Friday 31 August 2012

GEMA MERDEKA


GEMA MERDEKA

Sesak
terpaku menunggu
lautan manusia
senyap sunyi
kepala tendonggak
cemas dan harap
berdenting detik 12
semarak laungan bergema

Merdeka
Merdeka
Merdeka

Percikan api kecil
bagai melakari kelam langit
bak kejora mengerdip

Indah
Berwadah
Menadah

Harapan kemuncak gunung
anak bangsa pantang bermenung
kenangi masa murung
kala kemelut digenggam penjajah
hati pejuang sentiasa gundah
pertiwi di panggang api
rakus di naung hasad dan dengki
korban jiwa raga
demi martabat bangsa

Kukuhkan semangat
dalam hangatnya keringat
ini negara kita
merdekanya biar setia
merdekakan jiwa.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
3I Ogos 2012
12.00 am

Thursday 30 August 2012

SEMARAK KEMERDEKAAN 55 ( 3 )


Rahsia dulang di tindik lubang
dulang gangsa berisi kekwa
Malaysia cemerlang cantik gemilang
menjulang bangsa merdeka jiwa.

Dulang gangsa berisi kekwa
pelengat bersepuh di Kampung Gajah
menjulang bangsa merdeka jiwa
semangat teguh menentang penjajah.

Pelengat bersepuh di Kampung Gajah
cempera lalat di hujung laman
semangat teguh menentang penjajah
raja berdaulat hidup pun aman

Cempera lalat di hujung laman
bekas lusuh berisi bara
raja berdaulat hidup pun aman
bebas dari musuh negara.

Bekas lusuh berisi bara
tekat berbenang merampai selendang
bebas dari musuh negara
semangat juang mencapai menang.

Tekat berbenang merampai selendang
corak direka bunga dahlia
semangat juang mencapai menang
semarak merdeka hidup bahagia.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
29 Ogos 2012

SEMARAK KEMERDEKAAN ( 4 )



Barangan lama menjadi warisan
batu bersurat di dalam dewan
laungan bergema dalam barisan
itu semangat setia pahlawan.

Batu bersurat di dalam dewan
keramat disebut hanyalah rekaan
itu semangat setia pahlawan
selamat menyambut hari kemerdekaan.

Keramat disebut hanyalah rekaan
asparagus dan kari sebagai hidangan
selamat menyambut hari kemrerdekaan
31 ogos hari kemenangan.

Asparagus dan kari sebagai hidangan
delima dan bihun terletak searah
31 Ogos hari kemenangan
55 tahun mencipta sejarah.

Delima dan bihun terletak searah
kurma Mekah segarkan tekak
55 tahun mencipta sejarah
gema merdeka bergegar serentak.

Kurma Mekah segarkan tekak
makan sapi terasa hangit
gema merdeka bergegar serentak
percikan api membunga langit.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
30 Ogos 2012
4.04 pm

NYAMAN


Memandang kelabu segalanya
mendung adalah harapan yang mati
terkaku pada rentetan waktu
langkah terhenti
pasrah pada pekatnya hujan.

Namun hikmahnya berbisik
telah hilanglah dahaga
mekar kembali kuntum yang layu
begitu lama mengering
terpana pada teriknya waktu
kemarau jiwa membasah
nyaman dingin meresapi
ada cinta yang menguji
menyemai kasih Illahi
bila pintu rindu mula diketuk.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
29 Ogos 2012
5.18 pm.

Wednesday 29 August 2012

SEMARAK KEMERDEKAAN 55 (2)

Kala terleka ayat mentera
lada di lekap seiring bau
negara merdeka rakyat sejahtara
tanda muafakat berganding bahu.

Lada di lekap seiring bau
tulang gelama di sambar helang
tanda muafakat berganding bahu
menjulang nama negara terbilang.

Tulang gelama di sambar helang
angkat batu di Langkasuka
menjulang nama negara terbilang
rakyat bersatu Malaysia merdeka.

Angkat batu di Langkasuka
ikat di tangan kemilau gangsa
rakyat bersatu Malaysia merdeka
berkat perjuangan warga bangsa.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
28 Ogos 2012

HILANG

Alunkan sendumu
biar resap sayat pada sukmaku
kupasang telinga jiwa
titiskan airmata
biar laramu terungkai
bila esok mentari bersinar
senyummu yang ingin kutatap
tdak lagi rintih meratap
kerna telah kering telaga rawan
manis senyummu biar tertawan.

Takdir merubah segala
petah yang terdiam
patah lidah tak berkalam
terhenti di alun sunyi
luka hati terfana
hilang entah ke mana.

Bicaralah dengan jemari
titipkan rentak hati
corakkan sejuta kisah
bila itu lebih indah
sepimu tak membawa gundah.

