Sunday 27 January 2013

MERACUN SUKMA

Timbang berat besi penghadang
dahan di tasik dikerat-kerat
memang hasrat bagai terhalang
runtuhan nasib bagai tersurat.

Cindai sutera sama direka
relah dahlia dicucuk peniti
andai bahagia cuma seketika
pasrah dan redha menakluk hati

Bunga raya di tepi pakma
hujan di gurun gerimis cuaca
tiada cahaya menyeri sukma
bagaikan racun memamah bisa.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
25 Jan 2013

TERBUANG LALU



Panji tersandar mengadap jeti
bantai bertingkat di atas para
janji sekadar penyedap hati
sebagai pengikat rindu asmara.

Pantai Selangat sedia berpalang
titi tenggelam di laut dalam
andai tergugat setia terhalang
pasti karam merindu dendam.

Mentera tersurat di tempat bara
ubat seliuh tangan dan kaki
air mata pengubat lara
tempat terseduh runtunan hati.

Air halia berkeledak hama
rotan berbelang di hutan ara
bila bahagia tidak menjelma
bagaikan berenang di lautan sengsara.

Berkarat roda mengusung guri
kotak sarat merata menghadang
berat derita tanggung sendiri
tidak seberat mata memandang.

Tampi usang terletak laci
ikan keli berarus di titi
mimpi terbuang diolak benci
bagaikan tali diputus belati.

Kotak terperap geliga sakti
pala berduri dipancang alu
tidak kuharap bahagia sejati
bila diri terbuang lalu.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
23 Jan 2013
2.55 pm

Wednesday 23 January 2013

AKU ORANG TERBUANG


Aku orang terbuang
di lembah duka mengayam luka
terlupa masa indah
tenggelam dalam gundah
menyelam mencari mutiara
kalau bisa merantai setia.

Aku orang terbuang
layu sebelum kembang
kuncup sengsara mula berputik
detik silam mencarik
duri-duri hampa
menikam dada.

Aku orang terbuang
mencari sinar mentari
di mana bilah pelangi
suram alam berarak kelabu
gerimis lelah menyiram debu
pohon kasih semakin punah
akar cinta makin terbungkah
dan rindu asmara kian goyah.

Aku orang terbuang
bila ada kuntuman mekar
yang ingin engkau belai
tercium harum di sukmamu
mengintai lerai debunga masa
di jambangan hati serinya menyerlah
lalu hiasan kamarmu yang dulu
akan engkau campak di hujung kaki.

SRI MAWAR
Kuala Kurau .
Perak.
23 jan 2013
12.04 am

Tuesday 22 January 2013

KUKUBURKAN SEBUAH HARAPAN

Saat kurenung kocak air di kali
tak kulihat lagi bulan bercahaya
bayangku seakan sirna
yang terlihat hanyalah biasan masa silam
berlari detik menghimbau kenangan
tentang peritnya hidup
dan kusut masai pengalaman.
namun aku bahagia
di situ ada cinta.

Aku kian merenung
tak kulihat lagi bulan bintang
mengerdip di dada malam
pilu suasana
airmata bagaikan bercerita
tentang harga diri
mencari identiti
kehilangan puisi.

Salahkah masa
menjerut pada sebuah keinginan
melakar mimpi
berbicara tentang khayalan
mendabik cita
lalu aku kehilangan asa
dirobek cemburu berbisa.

Malam ini
kukuburkan sebuah harapan
nisan petanda
aku yang hilang
di bawah mega mendung
mengadah langit
menjejak bumi
biar tak lagi tersadung
bimbang tersungkur di kaki sengsara.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
21 Jan 2013
11.40pm

SETIA PENGIKAT BANGSA


Dahlia segar meliuk di dahan
taman permai redup di desa
setia mekar mengukuh perpaduan
aman damai hidup sentosa.

Bunga palas bertaut di titi
kuntuman pakma di para pelita
bila ikhlas turut berbakti
harumkan nama negara tercinta

Roda di pintu terikat gangsa
keladi tumbang di kepala titi
setia itu pengikat bangsa.
budi dikenang jasa diingati.

