Monday 25 March 2013

BILA SEMUANYA TERJAWAB

Kemahuan itu demi kasihsayang eratkan rasa kerana kecelaruan menyusup sukma melepasi segala di fikiran di perasaan di segenap ruang hidup. Kemahuan itu terlalu sulit teguh membelit dalam prasangka melerai lara dendam di ruang duka. Bila semuanya terjawab terbuka hijab terpancar di pintu alpa rasuk terpedaya mainan cuma. SRI MAWAR KualaKurau Perak 23 Mac 2013 1.37 pm

CATATAN..

Bila laluan ke jalan sesat tersalah langkah mula tersekat berpaling mencari pangkal bermula titik tolak melurus segala bengkok andai masih tak berpenghujung arahkan kaki walau tersadung jika parah luka tersungkur kepada Allah tetap bersyukur.

MERUNGKAI SETIA

Aku terseksa
memungut cinta yang bertaburan
dari ragaku
yang berkecaian.

 Ketika engkau menikam sukma
 jiwaku mati di hukum karma
 kerana cinta yang berlebihan.

 Bila kita merungkai setia
 kasih pun tumpah berjelira
 membasahi hati
meresapi benci.


 SRI MAWAR
 Kuala Kurau
Perak.
 21 Mac 2013
1.22 am

TANPA CINTA

Benarkah tanpa cinta hdup membeku asmara tidak lagi tersenyum terbungkam dalam diam hati riuh bercerita tentang kedukaan sepi masa depan. Benarkah tanpa cinta dunia gelap gelita pelangi ditutup mendung matahari pun tidur lelah menabur sinar. Andai angin bertiup di dinding waktu memberi nyaman hitam menjadi putih diri dijejak kasih hikmah yang datang tidak ditentang. SRI MAWAR Kuala Kurau Perak 19 Mac 2013 3.21 pm

KALAU ENGKAULAH

Kalau engkaulah dalang menghirup darah saudaramu sendiri rakus memamah serakah kuasa bersyaitan di minda. Kalau engkaulah pembelot menyusup umpama belut tidak lagi peduli leka bermain api bergirang di dalam ngeri. bila hatimu hitam nafsumu kejam Sedarlah engkau tangisan orang kehilangan “ pengkhianatan yang engkau humban setiap titis airmatanya laksana do’a orang teraniaya dan engkau menghimpun nista di dalam sumpah merdeka. SRI MAWAR Kuala Kurau Perak. 18 Mac 2013 2.32 pm.

TENANG JIWA

TENANG JIWA

Kalau inginmu selayak mimpi
gerak hidup bagai berjanji
tak selamanya seluang melaut
bercumbu pasir senyum meraut.

Bila iradat bagai menguji
kukuh semangat bagai terkunci
tenang jiwa membuka dada
ruang fikir mencorak minda
bangkitlah memungut rindu
humbankan resah lenyapkan sendu.

Kita merangkai bahagia
dalam rangkulan Yang Maha Esa

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
13 Mac 2012
12.34 am

BILA CINTA SUDAH TIADA

Bila cinta sudah tiada kasih bagai debu bertebaran ada lekat di hati bertaburan di mimpi menjadi semarak api. Cinta tidak selamanya tegar benteng pun goyah diterjang angin angkara nyilu menusuk dada. Sukma merintih jerih rindu tajam menghiris. SRI MAWAR Kuala Kurau Perak 13 Mac 2012 12.19 am

MATEMATIKA HIDUP

Kalau kita sentiasa mencongak menetap pada satu abjad menolak campur dalam formula akal pun menyimpan kira-kira penuh dengan pengawasan padat dan pengiraan yang tepat. Hidup ini adalah satu matematika unik andai bijak menentu pilihan jauh dari keserakahan tanpa mabuk asmara dan percaturan dunia. Hidup ini bukan sekadar membilang hari gerakkan nurani susun -aturkan kotak fikiran mencari hakiki dan kemurnian abadi. SRI MAWAR Kuala Kurau Perak 11 Mac 2013 3.17 pm,

POHON BERTEDUH

Saban hari pohon merendang
 sekian lama tempat engkau bertumpang teduh
 menghirup nyaman di ranting
 bercumbu dedaun
julainya mendekap putik
 serlah kuntumnya pernah berkembang.

 Tapi bila bertunas pohonan muda
 cambahnya belum pasti
 rimbunnya belum memayungi bumi
engkau belai dan baja
 ingin berteduh sepenuh harap
 di bawah langit senja
dan pohon yang terpinggir
 melayu menunggu hari
 bakal menyembah bumi.