Bangunlah sayang
biarku temanimu
dalam perjalanan yang sunyi
kita bertatih dan menari.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
28 Ogos 2012
21.20 pm

Monday 27 August 2012

NANAR


Rengkuh dalam debar
nanar terpesong harap
tak ada lagi benteng
lesu terbata-bata
impian patah terkulai
dalam dakap dan belai
mimpi pun jadi retak.

Besuk malam
kelabukah langitmu
menanti dia di hujung jalan
lesap meresap
perut di usap
air mata bukan penawar
sekali kau tersasar
Maghribmu melewati Asar

Che Fauzuah Idris
Kuala KuraU
Perak
27 Ogos 2012

SAMA


Kita melihat
antara dua mata
langit nan satu
hari ini awanmu menutupi kepalaku
dan besuk langitku mengitarimu.

kita menghirup udara yang sama
bernaung dalam nafas dunia
dalam redup kasih Ilahi
segalanya sentiasa menguji.

Che Fauziah Idris
Kuala kurau
Perak.
27 Ogos 2012

SEMARAK KEMERDEKAAN 55 (1)

PANTUN BERKAIT : SEMARAK KEMERDEKAAN 55 (1)
Isnin - 27.08.2012 - 6.30 pagi.

SEMARAK KEMERDEKAAN 55 (1)


Punah terompah di pesta ria
batu kawi di tepi telaga
tanah tumpah darah satria
menjaga pertiwi segenap raga.

Batu kawi di tepi telaga
guna air basuh kereta
menjaga pertiwi segenap raga
tanahair ibunda tercinta.

Guna air basuh kereta
dekat lumpur jumpa lantera
tanah air ibunda tercinta
rakyat makmur hidup sejahtera.

Dekat lumpur jumpa lantera
pingat ditangan darilah gangsa
rakyat makmur hidup sejahtera
berkat perjuangan anak bangsa.

Pingat di tangan darilah gangsa
sepatu datang dari Indonesia
berkat perjuangan anak bangsa
bersatu padu menjulang Malaysia.


Sepatu datang dari Indonesia
corak rekaan sampin berjenama
bersatu padu menjulang Malaysia
semarak kemerdekaan dipimpin bersama.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
27 Ogos 2012
7.12 pm

JIKA ITU

Pejamkan matamu
lihatlah di dalam relung binaunya
intai apa yang melintas minda
sapalah senyum yang melirik jiwa
jika itu membuat engkau bahagia
tenggelamlah dalam igauan masa.

Bukalah kembali matamu
carilah apa yang sedang kau renung
jika khayalmu terhenti sudah
dan kecintaan membuat kau gundah
lupakanlah dia
tak perlu kau menderita
buangkan igauan ngeri
mimpi tetap selamanya mimpi
carilah nilai diri yang hakiki.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
27 Ogos 2012
4.45pm


SEHARUM MIMPI


Seraut wajah yang bertandang
kala lenaku mencipta bayang
menghulur sejambak bunga
semerbak wangi kenanga
harumnya dapat kucium .

Siapa gerangan si dia
andai kau hadir mengelus rasa
menyemarakkan kalbu
mengucup segala rindu
aku tak perlu curiga
menatapi wajah cinta
andai setiap kali beradu
senyummu bermain di mataku
melirik mimpi syahdu
dan kitapun berpadu janji
biar hanya sebatas mimpi
malam pun tak lagi sepi.

ROZELINE VITALIS
Keningau
SABAH
23 Ogos 2012

Sunday 26 August 2012

BUNGA CINTA

Kuntum-kuntum kasih
mekar mewangi
menghiasi kamar hati
kini dua jiwa menyatu
menjadi pegabdian
pada sebuah cinta.

Di kamar peraduan
bersaksi mimpi indah
kita jelang hari mendatang
berpadu dua jiwa
menuju dunia cinta.
bunga hati mekar di taman syurga

Rozeline VItalis
Keningau
Sabah
25 Ogos 2012

TERMETERAI JANJI

Khusus buat Abang Usulludin Jamil bersama rakan fb kanda Rohani Ani.sempena hari penikahan mereka yang selamat berlangsung pagi tadi..

TERMETERAI JANJI

Siapa pernah menduga
usik mengusik bawa bahagia
gurau senda ,senyum tawa
sedih pilu, pedih lara
antara sahabat di alam maya
kiranya suratan menentukan
jodoh termeterai dijanji Tuhan
kala duka menyentap jiwa
ada hikmah sedang melata
dan persahabatan membuah kasih
sejernih embun menitis
tak ada pedih peri
bening sesuci hati.