Cuka di guri berlinang basah
Merpati,terkukur merapat ke jemuran
jika diri mengenang susah
pasti bersyukur mendapat kemakmuran.

Liar cenderawasih di ranting selasih
bayan menjunam di lembah seberang
biar putih berhati bersih
jangan hitam menambah arang.

Pinggan pecah tertekan baji
laris bunga di rakit baba
jangan mudah termakan janji
manis mulutnya mengait laba.

Akasia di ayat suara berzapin
kendi kacang di rempuh angsa
setia rakyat kepada pemimpin
menjadi tunjang pengukuh bangsa.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak.
21 Jan 2013
8.29 pm

TERIMA KASIH

Isi durian di dalam raga
keladi kemahang dibuat pengat
setiap pemberian amat berharga
budi dikenang jasa diingat.

Kereta berselisih berwarna –warni
ada duri di bawah titi
bila bersih hati nurani
segala budi dibawa mati.

Sarat di rumah gendang hadrah
nasib terkukur singa menyerang
adat menerima sebarang hadiah
wajib bersyukur budinya orang.

Isi kanji di dalam guri
telok dan sungai dawai dipancang
bila berjanji untuk memberi
elok di tunai bagai terancang

bersama selasih wajik disuap
kendi suasa berisi geliga
terima kasih wajib diucap
budi bahasa menjadi harga

kurang berseri kereta lama
belida di lembah tersula lidi
orang memberi kita menerima
tanda ukhuwah mulianya budi.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
19.Jan 2013
12.35am

TELUNJUK MENCUCUK MATA


Tak pernah terlupakan
andai ada resap rasa dari keluh simpati
kerana kita tetap punya jiwa
ingin memesrai suasana dulu
tapi bila kehidupan menjadi lain
tak satu pun dapat dititip.

Dan kita pun menyimpan kenangan
aksara yang terbait
kukutip mesra bicara
merangkai kehalusan jiwa
menerajui ingatan
menjadi pedoman.

Engkau tetap yang dulu
satu keunggulan
dan damaiku
tetap tersandar di bahumu
biarpun kini
tidak lagi ada sapaan
dan jabat tangan kita
bagai dirungkai masa.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
17 Jan 2013
3.20pm

DIRUNGKAI MASA


Tak pernah terlupakan
andai ada resap rasa dari keluh simpati
kerana kita tetap punya jiwa
ingin memesrai suasana dulu
tapi bila kehidupan menjadi lain
tak satu pun dapat dititip.

Dan kita pun menyimpan kenangan
aksara yang terbait
kukutip mesra bicara
merangkai kehalusan jiwa
menerajui ingatan
menjadi pedoman.

Engkau tetap yang dulu
satu keunggulan
dan damaiku
tetap tersandar di bahumu
biarpun kini
tidak lagi ada sapaan
dan jabat tangan kita
bagai dirungkai masa.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
17 Jan 2013
3.20pm

KALAULAH KALAU


Kalau ikan terjaring di Linggu
alur berpusing di Sungai Baru
kalau fikiran sering terganggu
telanjur rungsing jiwa celaru.

Kalau hendak libur di desa
tersepak kerusi di simpan dahulu
kalau onak menghembur bisa
telapak kaki menyimpan nyilu.

Kalau dangkal di pinggir lautan
nanti menapak saja di titi
kalau akal seiring perbuatan
pasti tidak beraja di hati.

Kalau tetamu melipat setokin
baju hujan bersama kebaya
kalau ilmu sedapat mungkin
tentu kemajuan membawa jaya.

kalau jodoh bakal menunggu
hari indah menginjak terang
kalau bodoh berakal dungu
pasti mudah dipijak orang.

Kalau si pakar menjahit kulit
kasut selipar sepasang di laci
kalau pintar memutar belit
mulut celupar orang pun benci.

kalau susu basi di laman
ukiran terpahat halus suasa
kalau nafsu mengatasi iman
perbuatan jahat menjurus dosa.

