Monday, 5 March 2012

BELENGGU RINDU

1

Syahdu nian nostalgia silam
rindu bertapak makin mendatang
tak luntur resapan kasih 
tak hilang lamunan sayang
cinta kukuh di muara hati
tak goyah di terjang angin
walau semilir yang merayu.

Meski dia telah tiada
namun sentiasa ada
di ingatan
di perasaan.

11

Biarkan saja dia berlari
melintasi ruang dirimu
kerna takkan jauh dia berkelana
hatta waktu kau lena
tetap saja mengusap di bibir mata
membelaimu dengan cinta kasih
dengan hati bersih
tak pernah dia kau sisih
meski perlu menyingkirkan
tetamu cinta yang cuba bertandang..
lebih kurang sejam yang lalu .

111

Benar sungguh bagai dikata
jenuh sungguh memujuk rasa
memberi saran dan seribu andaian
namun hatinya tetap satu
tak pernah terkeliru .

Namun andai takdir berbicara lain
pasti abang takkan mungkir
belajar memesrai suasana
menerima ketentuan dengan rela
menginsafi itu tanpa rencana
tapi bilakah itu

1V

Kalau jadi katakan jadi
tidak kami ternanti-nanti
lusuh hati biar berganti
setia janji bukan diuji.

Bukan melupakan bakti semalam
namun penyeri biar berganding
bersama menangung suka duka
rencah rasa yang berbeza
kerna dia yang pergi
dengan berat hati buat meninggalkan
begitu penuh kasih dan rela hati
andai sepi begitu indah
kesepian itu tetap mendukakan
lalu menitip pesan
yang tinggal biarlah berteman .

KUKUH IMAN

Dari Klang ke Kota Melaka
penuh indah sejarah belaka
rebah diri membawa petaka
hilang kawalan bawa ke neraka.

Iman kukuh jiwa tenteram
asas agama perlu di selam
menuntut ilmu biar mendalam 
jangan sekadar mengaku islam.

Bila hidup berpandukan iman
wajah berseri manis senyuman
wibawa diri menentu pedoman
bahagia diri sepanjang zaman.

MIMPI YANG BERKECAI

Kau tak pernah tau apa ada dalam dadaku
sebungkal rindu yang sentiasa kusimpan
teguhnya menyemarak mimpi
lalu akupun terlelap dalam menanti
bila terjaga dari lamunan yang panjang
yang aku tahu
bayangmu tak pernah ada.

Hilanglah raga
punah harapan hidup
kasih sayang semusim biar terlerai
mimpi pun berkecai
yang nyata aku harus kembali
untuk lebih mencintai diri sendiri.

PENDERMA DARAH


Begitu luhur hati budinya
menjadi insan berhati sempurna
darah diderma penyambung nyawa
buat membantu insan sesama.

Jasa ditabur budi terhulur
iklas menderma berhati jujur
di dalam tubuh darah bercampur
penyambung nyawa bagai diatur.

Begitu mulia nurani insan
ihsan dihulur tak minta balasan
memberi izin darah dititiskan
waktu diperlukan di saat kecemasan.

PEDOMAN HIDUP

Hidup di dunia sentiasa berteman
saling berbaik memberi pesanan
syaitan menyesatkan diturut jangan
biarlah sempurna dalam beriman.

Membentuk keluarga bersatu erat
sentiasa bersama membawa berkat
tumpukan dunia ingatkan akhirat
pasti hidupmu di dalam selamat.

Allah kurniakan banyak kebaikan
ambillah ikhtibar sebagai pedoman
segala yang buruk jangan amalkan
sempurna iman binasa jangan.

MENITI KELAM MALAM

Jika benih tak kau tabur
tak pernah tumbuh padi tersemai
jika pilihmu tersasar ke hutan belukar
selamanya kau terhiris di semak lalang
dalam sesat berguling terlentang.

Kau diberi ruang yang luas
minda terasah fikir mengukir
renung bertaut pandang bertingkah
segalanya terang benderang
andai hati turut mengenang.

Bukahkah dulu kau hidup di kelam malam
bila pandang hatimu sentiasa berbalam
lalu jalan telusurmu di terang cahaya
penyuluhnya memberi sinar sepanjang zaman
kau masih tetap meraba di dalam celik
bila tongkat penyelamat tak kau indahkan .

DUNGU

Butanya matahati
andai engkau masih keliru 
menjadi sesat di terang bulan
teraba-raba meniti jalan
lalu permata indah kau lemparkan
memilih kaca di dalam terang.

Bila sengsara yang kau pilih
antara terang bulan dan gelap pekat
bila itu nikmat bagimu
selamanyalah kau di dalam dungu.

KHIDMAT BOMBA

Kala tiba saat genting 
khidmat bomba sangatlah penting
ular berbisa ditahan jaring
nyawa dipertaruh tak pernah berpaling.

Kemalangan berlaku mangsa tersepit
menenangkan mangsa yang sedang menjerit
segera membantu mangsa yang sakit
walau trajedi di jalan yang sempit.

Api menjulang panas membahang
bomba bertindak di dalam tenang
tidak panik semangat menang
begitu iklas menolong orang.

JEJAK HARAPAN


Tak akan pernah ada titik terang
antara gelap dan pekatnya malam
andai melupus iman dan takwa
walau beribu neon menyala.

Di mana cahaya jiwa
antara haru dan beban resah
biar getar bertebar 
biar gundah menggelepar.