Kini tak lagi sepi
bersama melerai mimpi
bertekad untuk setia
dalam lafaz dan kata
24 Ogos 2012 menjadi saksi
ijab dan kabul berpadu
antara sendu dan detak kalbu
cinta pun bermula
dalam izin dan do’a
restu sahabat dan keluarga tercinta
mengharapkan yang terbaik
dalam kudrat dan iradat
cinta bersemi sepanjang hayat.

SRI MAWAR
Kuala Kurau
Perak.
24 Ogos 2012

HATIMU

Putera
rentang hatimu dapat kubaca
ada duka menatap
rindu yang membara
bila hasrat tak sampai
cintamu patah terkulai.

Engkau tidak bersalah
dan aku juga tidak keliru
bila sentiasa tahu
hatimu putih bersih
takdir Tuhan tak dapat engkau sisih
bila cinta terpancar di sanubari
engkau tak dapat lari.

Rindu terpaksa kau kubur
kerana aku tidak ingin cintamu bertabur
simpanlah segala kenangan
lenyapkan segala keinginan
bila sesuatu itu adalah mustahiL
aku pun tak menjadi jahil.

CFI
Kuala .Kurau
Perak
21Ogos 2012


YOUR HEART

Prince
range can I read your heart
no sorrow stare
longing is burning
when the intention is not reached
broken love for dangling.

You are not guilty
and I did not confused
when ever know
white hearts
you are God can not deviate
when love enters the heart
you can not run away.

Prince
You had longed grave
because I do not want your love for distributed
keep it all memories
take away all desire
when something is impossible
I even do not be ignorant.

SRIMAWAR
Kuala. Kurau
Perak
21Ogos 2012

SEBERKAS SINAR


Keras langkah berlari
kerikil tajam menikam
telapak kaki telanjang
luka melebar
darah berjejeran
hanyir pekat hitam.

Pandangan kelam
hilang diri
tertutup mata hati
kelabu menyelubungi
rawan hiba
membutakan segala.

Nun jauh
seberkas sinar menyelinapi
antara ranjau dan gigil resah
lalu membuka pintu takdir
harapan pun memanggil.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
26 Ogos 2012
5.50 pm.

REBAH


Gapailah tanganku
biarku berpaut harap
tarik aku ke tebing
telah lama aku hanyut
selimuti aku
mendingin.ke tulang hitam.

Kala hujan rahmat menimpa
biarku tadah menghilangkan dahaga
peritnya tekak
pahit melonjak
lesu berpinar
saat mata hampir terpejam
hatiku tak dapat diam.

Kekasih
dakaplah aku dengan rahmat
hela nafas terakhir
rebahku
biar setelah aku kembali..

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
26 Ogos 2012
4.09 pm.

GETAR


Aku ingin bicara
sepertimu
dalam firasat
meneguk rasa
dalam resah gundah
mencari sejuta makna
tentang pahitnya hidup.

Aku ini memandang
seperti bola matamu
meneliti dengan hati
menatapi sekelumit mimpi
memaknai setiap getar jiwa
lalu segalanya terpancar sinar
ada cerita dalam rahsia.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
24 Ogos 2012
10 .12 pm..

JALUR GEMILANG.


Kelopak di kuntum terlihat lebar
kembang di hutan bunga reflisia
mengepak kagum bendera berkibar
lambang kemerdekaan negara Malaysia.

Kembang di hutan bunga reflisia
banyak tumbuh di Pulau Kurudu
lambang kemerdekaan negara Malaysia
rakyat majmuk bersatu padu.

Banyak tumbuh di Pulau Kurudu
ramai pemburu mencari jejak
rakyat majmuk bersatu padu
damai bersatu demokrasi bijak

Ramai pemburu mencari jejak
jumpa di Rompin pohon pulasan
damai bersatu demokrasi bijak
tanda pemimpin penuh wawasan.

Jumpa di Rompin pohon pulasan
alur lenang jernih di muara
tanda pemimpin penuh wawasan
jalur gemilang kemegahan negara.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
26 Ogos 2012
10.21 am.

AIRMATA


Dalam hidup semuanya sementara
dibelit duka lara dan nestapa
ada cinta , tawa dan bahagia
merangkai dalam putaran waktu
kita pun menjadi sebu dalam resah rindu
mengamit nostalgia lama
mendakap nikmat waktu bersama.

Kadangkala gerimis merembas di mata
tetesnya mengungkap rahsia
airmata bukan penentu
dalam rawan kering juga telaga hiba
tika gembira leleh juga tangis gembira
rahsia perasaan mengelus
getarnya melantun pantai hati.

Che Fauziah Idris.
Kuala Kurau
Perak
25 Ogos 2012
9.46 am

HAJAT TERGAPAI


Bila penantian sudah di titik penamat
syahdu terasa teramat sangat
andai pautan terjuntai harap
keyakinan padu makin terserap.

