmu
sebagai insan yang berperibadi mulia
yang menerima ketentuan dengan redha
dan mensyukuri nikmat Ilahi
dengan rasa malu dan rendah diri.

Aku pun mula mengerti
untuk cuba meresapi
sorot kagumku jauh di sudut hati
dan pandang matahati ku
terkaku diam di benak sendiri.

HIDUP TERPUJI

Peribadi bersampul kesumat dendam
nama tersungkur peribadi muram
pemimpin bergolak negara kusam
sejahtera rakyat semakin karam.

Mengatur sempurna segala rencana
minda terpuji memberi makna
biar hidup memberi guna
jiwa bangsa tak akan dihina.

Memegang teguh segala janji
jauhkan amarah,hasat dan dengki
hiduplah dengan sifat terpuji
baik wanita maupun lelaki.

KESUMAT RINDU TAK LAGI SYAHDU

Kalau kau tanya tentang laradukaku
airmata berbicara mengungkap cerita
bila aku telah tiada telusuri langkah
bayangku juga lenyap sudah.

Andai jejak bertingkah menentu arah
kesumat rindu tak lagi syahdu
antara kita tak lagi siapa -siapa
bila airmata telah kering di kelopaknya.

Aku telah pergi jauh
menembusi gemawan pekat
badai gelora sentiasa memusar
ribut taufan kencang melanda
aku tak lagi gentar
bila Allah yang satu
sentiasa sudi membimbingku.

Monday, 5 March 2012

SIFU

Kalau aku merasakan berdirinya seorang engkau
tak pernah goyah pendirianku terhadapmu 
bila engkau ,bagiku seorang sifu
tak pernah mendabik dada
punya kharisma yang nyata
sentiasa menutupi diri
hingga aku terkesima
dengan kerendahan hatimu.

BERSATU IKATAN

Bisikan nurani tak pernah bohong
jujur berkata tak pernah sombong
ucap bicara biar dibendung
agar pemimpin sentiasa disanjung.

Fitnah memfitnah kerjanya syaitan
mengadu domba dalam pakatan
bukankah baik bersatu ikatan
ukhuwah terjalin dalam persahabatan.

Bida'ah palsu mudah terucap
fitnah melulu cuba diserap
jika begini empunya sikap
alamat tersingkir tak boleh diharap.

BISIKAN NURANI


Tinta 
meniti kalam berbait
sajak bersahut madah bersambut
mesranya bertingkah 
riuhnya beradu suara 
antara suka dan duka insani.

Hati 
tak siapa tahu apa isi di dalam
bicaranya tersembunyi
namun bisikannya kedengaran
andai tertuang di kanvas puisi
dan lakarannya membuka cerita.

Menitip
segala resah rasa
sukma menyapa
rindu pun berlagu
dendangkan saja di angin lalu
hanya angin yang mengerti
apa bisikan hati nurani.

Kata
bersulam madah
hangatnya mengelus bicara
antara nanar dan telus rohani
kesetiaan tak berwajah
andai ia hadir
segalanya terasa mengusap
kala diri kehilangan raga

PANTUN

Tanam ciku di tepi laman
benih diambil dari Pak Leman
cantik beriman jadi idaman
hati nan senang jadi keutamaan

Kalau padi katakan padi 
tak kulindung di balik tabir
rupa nan cantik akhlak berbudi
senyum nan manis sentiasa di bibir.