Kalau mengemudi di bawah titi
lama berehat di pinggir taman
kalau budi dibawa mati
nama terpahat ke akhir zaman.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
16 Jan 2013
8.26 am

AKSARA JIWA


Setiap kata-kata yang terangkap
adalah sebuah sajak jiwa yang terucap
tidak ada kompromi dalam bersuara
tidak ada tekanan yang memaksa.

Hati itu medan rasa
luahan meniti bait
mencerna kepuasan
merangkai keindahan
aksara yang tergambar
penuh lakaran suka duka
merona teratak cinta
mengait ukhuwah
membina muhibbah
tiada hati yang tercalar
andai mengerti salah dan benar.

Sebuah puisi
adalah gambaran hati nurani
yang sukar untuk dimengerti
bila segalanya perlu ditafsir
pesona pun takkan mungkir.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
14 Jan 2013
1.01 am

API YANG MEMBARA

Buah naga lentur di taman
serban dan topi di dalam kereta
untuk sebuah negara yang aman
jauhkan dari api sengketa.

Gula berpandan jatuh terhempas
manisan sapi madu bersera
bila perpaduan bagaikan hampas
hembusan api mula membara.

Kereta terletak di bawah kedangsa
talam merah di batas sawah
sengketa itu merosak bangsa
dendam amarah menghapus ukhuwah.

Tepi cemara bersarang penyengat
perak suasa di dalam talam
api membara membakar semangat
merosak bangsa jika berdiam.

Dulang gangsa cantik terukir
telok berpasir bercampur tanah
petualang bangsa bagai musafir
elok di usir sebelum musnah.

Dahan reput di celah bemban
pantai landai serangga melata
jangan disebut rela berkorban
andai tergadai negara tercinta.

SRI MAWAR
Kuala kurau
Perak
12 Sept 2013
9.14am

SOKONG MEMBAWA REBAH


Biji lada di dalam cawan
kain sutera lengkap berjelujur
berpada-pada dalam berkawan
tidak semua bersikap jujur.

Masak geti berbagai cara
pinggan makan retak dek batu
berhati-hati memutuskan perkara
sokongan rakan sekadar membantu.

Hutan menerung bersarang lebah
besi karat jatuh di paya
jika sokong membawa rebah
tidaklah hasrat membawa jaya.

Lagu ada kalam berzapin
terolah dengan khazanah prosa
begitu juga dalam memimpin
salah sokongan punah bangsa.

Rosak susu kerana nila
buah dokong berat di galas
desak seteru bermaharaja lela
bila menyokong minta dibalas .

Cucur keria di rumah kenduri
secawan perisa ditambah buah
Kawan setia sukar dicari
kawan perosak berlimpah ruah.

Manisan kuini bercampur gula
gerimis menyiram selut di perdu
insan begini sukar diduga
bermanis mulut bersalut hempedu,

Sos lada tumpah di sarbat
seluar panjang sidai di laman
harus waspada memilih sahabat
biar setia sepanjang berzaman.

SRI MAWAR
Kuala kurau
Perak
11 Jan 2013
9.29 am

ANAK YANG SOLEHAH


Lebat buahnya si asam kandis
fajar sidik di celah papan
amatlah susah beranak gadis
wajar dididik adab dan sopan.

Kala para hampir tumbang
pasakkan ia sebatang kayu
bila si dara mula berkembang
kumbang liar mula merayu.

Ikan pari di masak halia
ikan toman ditabur roti
didikan diberi ke jalan mulia
tanamkan iman membentuk pekerti.

Belanak dan kelah di bawah titi
jeruk halwa dicampur kelapa
anak yang solehah idaman hati
penyejuk jiwa ibu dan bapa.

Indahnya pantun tema keladi
hari dan bulan bagai berlari
senyumnya santun tingginya budi
jadi amalan setiap hari.

Roti kelapa jadi makanan
lihat penapis langsung ditutup
hati siapa tidak berkenan
melihat gadis bertudung litup.

Cindai diperaga kerumah kenduri
sama berharga sutera pelangi
pandai menjaga maruah diri
nama keluarga harum mewangi.

terbang rendah di pohon kelapa
kuang berehat di pohon sena
amal ibadah tidak dilupa
segala nasihat memberi guna.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
10 JAN 2013
1.29 am

ANAK YANG SOLEH


Pucuk geti bertaut rapat
belah ragi di bawah tudung
sejuknya hati ibu mendapat
tidaklah rugi saat mengandung.