Bermulalah episod baru
segala kekalutan tak mengharu biru
menjadi suntikan semangat
sukma mekar molek amat
pada Illahi do'a terampai
murninya hajat biar tergapai.

Tagihlah janji bahagia
ihsan Tuhan membawa mulia
hidup makin bererti
tenanglah jiwa sebelum mati
andai izin berbunga mesra
tidaklah lagi hati melara.

Che Fauziah Idris
Kuala kurau.
Perak
20 Ogos 2012
8.25 pm.

HARIRAYA AIDILFITRI (4)


Riuh gamat si anak kera|
sabut di paya timbul tenggelam
seluruh umat riang bergembira
sambut raya bersembah salam.

Sabut di paya timbul tenggelam
lada dikerat ditumbuk lumat
sambut raya bersembah salam
tanda muafakat antara umat.

Lada dikerat ditumbuk lumat
di pinggir sawah tertanam selasih
tanda muafakat antara umat
indahnya ukhuwah jalinan kasih.

Di pinggir sawah tertanam selasih
ikan selangat sukar dimamah
indahnya ukhuwah jalinan kasih
semarakkan semangat perpaduan ummah.

Ikan selangat sukar dimamah
selami segara lautan dalam
semarakkan semangat perpaduan ummah
harmoni negara kekuatan Islam.

Selami segara lautan dalam
unggas hinggap di pohon sena
harmoni negara kekuatan Islam
Aidil Fitri memberi seribu makna.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
24 Ogos 2012
4.02 pm.

HARIRAYA AIDILFITRI (3)



Dasar laut dapat di selam
mutiara indah Allah kurnia
amat cantik pegangan Islam
kunci kekuatan hidup di dunia.

Mutiara indah Allah kurnia
tersalut kukuh ikatan suasa
kunci kekuatan hidup di dunia
amalan murni menghindar dosa

Tersalut kukuh ikatan suasa
cincin permata empat karat
amalan murni menghindar dosa
bahagia di dunia juga akhirat .

Cincin permata empat karat
sulaman baju kerawang bertekat
bahagia di dunia juga akhirat
sempurna hidup membawa berkat.

Sulaman baju kerawang bertekat
hadiah puteri indah busana
sempurna hidup membawa berkat
Aidil Fitri memberi makna.

Hadiah puteri indah busana
rapi di kotak tidak dikira
Aidil Fitri memberi makna
bersama saudara ceria bergembira.

Rapi di kotak tidak dikira
bawa berjual di Pekan Selasa
bersama saudara ceria bergembira
menjadi ingatan sepanjang masa.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
23 Ogos 2012

HARIRAYA AIDILFITRI (2)


Rosak kelapa bila terendam
tinggi pohonnya nampak berbalam
kasih bapa sering terpendam
namun cintanya tetap mendalam..

tinggi pohonnya nampak berbalam
air melimpah sebak di perigi
namun cintanya tetap mendalam
kasih tertumpah tidak terbahagi.

Air melimpah sebak di perigi
kail gelama dimakan belanak
kasih sayangnya tidak terbahagi
adil saksama antara anak.

Kail gelama dimakan belanak
nelayan memukat dihujung tanjung
adil saksama antara anak
melayan keluarga yang datang kunjung.

Nelayan memukat di hujung tanjung
pohon rambutan di tepi paya
kaum keluarga sama dikunjung
mesranya ikatan di hari raya.

Pohon rambutan di tepi paya
mengail keli di tepi titi
mesranya ikatan di hari raya
Aidil Fitri memberi erti.

Mengail keli di tepi titi
bawa bekalan belimbing segi
Aidil Fitri memberi erti
di tahun hadapan berjumpa lagi.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
22 Ogos 2012
8 .18 am

HARIRAYA AIDILFITRI (1)


Helang merayau pagut di paya
serudu beralun mengikut gelora
pulanglah perantau di hari raya
rindu setahun mendakap mesra

Serudu beralun mengikut gelora
selam cenderawasih menangkap berudu
rindu setahun mendakap mesra
dendam kasih mengharu ibu.

Selam cenderawasih menangkap berudu
kukuh batu menimbun di tambak
dendam kasih mengharu ibu
di mata ayah bergenang sebak.

Kukuh batu menimbun di tambak
tempat singgah burung beradu
di mata ayah bergenang sebak
pulangnya anak melepas rindu.

Tempat singgah burung beradu
puyuh di sawah makan bertiga
pulangnya anak melepas rindu
mengukuh ukhuwah ikatan keluarga.

