Thursday 20 September 2012

RATAP

Diri meratap
mencari salah dan benar
hijab kalbu
teralpa pada kemunafikan
di cerca sinis
sukma menangis

Usah percaya
diri selamanya teguh
tabah terungkai
sakit membelai
duka berpanjangan
terlupa pada senyuman.

Terarah pandang
engkau teguh berdiri
dengan wajah seringai
gema dekahmu melantun alam.

Che Fauziah Idris
Kuakla Kurau
Perak
19 Sept 2012
5.01 pm.

PADAH

Selaut bicara
belum puas
terbang ke langit malam
mengulit mimpi siang
di lena panjang.

Besuk bangun lagi
igauan lenyap
mentari tersenyum
duka itu indah
kelu dalam madah
terkasima
padah pesona.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
2.00am
19 Sept 2012

TERSUNGKUR

Pedih peri
luka nan parah
kalbu berkecai
hempasan gerak gempa
musnah lara
hilang diri.

Dunia berbicara
riuh nada suara
tepuk sorak
luluh dalam gegar
aku yang tuli
bisu tanpa kata.

Hari ini
tersungkur maruah
dalam hilai tawa
teka-teki
soal tanpa jawab
lebur di neraka dunia.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
18 Sept 2012
11.36 pm

ENGKAU

Engkau
kenapa ingin membunuhku
tusukan belati hina
berbaur dendam
menikam belakang
darah hitam menyimbah.

Apa dosaku
masa silam
kujulang tinggi dalam puji
adalah masa canda
penuh dusta
bila engkau seperti mengerti
itu hanya mengeji.

Maruah
mencabar
tercalar .

Manis mulut
hatimu karat melekat.

Engkau terbuang kini
terhimbau dari sukmaku
menjauh
lalu hilang
jangan lagi menoleh.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
18 Sept 2012
6.44 pm

SYUKUR

Gemerlap neon kecil
warna warni
kerlip melambai
semangat hidup
mercunya terawang
hasrat menggenggam
ke puncak cita.

Cabaran
bagai mimpi manis
mengecap nikmat
wangian berkat
Illahi menunjuk jalan
terbentang luas
pintu rezeki.

Korban jiwa
puisiku meronta
ilusi dalam debu
haus meminta
dahaga aliran tinta
jemari masih menari
syukur
aku masih peduli.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
17 Sept 2012
11.55 pm.

DIAM

Biarkan saja
soalan membuka jawab
tidak usah jadi pemikir
kalbu berdendam
kusut dan muram
kusam.

Kebenaran engkau hembur
tetap berkubur
yang salah itu indah
berkait maruah.

Diamkan diri
bicara di mahkamah minda
bersaksikan jiwa
mutlakmu tertakluk
tidak usah peduli.
walau diri dikhianati.

Che Fauziah Idris
Kuala kurau
Perak
15 Sept 2012
3.35 pm

KUTUKAN SILUMAN


Entah rindu apa menguasai
merejammu dalam kekeliruan
identiti tersembunyi
hilang diri
berani berilusi
tentang kucupan berahi.

Seusia remaja
merindui belaian
cinta hanyut
di mimpi maya
terkasima
pada realiti kehidupan.

Hancur lebur
luluh dalam keasyikan
dinodai khayal
selingkuh debar
lelaki tua
pengalaman mengajar segala.
rengkuh dalam nafsu
rindu belai cumbu.

Bila azan berkumandang
terfana engkau digegar gersang
terbata-bata
kutukan siluman maya
engkau entah di mana
tersedar dari bujukan noda
dosamu terungkai
insafmu membelai.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
15 Sept 2012
11.46 pm

1 MALAYSIA DI PUNCAK JAYA


Kita mengharap
kibaran gemilang berulang
I MALAYSIA
di puncak jaya.

Semangat bersatu
daya gerak maju meluncur
inspirasi nyata
minda berbeza
tiada keluh
resah merusuh.

Kita sama
1 MALAYSIA
tegak berdiri
memerlihara pertiwi
gah di mata dunia
bersatu rakyat
bak tebing dan aur
maju tanpa undur
berkait rapat
mesra memikat
Malaysia mengikat daulat.