 Andai mereput pohonan tua
dan tunas muda terkulai sebelum masa
 nasibmu terlonta-lonta
di terik hari
naunganmu tiada lagi
 dan engkau pun lesu kehausan
sedang jarakmu seluas pandang
 bagai sahara air berbayang.

 SRI MAWAR
Kuala Kurau
 Perak
 10 Mac 2013
 8.50am

RAHSIA HATIMU

Hanya sebentar tadi sedang duduk-duduk menikmati kopi ais di warung yang sering kita bersantai di benakku engkau tusukkan sembilu luka tentang rahsia hati yang membelenggu dirimu kini. Aku pun jadi termanggu cuba belajar mengerti sesuatu tentang cinta bila pengertian kita tak serupa keikhlasan yang mengharu bila aku keliru mencari makna. Kalau kutahu ini akhirnya diduakan dalam senyap tak mungkin aku menjunam ke gaung yang dalam terkapai lemas di lautan hidup bersamamu menongkah arus pulau impian tak kelihatan. Engkau makin jauh tak kukenali dirimu lagi sedang pertemuanmu dengannya hanya muka buku menjadi saksi dan engkau lebih percaya janji cinta di alam maya. Lepaskan aku andai engkau memilih dia bila setia tiada lagi jangan hatiku terus diuji. SRI MAWAR Kuala Kurau Perak. 8 Mac 2013 1.23 pm

Friday 8 March 2013

INGIN

Ingin kupetik kejora indah
menghiasi langit angan
 mengerdip di mimpi siang.

 Ingin kudaki ke puncak gemawan
berlindung di mendung hujan
 mengharap jalur pelangi.

 Namun bila alam tiada seri
sinar mentari bagai berlari
kita pun terfana
dalam arus fatamorgana.

 SRI MAWAR
 Kuala Kurau
Perak 7 Mac
 2013
12.49 pm

SEKADAR HARAPAN

Percikan api yang mewarnai angkasa kuharap bergemintang malam menyemarak jiwa kiranya membakar sukma menghangus dalam diam. Permata yang kusangka intan kuharap menghias jemari bertatah kemilau seri kiranya kerikil menghujam. membengkak dalam kejam. Kita tidak pernah tahu keliru dalam menentu berharap mengapai bintang terhumban di langit dendam Kita sering menunggu hujan menyiram kemarau gersang berharap mengusap pelangi terlemas di banjir mimpi. Bila itu sekadar harapan biar Tuhan menentukan. SRI MAWAR Kuala Kurau Perak7 Mac 2013 8.40am

BILA SENJA

Bila senja merona jingga ada lakaran mencorak di langit kelam dan indah pun menjelma merawat lelah mentari maghrib pun membelai hati memuji kebesaran Illahi. Di sejadah malam kita pun menjadi tetamu meneguk manisnya iman mengadu kepada Tuhan melapangkan dada mencari sejuta redha. Kita pun melirik bait pada kehalusan hadis dan kelunakan Al'Quran bersatu dalam jiwa meresap damai rasa. Andai lelah dalam pencarian dan kehilangan harga diri pulanglah mengabdi pintu kasihNya tetap terbuka pada keikhlasan do'a. SRI MAWAR Kuala Kurau Perak 1.13 am

KEMELUT MERANTAI

Dalam meniti saat demi saat di ruang hidup kita sering lupa pada waktu yang terbiar kesia-siaan dalam kekalutan lalu kemelut pun merantai membelit tiap persoalan yang tidak mungkin terlerai. Kita sentiasa mencari salah andai takdir berbicara lain maksud hati meraih angan namun kegetiran kian membukit menumpuk dalam hati yang sakit atas landas kekhilafan diri. Biarlah dalam waktu yang sedikit tersisa kita serakkan kudrat yang ada memenuhi impian mencari kebenaran dan menetapkan haluan tuju agar renung fikir tidak lagi celaru kita pun memecah buntu. SRI MAWAR Kuala Kurau Perak 12.26 am

PERWIRA

Tapau sarapan kuih bersira pengat dijamu terhidang di beranda bersantap tetamu sambil bercanda .........walau terkorban jasadmu perwira .........semangat juangmu menjadi lagenda .........tetap namamu mengharum persada.