Puyuh di sawah makan bertiga
batang selasih semut melata
mengukuh ukhuwah ikatan keluarga
kasih sayang terserah nyata.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
21 Ogos 2012
11.39 am

PULANG KE KAMPUNG( 1 )


Gelang emas cincin suasa
batu geliga merah bertampung
lengang kota meriah di desa
bila warga pulang ke kampung.

Batu geliga merah bertampung
selut di paya banjir merubah
bila warga pulang ke kampung
menyambut raya penuh muhibbah.

Selut di paya banjir merubah
air melimpah penuh di anjung
menyambut raya penuh muhibbah
sanak saudara wajib dikunjung.

Air melimpah penuh di anjung.
ikat kera di pohon kepayang
sanak saudara wajib dikunjung
mengikat mesra berkasih sayang.

Ikat kera di pohon kepayang
cambah dahlia tepi telaga
engikat mesra berkasih sayang
menambah bahagia ikatan keluarga.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
16 Ogos 2012

LAMBAIAN TAKBIR


Kelak jelang hari kemenangan Aidil Fitri
tersenyum bahagia insan yang sentiasa mentaati
kecundanglah segala gejolak nafsu
terhembur segenap resah sendu
terpisah dari terawih dan tadarus yang menghibur
alpa pada keasyikan dunia yang mengabur
berenang dalam lautan cinta rahmat-Nya
mengamitlah rindu Ramadhan yang mula menyisih
berganti bulan dari pengabdian Kekasih .

Akan bertemu lagikah kita untuk sekian kali
bila terpisah di gema takbir Aidil Fitri
andai selepas ini aku tiada lagi
jasadku lebur dimamah bumi
saat hancur luluh segala indera
kuharap rahmat-Mu menghapus dosa
Engkau limpahkan lautan ampun –Mu
bila tiada daya lagi meraih semua
matiku biarlah dalam pelukan Khusnul Khotimah
biar bercucuran segala rahmat dan hikmah
tidaklah sia-sia aku memegang nyawa
menjadi khalifah di pelusuk dunia.

Ya Rabbi
hanya engkau yang maha tahu
bila aku sentiasa lemas dalam pesona dunia
Ramadhan ni biarlah menjadi penghapus dosa.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
15 Ogos 2012
10.32 pm

Tuesday 14 August 2012

DETIK BERULANG


Tak terasa saat denting jam makin menghambat
tak sedetik minit dapat ditarik undur
masih terasa telapak kaki pedih menyilu
kala berlari keanak-anakan memijak rekah bumi di musim kemarau
dan masih terngiang-ngiang cerita bahagia ibu ayah
tentang kelahiran yang membuka seribu hajat
saat sebesar dua jari aku menerjah laluan hayat
dan teriakan pertama memecah hening alam 6 OGOS
segala-galanya teratur dalam rencana dan berkah Ilahi.

Merangkak , melangkah bertatih , merintih
merajuk , meraung berteriak dan menangis
begitulah lumrah hidup sebelum dewasaku menginjak
remajaku meniti dalam bentuk insani yang sentiasa mengerti
menghargai hati budi ayah membanting kudrat yang berat
memenuhi cita harap ibu tiap kali jelang do’anya yang sarat
aku tidak lalai dalam kasihsayang dan cinta
memenuhi ruang dunia dengan hati waja dan iman di dada
merangkai kebahagiaan berkeluarga tanpa noda dan dosa
harapan ibu ayah kubawa ke puncak jaya
dakap cintakasih anak isteri membawa ke syurga

Bahagialah aku di saat ini
sekali lagi hambatan masa lalu berulang
saat 63 usiaku kembali merintis kenangan
pada ulang tahun kelahiran
dan aku pun tidak pernah merasa terbeban
bila anak-anak memiliki masa depan yang gemilang
aku pun menghela nafas dengan dada yang lapang
selama ini tidaklah aku mensia-siakan hidup
andai kelak pejam mataku beradu di kubur
tidaklah aku pernah lupa mengucap syukur.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
6 Ogos 2012

DIA YANG TERISTIMEWA


Aku insaf diri
kemelut meniti
pasrah pada ketentuan Ilahi
segala trajedi
membungkam hati
namun tahu diri
segalanya salah sendiri.

Maaf kupinta
pengakuan diterima
syukur apa adanya
di terima dengan hati terbuka
dan bicara setia bermula
tanpa terselit dosa
duka tak lagi membawa derita.

Andai dia yang teristimewa
punya peribadi mulia
tak terbetik benci dan hina
tak terlerai gundah gulana
telah lali dalam pesona
genta rasanya tak membadai gelora
namun jauh di sudut hati
siapa tahu sengsara jiwanya.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
5 Ogos 2012
9.15 pm

MALAYSIA , TANAHAIRKU

Malaysia, tanahairku
namamu mekar di mercu jaya
menjadi kebanggaan warga bangsa
harum dan kagum
bangga diri tak terbendung
menjadi warga Malaysia
55 tahun aman merdeka
negara gemilang di persada.