Kita maju
berdaya tuju
punya inspirasi
menegak jenerasi
punya visi
berani
gergasi
tersendiri.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
15 Sept 2012
6.26 pm.

Wednesday 12 September 2012

LEDAK JIWA

.Entah pilu apa yang merjahmu kini , Abang
kalau yang kutahu
engkau lelaki paling tabah
hati budimu amat lembut berhemah
walau diterjang badai perasaan
sentiasa tenang dan petah melayan.

Tapi hari ini engkau yang lain
sudah hilang yakin
tidak peduli lagi menahan emosi
tidak keliru lagi menahan hati
ledak jiwa dan hempas rasa
bagaikan gelora memukul dada.
memecah benteng keraguan.

Andai ukhuwah itu bagaikan pijar
menjerang hatimu memerah fajar
luka nan parah
menanah berdarah
leraikanlah abang
jangan dibiar kemelut rasa menjiwa
biar dirimu kesepian
dari riuh ramai menyakitkan.

Aku tahu hatimu, Abang
engkau paling tenang
engkau paling sabar
namun jika sesuatu mencabar
suatu saat pastikan gegar
tenanglah abang
jadilah dirimu yang dulu
yang tidak pernah menyimpan dendam
biar gelora hebat menerjang.

Che Fauziah Idris.
Kuala kurau.
Perak
11 Sept 2012
12.38 pm...

SESEKALI


Sesekali engkau berhak
menjadi kurang ajar
untuk membentuk keyakinan diri
tidak membuta tuli
diinjak- injak ketakutan
membungkam hasrat
pada belenggu perintah
dan turutan kata .

Sesekali engkau harus belajar
menghormati diri
bila sesuatu itu
menyimpang dari kebenaran
menegakkan hak
beranilah memberontak
bukan kerana kekurangan adab
biarpun engkau perlu biadab
demi menyata harap.

Sesekali engkau
perlu cemburu
bergegas dengan waktu
mencapai keyakinan
menentukan pedoman
tidak perlu merintih
dalam luka yang pedih
tabah merantai
gigih merangkai
dalam angan dan ketelusan
lalu menjadi diri sendiri.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
7 Sept 2012

DEMI MASA



  DEMI MASA    

Jika semalam engkau terlupa
melontarkan masa di dinding usia
kelmarin telah lenyaplah harimu
tanpa meraih
permata terpilih.

Jika hari ini
engkau masih bertatih-tatih
bermalas-malas
tertawa mengusung hari
kelak engkau akan menangis
kekurangan masa
bila intan ingin digapai
telah lama jatuh bersepai

Jika besuk engkau termanggu
kehilangan waktu
sesal tidak memberi guna
bergelumang rindu
bila telah kehilangan sesuatu
merangkaklah engkau penuh hampa
tanpa ada yang menyapa.


SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
7 Sept 2012

KHIANAT


Saat matamu melirik
bening menikam sukmaku
kasihku lantas tertumpah
getar menusuk ke jantung maha dalam
membelai jiwa raga
bergelung dengan rasa
meresap ke dalam sukma
menatapmu dengan rindu.

Aku jatuh cinta
bila engkau warak
mentaati Tuhanmu
mengabui mata
menerbit pesona
tapi kenapa jiwamu lemah
merelakan diri dijamah
godaan yang sering mendatang
tidak dapat engkau tentang
luluh di kaki lelaki jalang
rebah di pelukan kemungkaran.
bersimpang siur
antara ketaatan dan kemunafikan
entah apa yang engkau cari
bila nilai diri yang engkau khianati.

Aku jadi termangu
pedih mencengkam
luka jiwa menikam
tidak lagi percaya diri
bila setiaku telah diuji
antara kita bukan lagi sesiapa
bila engkau dengan rela
mengkhianati segala cinta.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
6 Sept 2012
9.00 pm

BENIH CINTA


Untuk hidup di alam permai
biarkah cinta sama disemai
benih kasih bercambak damai
bagaikan hidup dalam mahligai.

Anak anak bumiputera semua
jagalah negeri pelihara negara
semarak merdeka sama di rasa
kukuh kesetiaan sepanjang masa.