Ayam denak memagut ulat
labu dan halia tanam di bendang
bila anak bersifat taat
ibu bahagia, ayah pun senang.

Jamu bergunaa berserat pegaga
senak perut senja menjelang
ilmu dunia akhirat juga
anak menuntut hingga cemerlang.

Di celah semak burung pekaka
telaga jerlus dilompat singa
bila anak tidak durhaka
syorga firdaus itu tempatnya.

Pemburu terjumpa suasa di gua
dahlia berbunga di celah batu
ibu dan bapa sentiasa berd’oa
bahagia dirinya menadah restu.

Belanak kering di kandang rusa
selasih tumpah di lembah desa
anak tidak berbuat dosa
kasih melimpah bertambah pahala.

Hendak bertindik di gerai kaca
taman kekwa dikebun lada
anak terdidik al’Quran dibaca
iman dan takwa penuh di dada.

Gula tumpah semut melata
jejak tekukur selut terejam
bila ayah menutup mata
anak bertafakur menjadi imam.

Bela lembu di kebun nyonya
tidaklah boleh pegang jambulnya
bila ibu pergi selamanya
anak yang soleh makbul doa’nya.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
8 Jan 2013
5.00 pm

SUAMI YANG SOLEH


Tepung diuli menjadi doh
Kuih lepat dicampur koleh
bila suratan menentu jodoh
biar mendapat suami yang soleh.

Serambi pilihan menghala telaga
dekat laman pohon selasih
suami berperanan ketua keluarga
kuat beriman serta pengasih.

Unggas malam sedang berbisik
onak dan duri bagai menjerat
tegas dalam cara mendidik
anak dan isteri sentiasa taat .

Kereta kami berjalan lambat
bawa sampin bercorak dahlia
kata suami kata keramat
wibawa pemimpin keluarga bahagia.

Raga punah ditimpa dahan
cendawan jerami di Teluk Salak
keluarga sakinah menjadi pilihan
peranan suami membentuk akhlak.

Dadih berperisa diletak harga
tiga sekawan datang merasa
gigih berusaha tunggak keluarga
rumahtangga aman sentosa.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
7 jan 2013
11.52 pm

IBU SOLEHAH

Do’a dan zikir di malam gelita
sunyi sayu tanpa suara
waktu lahir cahaya mata
hati ibu amat gembira.

Dalam pasu berisi selasih
daun sireh di dalam kebun
anak di susu sepenuh kasih
belaian kasih di ubun- ubun.

Burung hinggap di pohon kepayang
mematuk paruh di celah papan
sambil mengusap sepenuh sayang
ibu menaruh segenap harapan.

Hendak memetik bunga angsana
berkain kasa , memakai suasa
anak dididik biar berguna
kepada negara , nusa dan bangsa.

Ada kolah di hujung jalan
pagar di laman tempat berangan
ibu solehah menunjukkan jalan
agar iman jadi pegangan.

Ikan belanak di dalam pasar
makan kerabu sambil ketawa
bila anak mula membesar
didikan ibu pengaruhi jiwa.

Tebu dimamah di atas titi
kain sampin di dalam guni
ibu muslimah belas simpati
jadi pemimpin berjiwa murni.

Perut sebu di hidang acar
setiap saat asyik meratah
tidaklah ibu kepalang ajar
anak taat menurut perintah.

Di dalam laci permata indah
getah sekerap tepi perigi
amalan suci dalam ibadah
turut diterap menyuci diri.

Enak koleh di bawa rakan
dalam bercanda sambil ketawa
anak yang soleh hasil didikan
di alam barkzah do’a terbawa.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
6 jan 2013
7.14pm

RUMAHMU SYORGAMU


Buah nona di celah dahan
pasak papan dibuat pancang
bila sempurna tetapkan pilihan
jodoh pertemuan biar dirancang.

Bertemu ramah waktu bersua
naik kereta bersama-sama
andai serumah hidup berdua
pasti bahagia kian menjelma.