Aku sanjungi tanahairku
kerana di sini darah tertumpah
terlepas dari cengkaman penjajah
bumi merdeka bumi bertuah
tersohor diputar masa
maju ke puncak cita.

Bila jelang saat mengingati kemerdekaanmu
aku pun tak lupa menitip salam
mengharapkan bumi tercinta
kekal merdeka
dalam cinta damai nusa dan bangsa.


ROZELINE VITALIS
KENINGAU
SABAH.
14 OGOS 2012
pengolahan karya ROZELINE atas permintaannya..

DARAH PERKASA

Kita terlalu leka
hingga sentiasa lupa
titis darah dan mandian keringat
pada saat pejuang mencetus semangat
mereka tak pernah lelah
biar tubuh hancur punah
segalanya demi anak bangsa.


Pernahkah kita mengenang
pada kewalangan hati
bila tanah air diinjak pijak
dalam rakus dan hilai gelak
mendidih luapan cemburu
hati dihiris sembilu.

Bangkitlah semangat waja
menyirap darah perkasa
menggenggam kesetiaan hati
berkorban demi pertiwi.

Jika mati relalah sudah
pengorbanan dalam jerih payah
segalanya demi jenerasi kini
perjuangan melakar sejarah
meraih merdeka dari penjajah
kita pun tak lagi berduka
bila ini tanah air kita
wajarlah kita menjadi pencinta.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak.
14 Ogos 2012

MENJANA MINDA QUR'ANI


Beranda berseri di tepi taman
anjung berseni cantik hiasan
minda nurani membentuk iman
Merenung diri dan dinamik insan.

Anjung berseni cantik hiasan
takal terikat tersimpul erat
merenung diri dan dinamik insan
akal yang sehat menjana masyarakat.

Takal terikat tersimpul erat
kendi besi dihias manik
akal yang sehat menjana masyarakat
menjadi jenerasi insan yang unik.

Kendi besi dihias manik
tersimpan indah di depan laman
menjadi jenerasi insan yang unik
takutkan Allah teguhkan iman.

Tersimpan indah di depan laman
guri simpanan tercacak setanggi
takutkan Allah teguhkan iman
diri budiman berakhlak tinggi.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
14 Ogos 2012
Beranda berseri di tepi taman
anjung berseni cantik hiasan
minda nurani membentuk iman
Merenung diri dan dinamik insan.

Anjung berseni cantik hiasan
takal terikat tersimpul erat
merenung diri dan dinamik insan
akal yang sehat menjana masyarakat.

Takal terikat tersimpul erat
kendi besi dihias manik
akal yang sehat menjana masyarakat
menjadi jenerasi insan yang unik.

Kendi besi dihias manik
tersimpan indah di depan laman
menjadi jenerasi insan yang unik
takutkan Allah teguhkan iman.

Tersimpan indah di depan laman
guri simpanan tercacak setanggi
takutkan Allah teguhkan iman
diri budiman berakhlak tinggi.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
14 Ogos 2012

AKU YANG DULU

Aku ingin pulang
kembali kepangkuan masa lalu
menjadi diriku yang dulu
tak perlu lagi menitip angan
biarkan masa menghukum
jerih perih melirik senandung
biarkan saja membeku ditelan masa.

Aku ingin kembali
menyedari diri sendiri
melupakan segala impian
bila segala yang ingin kucerna
hanyalah sebuah rasa yang sia-sia
dan tak perlu lagi menitip bicara.

Aku ingin pergi
berkelana melerai mimpi
membunuh segala keegoan
menghindari tagihan ihsan
bila duka laraku
hanyalah sekadar mainan bagimu
dan aku pun tak lagi keliru
menjadi diriku yang dulu
tak perlu ada cerita
dan tak perlu ke puncak cita
bila segala rasa -rasaku
hanyalah sebuah igauan akal yang dungu.

Che Fauziah Idris
Kuala kurau
Perak
11 Ogos 2012
7.50 pm.

SUNGGUH RINDU

Masih ternyiang usik tawamu yang basah menyiram kalbu
waktu itu kita masih bermesra dalam gurau senda , sedih sendu
mesra merayap menyentuh ukhuwah yang tersemai indah
kita pun berlari , menari dalam gelak , jengkil dan sakit hati
tak pernah ada sekelumit dendam dan sentap jiwa
bila kita saling mengerti tentang hidup
persaudaraan kitapun menjadi pohonan yang membawa redup.