Bila hatimu sedikit terkesima
pada pengertian tentang azali
juga jejak mimpimu berisi.
kau takkan lagi merana
menjadi insani yang bermakna
dalam tuntutan hidup.

JALINAN MESRA

Hidup melayu dalam budaya
bersopan santun pekerti di jaga 
biar miskin mau pun kaya
asalkan mulia jiwa dan raga.

Senyum menguntum jabat bersambut
sering bermaaf berhati lembut
dari kaki kehujung rambut
nama terpuji sentiasa diisebut.

Jalinan kasih mengamit mesra
rindu berkait tak kenal rupa
manis mulut indah bicara
salam ukhuwah saling menyapa.

PANTUN

pantun 6 kerat.

Pohon mempelam di hujung laman,
Biar di potong ranting menjulai,
Buat merimbun di unggun api.
Hidup bahagia kala berteman,
Jangan kasih hancur berderai,
Kelak merana di dalam sepi.
Pantun 8 kerat.

Manik dirangkai menjadi rantai,
Rantai di kalung dileher jinjang,
Buat hiasan gadis nan ayu,
Cantik wajah indah menawan.
Biar buruk kain dipakai.
Baik budi di sayang orang.
Kasih dipupuk tak pernah layu.
Itulah adat dalam berkawan.

MATA HATI

Hari ini ingin kulakar sejarah hati
menjadi lupa pada semua teka teki
bangun dari igauan silam yang membelenggu
bila terpamir duka di sendu wajah
pahit yang meranting rangkai
biarkan saja patah terkulai.

Aku ingin di tahun yang sedang bermula
menjadi teguh yakin pada resah rasa
dibakar semangat waja yang menyala
kuatlah jiwa mengikis rawan
semangat diri menjadi tawanan.

Untuk apa mengenang jauh
pada susur galur bersimpang siur
membutakan mata hati
mengigit dalam sepi
celikkan daku memandang dunia
agar aku tak lagi hilang diri
terfana dihanyut badai semalam .

BERHATI MULIA

Rezeki dicari sesuap nasi,
Untuk santapan anak dan isteri,
Sedikit sebanyak sama dikongsi,
Nikmat diberi sentiasa disyukuri.

Jangan terlalu berhidung tinggi,
Sering menyanjung diri sendiri,
Diri terasing orang pun benci ,
Bagaikan pintu kehilangan kunci.

Berbuat baik berpada-pada,
Berhati mulia teguh wibawa,
Nama tersohor di persada,
Indah bangsa harum nega

JASA BAKTI

Kasih tersemat negara selamat 
setiap detik sentiasa beringat
berjuang gigih hapuskan pengkhianat 
demi negara raja berdaulat.

Meredah jauh hutan belantara
membenteras segala pengenayah negara
begitu gigih semangat perwira 
pertiwi juga berganding tenaga.

Saat terkorban tak dapat diduga
nama terpahat di tugu negara
jasa pengorbanan tak pernah dilupa
itulah bukti kesetiaan negara.

Sunday, 4 March 2012

BUTA HATI

Hari ini aku rasa ingin menangis
bila mengenangkan ketelanjuranku
begitu alpa dalam mentertawakan orang
melihat lucuan insan dengan buta hati
dekahan yang bingit.

Tapi aku lupa
antara sedar dengan tidak
aku sedang mentertawakan diri sendiri
melihat kebodohanku
menjadi dungu
mengait sakit yang membelenggu
pada jiwa yang beku
dari rohani yang tandus.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
4 Mac 2012

HIDUP BERSATU

hina besi kerana karat 
hina manusia hidup melarat
mengilek ringan memikul berat
biar menanggung sama sepakat

tolong menolong amalan mulia
hidup bersatu mengembleng tenaga
bersatu padu menjunjung setia 
memegang teguh rukun negara

seni warisan indah bistari
berbagai ragam budaya negeri
kita hidup bersatu hati
aman makmur bahagia sejati.

SUKMA MENYAPA

Biar kita berkirim pesan 
pada bayu titipan salam
andai jiwa sedang berjauhan
hati kita tetap bersatu
membibit pesona rindu
cinta untuk selamanya.

Sukma pun menyapa
takkan goyah digegar ragu
celaru mimpi saling bertingkah
antara rindu dendam dan sejuta sayang
damailah nurani
bila kasihmu tetap mengi
si.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
4 Mac 2012

KASIH MEWANGI

Engkau 
yang menjadi nadi rasa 
membelenggu jiwa
menitip sejuta hasrat
memberi ghiarah hidup
ilusi menari
sepi pun tiada lagi .

Di tiap pandang
relung hati menyapa mesra
menguntum kasih wangian syurga
kasih pun bersemi
antara pinta dan harap
bahagia kita pun tergilap.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
4 Mac 2012

AKU TAHU


Aku sentiasa tahu
apa ada dalam dadamu
serpihan duka dibelenggu rindu
pada sebuah janji takdir
menitip salam perpisahan
pada sebuah kehilangan
yang tak lagi kau temui
andai tersurat di Azali.

JANGAN PERNAH MENGALAH

Tak tertunas sukma dendam
tak tertinta bibir berkalam
andai azali menyurat janji 
sukar mentafsir gelora hati

Jangan pernah mengalah 
pada teriakan bergema
pantulannya menepis harap
pada sebuah realiti janji
bila hidup ini telah terisi.