UNTUK KALI TERAKHIR

Bila mata tertutup atau sedikit terbuka renungku tak lagi berkedip pejamku tak lagi celik itulah pengabdian terakhir berangkat ke Luh Mahfuz usahlah gentayangan menuju puncak awan. Mandikan aku untuk kali terakhir berlangir limau kasturi sintuk perlahan mengelus terbaring kaku kain putih berlapis menyelimuti aku. Di hujung kepala dan disekitar suasana gemakan aku dengan surah Yassin dan merdunya ayat-ayat Al’Quran tanda kasihmu padaku dan meringankan bebananku menyongsong pergi tak lagi kembali. Jangan menangis sayang andai kita terpisah kini aku dijemput pergi meninggalkan engkau dan secebis pesanan engkau yang mithali jadikan anakku insan berbudi andai afdal do’anya biar engkau dan aku tidak pernah menyesal menghuni alam jauh dari sesat dan dendam. SRI MAWAR Kuala Kurau Perak. 1.08 am

CINTA KITA

Kita tetap punya rasa mendalam di lubuk kalbu menjaring rindu syahdu menyelam di alam impian perasaan menjadi korban. Kita tetap punya rahsia menyimpul ikatan jiwa biar hakikat tersisih batin kita kian merintih walau tak terdaya di dalam kudrat dan iradat kasih sayang sepanjang hayat. Jurang menghantui bayangan nampak jelas di perairan kasih namun kelocak bergelombang biasanmu seakan hilang. Aku cinta padamu cintamu pun lekat di jantung hati namun kita tetap berbeza dalam nyata dan ilusi bagai tak tergapai menghuni puncak mahligai. Tapi sayang engkau tetap mejadi bayang mengekori tiap gerak dan ruang dalam hati dan perasan cinta kita memberi kesan. Dalam pasrah tahajjud kita merangkai do’a membawa harapan ke pintu syurga jauh dari noda dan dosa bila cinta bukan memiliki biar damai melangkah pergi. SRI MAWAR Kuala Kurau Perak 1 Mac 2013 12.52 am

JEJAK WAKTU

Kelmarin kita meninggalkan jejak waktu lalu melupakan tiap detik yang berlalu kerana tiap saat yang mendatang bagai berlari masa dikejar seribu satu persoalan. Hari ini kita meniti detik bersisa lalu meraih segala kesempatan kerana harapan yang dijulang bagai tidak terkata di alpa sejuta kesyikan dunia. Esok kita meninggakan tiap kenangan menatang jelang ketentuan hidup dan mati belum bisa melunas janji kerana segala sesuatu berada dalam ketentuan Ilahi Kita yang datang dan melangkah pergi adalah kita yang tersendiri. SRI MAWAR Kuala Kurau Perak 1 Mac 2013 12.16am

MENYEMAI BUDI

Pohon selasih tinggi mengayat pangkas rantingnya harus sentiasa bila kasih merangkai hayat tenteramlah jiwa damai sentosa. Lima bulan mengidam nangka jeruk mempelam di dalam kendi sama menelan suka dan duka itu tandanya menyemai budi. Bersih lantai di sapu bersama silau cermin tembus ke dalam kasih diuntai seindah purnama kilau cahayanya menerangi alam. Manggis putih tampuknya lapan ikat sekati buah berangan gadis manis ayu dan sopan memikat hati melirik angan. SRI MAWAR Kuala Kurau Perak. 26 Feb 2013 9.45 pm.

YANG DATANG DAN PERGI

Yang datang menjanjikan mentari terang tanpa mendung hitam dan gerimis mengundang. Yang pergi melenyapkan segala kepalsuan tanpa putihnya awan dan biru di langit impian Kita ini bagai pelarian mengharapkan gemerlapnya bintang dan sinar di bulan mengambang namun hijaunya dedaunan adalah kelayuan pada tunjang kebenaran. Sedarlah dari lena yang panjang hidup yang sementara biar bercahaya menerajui persada dan suburnya kita menjadi penaung bertumpang teduh. SRI MAWAR Kuala Kurau Perak 25 Feb 2013 1.21am