Tapi kini segalanya menjadi sepi
rimbunan kasih hilang dalam jasad yang terbuang
tiupan angin yang mesra berhembus membawa luka
lalu menyingkirkan aku tersungkur di sapa hakikat benci
tidak selamanya kasih melimpah
tidak perlu mengharap rindu yang tertumpah
ulitlah segala kenangan waktu bersama
hidupkan semangat dalam bayangnya yang menerbit lara.

Sungguh rindu
aku tak puas hidup dalam menanti tegur sapamu
walau di hati terasa amat dekat
namun kita semakin jauh di pisah hasrat
meski setiap saat kulihat engkau berbicara
namun tak tersapa pada selembut nada
menghujam aku pada sudut kegelisahan
tertanyalah hati
sebesar mana dosaku yang tertancap di benak rasamu
hingga aku pun menghitung tiap saat pada duri luka yang tertancap
menghiris sembilu pada detik kau menghunus ucap
aku pun jadi tahu diri
bahawa dalam hidup ini dan mungkin buat selamanya
engkau sebenarnya telah tiada lagi.

Che Fauziah Idris
Kuala,Kurau
Perak
11 Ogos 2012
9.08 am

RISAU


Jika aku yakini dapat menghemburkan duka lara
yang tertancap di segenap di relung hati
menyingkirkan kabus risau yang menyelubungi sedapat mungkin
aku pun tak ragu lagi untuk merindui mimpi bahagia
meraih keinginan yang menerawang jiwa
dan duka pun sirna dari buruan ngeri masa lalu
maka tenanglah aku memesrai ruang kalbu .

Risau apa yang menyelubungi hati
kala aku sendiri tak pasti
mencari kembali diriku yang hilang
mengapai keikhlasan memaknai hidup
lalu kuhumban jauh-jauh kemelut lara
bila rawan hiba memusnahkan jiwa raga
aku pun tidak ingin lagi berpaling harap
andai Allah redha dapat kudakap
selamanya maksud hati bisa terjawab.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
11 Ogos 2012
1.15 AM

Sunday 12 August 2012

RAMADHAN MEMBUKA PINTUNYA (2)

Dahan ceri menimpa titi
rebah kenari mabuk manisan
Ramadhan memberi sejuta erti
muhasabah diri tawadduk insan.

Rebah kenari mabuk manisan
bangku terikat di pohon nangka
muhasabah diri tawadduk insan
pintu keberkatan sentiasa terbuka.

Bangku terikat di pohon nangka
cermat bersulam si kain kasa
pintu keberkatan sentiasa terbuka
nikmat tenteram kurnia Yang Esa.

Cermat bersulam si kain kasa
seberang titi tertanam kekwa
nikmat tenteram kurnia Yang Esa
tenang hati damainya jiwa.

Seberang titi tertanam kekwa
gajah berlari masuk ke taman
tenang hati tenteram jiwa
wajah berseri tanda beriman.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
10 Ogos 2012

RAMADHAN MEMBUKA PINTUNYA

Pandan tertanam bersama halia
nangka mengkal bercampur lada
Ramadhan bulan penuh mulia
membuka akal mencerna minda.

Nangka mengkal bercampur lada
peti besi dimakan karat
membuka akal mencerna minda
suci hati tegakkan syariat.

Peti besi dimakan karat
serat bemban patah terkulai
mencari kebenaran dalam syariat
fadilat Ramadhan tidak ternilai .

serat bemban patah terkulai
batu penahan elok terlintang
fadilat Ramadhan tidak ternilai
pintu keredhaan luas terbentang..

Batu penahan elok terlintang
tanda perenggan siap tersemat
pintu keredhaan luas terbentang
pahala melimpah mendapat rahmat.

Tanda perenggan siap tersemat
dahlia menyeri di puncak daki
pahala melimpah mendapat rahmat
bahagia sejati itulah hakiki.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
9.Ogos 2012
10.37 pm

KITARAN HIDUP

SELAMAT HARI LAHIR..8 OGOS buat suami nan tercinta..

KITARAN HIDUP

Tak terasa masa berlalu mengitari pawana hidupmu
saat putaran roda melandasi 50 tahun detik berlalu
engkau pun mendewasai alam dengan sejuta rencah hayat
berbaur antara suka-duka ,senyum- tawa dan manis -derita
laluan hidup pun menjadi terbuka dengan seribu janji
dan kau pun menyempurnakan semua harapan yang tertunda
dengan sedaya- upaya dan sepenuh jiwa- raga
dan aku sebagai seorang isteri
sentiasa akan menemanimu.

Kita layari lautan bahagia penuh harap
biarpun resah duka dan perit luka mengigit upaya
namun hati kita sentiasa bercahaya dengan nyalaan api cinta
kita pun berenang di lautan madu yang menggamit rindu
anak-anak menjadi obor jiwa
dan kita pun menerima hidup ini seadanya.