Memadu cinta dipohon redup
sambil bercerita menyusun kata
bila cahaya mata menyeri hidup
amat bermakna melaksanakan cita.

Sukun di jamu waktu di taman
roti idaman dimakan juga
rukun keluargamu berserta iman
pasti kediaman bagaikan syorga.

peluru membedil si burung sintar
ayam katik mengejar angsa
suami cerdik isteri pintar
mendidik anak biar berjasa.

Di tepi tangga disemai kekwa
kilau talam bagaikan suasa
rumah tangga berserta takwa
aman tenteram ceria sentiasa.

Masak cuka ikan gelama
serama dan candan di reban nyonya
suka duka tempuhi bersama
terima keadaan dengan seadanya

Suasana redup di pohon delima
dahan kenanga jatuh di telaga
dalam hidup yang paling utama
kebahagiaan keluarga amat berharga.

Ddatang tetamu dijamu mangga
kupas kelapa lalu dikukur
bila rumahmu bagaikan syorga
nafas dihela berserta syukur.

Letak kain di atas papan
sambil menghirup sayur keladi
tiada lain menjadi harapan
kebahagiaan hidup kekal abadi.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
5 jan 2013
10.39am

KERANAMU TANAH AIR

Bunga rafflesia di Kampung Duku
menyambar helang tertambat angsa
keranamu Malaysia tanah airku
akan kujulang martabat bangsa.

Angin nyaman berhembus di timur
waktu pulang membeli donat
negara aman rakyat makmur
jangan petualang berhati khianat

Buah kiwi tambah perisa
patah dahan pohonan ara
demi pertiwi bangsa dan nusa
teguh pertahan musuh negara.

Membaca syair nafas dihela
bila tersiar terdengar suara
tanah air tanah terbela
jangan dibiar dihuru –hara.

Roboh para pasak kedangsa
kasut terendam di dalam timba
penceroboh bangsa merosak negara
menghasut dendam mengadu domba.

Pohon selasih di tepi beranda
samar senja di lautan segara
andai kasih tanah ibunda
sama menjaga kedaulatan negara

Tekat sutera di rumah teman
sari lusuh sulaman lembut
rakyat sejahtera negara aman
hindari musuh dalam selimut.

Pucat lesi tiada berbaju
sergah angsa di bawah roda
generasi berkembang negara maju
indah bangsa megah di persada.

Gula dan nira di bawah tudung
guni kasa terikat pegaga
bila negara menjadi pelindung
harmoni bangsa rakyat terjaga.

Kari gelama membuka selera
Wangi kukusan ‘tepong pelita’
mari bersama kita perlihara
sayangi warisan negara tercinta.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
5 Jan 2013
12.51 am

WATAK BERCELARU (2)

Giling rempah bercampur lada
ikan puyu masih di joran
bila iman kurang di dada
akal dungu merosak fikiran.

Kanak-kanak bermain guli
katak terkebil di bawah guri
bodoh sombong tiada peduli
jebak nafsu merosakkan diri.

Petik sebiji buah kelapa
keladi birah di pinggir hutan
bila khayal, asyik dan lupa
bebal diri menjadi turutan.

Gadis berhias cantik berseri
wajah ayu senyum sentiasa
kuasa dan tamak pegangan diri
tiadalah budi membuat jasa.

Ambil cermin di dalam laci
lihat biasan wajah membayang
orang berkasih awak membenci
tiadalah sifat berkasih sayang.

Pergi mendaki si Gunung Daik
untuk mencari seekor angsa
celaru fikiran memilih baik
hingga merosak budaya dan bangsa.

Lihat ayam memagut tanah
riuh mematuk adunan kenyal
jangan terjebak dadah pemusnah
generasi punah di alam khayal.

Duduk tersandar di pohon jati
gelap alam terasa pitam
bila haloba menguasai hati
sanggup menjadi keldai hitam.