PUTIH DAN HITAM

Bila lidah bagai gergaji tajam matanya berlekuk gerigi lalu suka menabur janji sedang bukti tidak terpuji. Kata-kata bagai mengarah suka mengarut memecah belah asyik merungut mencari salah sedangkan diri tidak menyerlah. Dalam mengarut leka terlena corak hatinya berbagai warna budi terlupa kutukan terbina itulah takbur suka menghina. Angan-angan tinggi menggunung bagaikan tidur di atas bumbung andai hati taksub dan sombong segala ego tinggi melambung. Bila sekadar bijak bercakap sedang hidup laksana merakap hanya mengganggap diri yang cekap namun menunjuk buruknya sikap. Kasihan orang rendah fikirnya menyesal kemudian tiada berguna hanya mengikut telunjuk katanya sedangkan hidup akan merana. Bukalah minda cerahkan fikir segala janji janganlah mungkir hidupnya kita bagaikan fakir di tanah air bagai musafir. Andai milik terlepas tangan gelap segala masa hadapan rosak diri mabuk penangan tiadalah lagi dapat berangan. Hitam hati mengikut corak rosak pekerti bagai digertak bergema hinaan di dalam sorak sedangkan langkah tidak bergerak. Putihkan hati nilaikan budi andainya molek laku pekerti wawasan jaya elok di titi untuk kehidupan lebih bererti. SRI MAWAR Kuala Kurau. Puteri Perak 24 Feb 2013 9.58 am

PANTUN

Besar lipan di tepi palung terkapai katak ditelan ikan biar harapan tinggi menggunung tercapai tidak Tuhan tentukan. Merah pakaian tersidai di ampaian baju Pak Pian ditiup taufan fitrah insan sesal kemudian itu sebahagian pintu keinsafan.

PANTUN CINTA SEJATI

Cempaka di titi di kiri kanan indah berseri menghias taman luka hati menjadi peranan muhasabah diri itu pedoman. Cenderawasih dan selayang di atas jerami kumbang berterbangan di atas titi kasih dan sayang tetap bersemi lambang kemurnian cinta sejati. Liar merbah meluru di angkasa terkedu melihat si ular sawa biar gundah membelenggu rasa itu menjadi penguat jiwa. Di dalam peti tertanam kekwa cabai melaka di tepi gua bahagia hati tenteram jiwa andai setianya tiada dua. Bila terhidang keropok lekor enak disantap minuman bersusu bila kumbang bukan seekor apa dihirau rayuan palsu. Buah berangan dikelilingi duri sendok berasap di tempat hidang bila bayangan menghantui diri elok menatap seluas pandang.

KITA HANYA SEKECIL KIAMBANG

Kita hanyalah sekecil kiambang
 terbelah di haluan tuju
sedang kita penghuni alam
 pedih di terik hari.

 Kita kiambang terapung
di tasik kehidupan
menghijau rona
tenang dikocak maya.

 Tapi bila biduk melintasi
 kita tercerai diburu mimpi
tidak terjawab tanda tanya
haluan biduk hala ke mana
 kita pun mula memikir
 kolek hanya sekadar kolek
 yang tak pernah tahu derita lara
 kedalaman dasar
 atau karam di muara.

 Andai kiambang kembali bertaut
 atau lalang meliuk lintuk
 menepis angin angkara
kita pun memilih arah
 menentukan jejak diri
dan berperang dengan hakiki.

 Kitakah kiambang yang terapung
 atau lalang ditiup angin.

 SRI MAWAR
Kuala Kurau
 Perak
15 Feb 2013
 12.54 am._

ENGKAU LELAKIKU

ENGKAU LELAKIKU Engau lelakiku ilham dari syurga menjadi pelita menerangi segala. Engkau lelakiku sumber segala rasa menjadi pautan tumpuan pacaindera Engkau suamiku naungan hasrat munajat kasih cinta erat mengikat. Sampai mati tetapkanlah hati curiga jangan meniti biar lara kita teruji kita genggam setia nan tulus seni jiwa ikhlas dan telus. Bila cinta menerawang angkasa bersama melayah ke teluk suka berterbangan melepasi lautan duka kita pun menetap tiitk keikhlasan atas satu cinta hidup mati biar berdua. SRI MAWAR Kuala Kurau Perak 14 Feb 2013 12.53 pm Suka · · Promote ·

AKU WANTAMU

Bila aku wanitamu yang punyai sejuta cerita ruang fikirku sentiasa bergelora terhempas badai perasaan dilambung ombak kekalutan takkan ada lagi seri terukir takkan ada rona mesra terlahir kemelut bagai mengikis keremajaan jauh terpinggir menjadi selaut peristiwa dirangkai masa. Aku ini wanita di hujung senja memiliki seberkas kudrat tak mampu kuat mengikat meski kasihku sentiasa tertambat padamu insan tersayang dan engkau hadir sebagai bayang memburuku tiap detik saat mula cinta berputik. Semoga saja kasihmu memalar segar cinta hatimu sentiasa mekar meskipun aroma kuntumku tidak lagi sewangi dulu dan kelopaknya gugur satu-satu. SRI MAWAR Kuala Kurau Perak 12 FEB 2013 1.01 am