Jadilah anak berbudi luhur
taat setia berhati jujur
ingatlah asal susur dan galur
rajin berkerja tidak kebulur.

Sopan santun budi pekerti
semaikan sifat di dalam diri
sayangi negara ibu pertiwi
menjulang teguh hingga ke mati.

Jauhkan dari berpura-pura
pada sesama berhuru hara
apa yag dapat hanya sengketa
ibunda kita tidak terjaga.

Wahai anak-anakku sekelian
jadikan sempurna sebagai pilihan
tiap yang datang itu ujian
kepada ibunda sedia berkorban.

Jasa pemimpin elok dikenang
tiap jasanya memberi senang
aman damai membawa tenang
tidaklah kita simpang perinang.

Sayangi Malaysia negara tercinta
jauhi perpecahan kata dan nesta
salah laku membibit sengketa
sama bersatu menjaga harta.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
5 Sept 2012

Saturday 1 September 2012

RINDU APA


Rindu apa
kalau harapan seakan mati
teriakan bergema tak bersuara
sunyi senyap
debur jantung membeku
ruang cinta terkatup.

Sepi sendiri
bila itu lebih baik
mencari diri sendiri
berbaur dengan rasa
mencari sejuta makna
sajak pun berlagu tanpa nada.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
1 Sept 2012
4.32 pm



MENYIMPAN RINDU

Sejak dulu
pernah aku menyimpan rindu
sekecil apapun
mengenggam tinta sebagai pencinta
mencurahkan segenap rasa
melihat dunia di dalam mata
berbisik-bisik
mereka-reka.

Aku tetap ingin
meski berkarya sekecil apa pun
mengarapnya di dinding puisi
untuk kubaca sendiri
biar tak ada yang tahu
lalu tertawa pada sebuah dongeng harap
bila sesekali sendu ku meratap.

Namun aku tetap melerai rindu
tanpa peduli lagi
melarik-larik pena menari
mengetik-ngetik jari jemari
hanyut dalam halusinasi
berkhayal mencari makna
menjejak dunia nyata
mencari yang tiada.

Aku tetap ingin
selamanya mengecap nikmat
berkeringat di pena
entah sampai bila
walau tanpa nama.



SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
1 Sept 2012
3.58 pm

HARI ULANG TAHUN KEMERDEKAAN 55

HUT. KEMERDEKAAN KE 55

Bila syair kemerdekaan didendang
penuh semangat seru berkumandang
indah sungguh suasana di pandang
berbagai persembahan acara padang.

Hari merdeka 31 ogos
datang beramai sesak bergugus
biar berpanas dibakar hangus
namun semangat sentiasa telus.

Kasih sayang pada pertiwi
tidaklah ingin kita khianati
sentiasa setia tersemat di hati
negara tersohor di persada kini.

Allah memberi segala nikmat
hidup sempurna sepenuh rahmat
jagalah negara biar selamat
awasi musuh pembawa khianat.

Setialah rakyat amat diharap
jangan Melayu jatuh tertiarap
janganlah jadi pagar diharap
akhirnya padi habis dilahap.

Negara kita sedang diuji
buruk dan baik mesti dikaji
jangan asyik termakan puji
merdeka kita biar ke mati.

Hidup di dunia hanya sementara
jadilah kita sebaik warga
sentiasa mengasihi pada negara
negara berdaulat aman sejahtera.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
1 Sept 2012
11.26 am.

TERASING


Siapalah kita
di gubuk yang sama
melatari kanvas hidup
berbicara tentang alam
setiap hari
namun tetap terasing.

Kita besatu
di kamar peraduan
berbantalkan mimpi
melakari igauan
membina harapan.

Aku tak pernah tahu
isi lubuk jiwamu
terpanggang gersang
kering kontang.
walaupun setiap hari
ketawamu berisi.

Engkau tak pernah mengerti
kalau aku sentiasa berharap
ada sinar menerangi jalan
tentang puisi.
agar engkau dapat peduli.

Pun kita
tanpa sedar
menjadi duri
menusuk pedih peri.
entah sampai bila
sendiri –sendiri
menganyam derita.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak
1 Sept 2012