Terbang tinggi burung kenari
hinggap seekor di pohon sena
bila penyesalan menguasai diri
sesal kemudian tiada berguna.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
3 Jan 2012
6.28 pm

WATAK BERCELARU (1)

Pergi ke pasar beli cencaru
dingin beku si air batu
kenapa fikiran sering celaru
watak dan pekerti tidak menentu.

Burung kedidi di celah dahan
tikus keturi membuat onar
kenapa sukar menentu pilihan
tiada mengenal salah dan benar.

Merah saga warna Avanza
patah dayung haluan kemudi
hitam dan putih tiada terbeza
hingga terlupa mewarna budi.

Pisang berangan dibuat bekal
di atas bara sedia di salai
resam manusia menilik akal
buruk dan baik tiada dinilai.

Waktu subuh berhawa sejuk
berkaki ayam tiada berkasut
mengapa mengikut arah telunjuk
kelingking berkait mengundang maksud.

Pergi mengail di tapak lombong
sambil meraut seberkas lidi
andai hati tiada sombong
pasti dapat mengenang budi.

Kapal belayar labuhkan sauh
tambat tali di kayu kukuh
sebagai rakyat merenung jauh
jangan terlalu haloba dan angkuh.

Gelang emas cincin suasa
pakar mencanai di atas bara
negara aman rakyat sentosa
jangan bertingkah menghuru –hara.

Berkain batik berbaju baru
duduk bersandar di pohon sena
jangan diturut watak celaru
sesal kemudian tiada berguna.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
3 Jan 2013
12.46 am

AZAM TAHUN BARU

Tanam tebu di tepi bibir
itulah pepatah orang dahulu
bila tirai malam menyingkap tabir
serlahlah hari di tahun Baru.

Duduk bersimpuh bersopan santun
lembut bahasa laksana sendi
di hari pertama kita berpantun
menyambung ukhuwah menyemai budi.

Burung kedidi di pohon sena
diatang pokok memagut ulat
dalam berpantun mengukir makna
mencari erti dalam tersurat.

Dingin nyaman angin menderu
air berkocak di dalami telaga
tahun baru azam pun baru
azam yang lama teruskan juga.

Terang cuaca disinari bulan
pancing di ambil mengail ikan
buruk baik segala amalan
haloba dan fitnah elok hindarkan.

Gelang emas cincin suasa
indah di canai tiada tara
mengenang budi menilik rasa
barulah hidup aman sejahtera.

Betik di jeruk buat manisan
bakat mengukir Allah kurnia
simpulan bahasa ada berpesan
tidakkkan Melayu hilang di dunia.

Pergi majlis mengikut resam
siap dihidang nasi dan laksa
di tahun baru sama berazam
menjaga negara menyayangi bangsa.

SRI MAWAR
Kuala Kurau.
Perak.
1 Jan 2013
8.14am

DI AWANGAN

Cengkerik meratap di rimba 
bercerita 
tentang bulan bintang
sepi malam meringis
berteman bayu
lembut dan sayu.

Kelkatu resah
neon melambai
cahaya di balik tabir
menyerah nasib
patah sayapnya
lesu dan kaku

Di kamar hayat
mencari hakikat
terkunci diri
kehilangan abadi
mentafsir mimpi;

Dia yang menerima
membuka pintu redha
mengusap rindu
membelai kalbu
menasbih cinta.

Terleka insan di awang-awangan
bila terlena di alam khayalan.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
31 Dis 2012
4.45 pm

MENAUT HARAP


Petang kelmarin
sekali lagi kita melangkah
melebarkan pintu kedamaian
di Secret Recipe
mencicipi janji
merapatkan jurang
mengikat sayang.

Petang kelmarin
tidak seperti selalu
kek yang kutelan
terasa tawar
senyum menjadi hambar
kehilangan madu
kita berjabat di dalam ragu.

Namun
seperti selalu
aku tetap memaafkan
masih bergunung kasih
walau jiwa tersisih
di dalam raga
tetap ada cinta
buatmu yang memberi luka.

Andai masih ada harapan
buat kutaut
padamu
teguhkanlah tiang iman
dan kukuhkanlah
hatiku yang rapuh.