SEPUTIH SALJU SEMERAH DARAH

Kalau kita punya cinta seputih salju semerah darah menggetarkan degup jantung aliran rindu di sukma bagai kerdip kejora di dada malam ia berasmara. Bayu pun berpuput lembut mengelus wangian syorga merangkul seerat kasih resapnya memberi ilham bertebaran titisan kalam di tinta kalbu melirik syahdu senandungkan cinta ke hujung nyawa Bila bahagia itu milik kita engkau dan aku tetap bersatu mengenggam suka duka memahat ukiran takdir dan hiasan kita melatari zaman. SRI MAWAR Kuala Kurau Perak 19 Feb 2013

JENDELA MATA

Kita tetap serupa sentiasa memandang di luar jendela meneliti peristiwa melangkaui luar diri lalu lupa untuk bercermin bagi merapikan diri sendiri. Ada apa pada cinta kalau hanya mainan perasaan melekakan tumpuan sedang hidup ini makin memaksa untuk kita telusuri sejuta hakiki. SRI MAWAR Kuala Kurau, Perak 12 MAC 2012

TIADA LAGI RINDU

Tiada lagi rindu dan keluh kesah pada rentetan waktu kerna hidup ini bersimpang siur dan susur galurnya bagai menjerat masa depan lebih memikat. Kita lupakan kisah silam bila segalanya menerbit dendam membunuh kecintaan melenyapkan igauan musim semi dikubur masa tiada lagi kelam cahaya. Kita adalah kita makin terasing mengubah haluan sesat di hujung persimpangan dan kita pun saling melambai bila jabat kasih kita terlerai aku pun kian tenggelam di laut segara lemas menyelam sedang engkau di pantai bahagia tersenyum girang. SRI MAWAR Kuala Kurau Perak 5 Feb 2013

INDAHNYA BUDI

Budi bahasa lembut tuturan menambat ukhuwah dalam berkawan ikhlas berbakti jadi panutan nama yang baik jadi sebutan. Bila jiwa bersih nurani ihsan hatinya buat berbudi tidak menerbit rasanya benci iman dan takwa menjadi sendi. Jasa dan budi itu matlamat tidak mengira diri dikhianat asalkan setia penuh berkhidmat kepada Allah dipohon rahmat. Amanah itu satu pegangan tidaklah mudah hilang pedoman tidak menghina mencaci jangan hadis , Al’Quran jadi panduan. Mindanya luas bersinar terang lembut hatinya bersifat tenang budinya baik sentiasa mengenang tidak memilih susah dan senang Bila berbakti tidaklah gundah sentiasa redha di dalam tabah walau beribu datang musibah namun hatinya sentiasa pasrah. Setiap maki ditelan caci tidak sedikit merasa rugi hatinya ikhlas patut dipuji tidaklah pernah ia membenci. Insan begini hatinya mulia segala dugaan bersiap sedia kasihnya telus terhadap bangsa pasti mengharum nama n.egara Kalau kita berbaik sangka Allah pasti memberi suka tidak hidup dalam berduka aman sentosa dalam sejahtera. Orang tamak selalu rugi orang yang baik sering dipuji tidak hidup bagai gergaji didalam lembut menusuk taji. SRI MAWAR Kuala Kurau Perak 4 Feb 2013

DILERAI JANJI

Mengapa ada derita meraung di bingkai sukma jeritan tanpa suara dimamah kepiluan rasa menusuk kalbu disayat janji palsu. Mengapa melunakkan janji jika sekadar berilusi andai pelangi menghias kata racun melerai bisa dan kalbu seakan mati harapan kehilangan erti. Engkau yang mentafsir atas kelemahan diri menghujam bagai cemeti membelit kerakusan budi menerjang segenap benci. Aku tidak mungkin berpaling mengintai mimpi di lautan dendam airmata menerbit karam tidak mampu kuselam. Kita merungkai ikatan tidak perlu berkelana di dalam mimpi yang membuai lena. bila siang menjelang kenyataan hidup membuai terang. SRI MAWAR Kuala Kurau Perak 2 Feb 2013 12.55am