SRI MAWAR
Kuala Kurau.
Perak
29 Dis 2012

GUGUR


Dulu pohon yang engkau semai
segar merimbun
mengembang kuntuman mekar
mewangi aroma bunga
merah jingga kelopak merona.
menyeri suasana.

Kini pohonan hijau mula melayu
daunan menguning kian lerai
galak bunga gugur ke bumi
harumnya tiada lagi
layu kuntum lunyai di kaki.

Di mana lagi kesegaran dulu
ke mana hiasan di jambanganku
kelopak mawar makin berderai
julai ranting patah terkulai.

Kamarku yang kelmarin mewangi
mesranya mendamaikan hati
kini tiada lagi berpenghuni
usang suasana
sepi tak bersuara
kaku tak bermaya.

Bila hari meninggalkan senja
kamar gelap tak berpelita.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
26 Dis 2012
1.17 am

ENGKAU TELAH LUPA

Engkau telah lupa
saat pertama kali berjanji 
untuk tetap setia
pada hidup dan mati
bersama harungi samudera
mengemudi bahtera di laut gelora
lalu kita pun mengembangkan layar
menongkah arus dan badai kehidupan
walau taufan mengoyah haluan.

Aku pun memaut tali temali
agar tidak hanyut
walau pelayaran semakin kalut.
kita pun sampai ke tempat tujuan
hingga aku tidak merasa payah
menemanimu dengan asa
walau ribut tetap melanda
kita hadapi penuh rela.

Tapi kini
setelah tiba di daratan
engkau mula beralih arah
menginjak layar
memutus temali
bahtera pun karam
hanyut dan tenggelam.

Aku .
terkapai –kapai
mencari tali regangan
mengapai sauh
mengharap teduh
walau terluka
kurenangi jua
walau hati hiba
namun penuh redha.

Andai terdampar di pantai
mimpiku telah berkecai.

Sri Mawar
Kuala Kurau
Perak
25 Dis 2012
1.10 am

BILA ENGKAU BERBICARA

Ingin kututup telinga jiwa
dari mendengar segala rahsia
tentang kesetiaan yang engkau palingkan
apabila kata-katamu
kuharapkan menjadi dusta.

Bila engkau berbicara sesuatu
aku berpura-pura tidak mengerti
kerana ceritamu itu
tentang kejujuran
menjadi beban yang menghancurkan.

Tiada yang bersisa
tentang kasih sayang
bila kata-katamu
telah menjadi sebuah dosa
yang engkau sendiri meminta.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
24 Dis 2012
8.05 am.

ANAKKU


Anakku
jangan digusar 
tentang ibu
tidak ada secalit bimbang
atau gumpal ragu
memandang engkau
di dalam haru
berhati sendu.

Anakku
jangan dirajuk
andai kesal bertamu
kerna aku ibumu
akan datang memujuk
memberi engkau
semangat hidup.

Bila hidup tak selamanya indah
andai harapan tak secerah impian
itu bukan soal tentangan
namun segalanya di tangan Tuhan.

Bila bahagia tak selamanya menjelma
andai sengsara diulit duka
itu bukan soal perbuatan
namun segalanya di takdir Tuhan.

Tiada suatu yang kupinta
dalam relung wajah senja
hanya sekadar sepotong do’a
memohon
setiap detik
anakku sentiasa terbaik.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
22 Dis 2012
11.24 am

REMANG SENJA


Dulu
meja yang sering kita berteleku saban petang 
adalah sebuah meja yang menyaksikan
sebuah cinta yang kita semarakkan sekian lama
kita pun bercerita dengan senyum tawa
aku merasa sangat bahagia
kerana menyangka petangku tak berbau hiba.

Kelmarin
meja yang sedang kita duduki itu
adalah sebuah meja yang menyaksikan
sebuah kecurangan yang engkau bicarakan
engkau pun bercerita penuh rindu terharu
aku pun mula meratap
kerana menyedari malamku makin gelap

Akan datang
meja itu tidak lagi merakamkan
segala kebahagiaan yang pernah kita dendang
segala penghinaan yang telah engkau tuang
kerana kita tidak lagi akan datang
setelah kaki melangkah pulang.

SEI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
22 Dis 2012
9.03 am