Tidaklah kau mengharapkan apa-apa lagi
melainkan detik yang bakal menghambat
menjadi cetusan bara pembakar semangat
dalam kelangsungan hidup yang getir
kau pun membuka pintu nurani
andai kebahagiaan sebagai insan hakiki dapat engkau temui
cinta kasihmu pun tak berbelah bagi.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
8 Ogos 2012
8.46 am..

Saturday 11 August 2012

MENDIDIK INSAN

Pandan membiak di kerat-kerat
jelatik hinggap di dahan sena
Ramadhan bulan penuh berkat
mendidik insan menjadi sempurna.

Jelatik hinggap di dahan sena
balan di sarang mematuk galak
mendidik insan menjadi sempurna
bulan Ramadhan membentuk akhlak.

Balan bersarang mematuk galak
padi tersedia di dalam talam
bulan Ramadhan membentuk akhlak.
peribadi mulia ajaran Islam.

Padi tersedia di dalam talam
biji selasih di kedai nyonya
peribadi mulia ajaran Islam
Allah kasih sebagai hambaNya.

Biji selasih di kedai nyonya
ulat gonggok berwarna merah
Allah kasih sebagai hambaNya
taat perintah kuat beribadah..

Ulat gonggok berwarna merah
keladi birah di tepi khemah
taat perintah kuat beribadah
menjadi permimpin penuh berhemah.

Keladi birah di tepi khemah
air di kolah melimpah ruah
menjadi pemimpin penuh berhemah
penuh tawadduk hidup bermaruah.

Che Fauziah Idris
Kuala kurau
Perak
8 Ogos 2012
11.26 am

Thursday 9 August 2012

ZAKAT FITRAH (3)


Sikat merah di tempat mandian
di dalam peti ada perhiasan
zakat fitrah sebagai pengabdian
membuka hati serlahkan ihsan

Di dalam peti ada perhiasan
elok terlipat sekeping peta
membuka hati serlahkan ihsan
elakan sifat meminta –minta.

Elok terlipat sekeping peta
merah terserkap kain di telaga
elakkan sifat meminta-minta
maruah dan sikap biar terjaga.

Kain merah terserkap di telaga
palong terikat di bawah kawah
maruah dan sikap biar terjaga
tolong menolong eratkan ukhuwah.

Palong terikat di bawah kawah
kain koyak di pohon mati
tolong menolong eratkan ukhuwah
miskin kaya sama menikmati.

Kain koyak di pohon mati
selasih telayang menimpa ara
miskin kaya sama menikmati
kasih sayang bagai saudara.

Selasih terlayang menimpa ara
julur meranti merentangi kolam
kasih sayang bagai saudara
luhur hati menegakkan Islam.

Julur meranti merentangi kolam
kenanga di kendi di bawa petani
luhur hati menegakkan Islam
mulianya budi jiwa insani.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
6 Ogos 2012

Sunday 5 August 2012

ZAKAT FITRAH (2)

Tekat bunga menghiasi taman 
dara sunti duduk berkelah 
zakat fitrah penyubur iman
segala ibadah diredhai Allah.

Dara sunti duduk berkelah
pelekat bergambar berhias indah
segala ibadah diredhai Allah
berkat sabar dan ikhlas beribadah.

Pelekat bergambar berhias indah
majalah lama berikat benang
berkat sabar dan ikhlas beribadah
Allah kurnia jiwa yang tenang.

Majalah lama berikat benang
madah seloka berbait ayat
Allah kurnia jiwa yang tenang
hidup sempurna sepanjang hayat.

Madah seloka berbait ayat
surat cinta kemas terlipat
hidup sempurna sepanjang hayat
tunaikanlah rukun yang ke empat.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
5 Ogos 2012

TAK PERNAH TERDUGA


Bodohkah aku meraih pada ingatan yang tak dimengerti
alpanya aku pada kesulitan yang datang bertimpa-timpa
pasunglah diri pada keakuan yang membosankan 
bila tiap sesuatu hanya sekadar membibit beban
dan luka hati bagai sembilu menghiris kalbu.

Tak pernah terduga kalau kasih kita akan terlerai
bila sejuta cerita yang terahsia pecah terburai
dalam seribu anggukan tak akan dimungkiri
namun terlerai sudah janji untuk dikhianati.

Dia yang datang mengetuk pintu percaya
aku pun bercerita dengan hati penuh rela
jika sekadar datangnya untuk mencari punca
pada terputusnya ikatan taat setia
tak mungkin terlupakan rentak bicara.

Kau yang tersendiri menghitung sepi
aku yang disingkir dari percaya diri
bila dia dan dia yang hadir penuh rasa kasih yang dimengerti
aku pun tak keliru andai diri tersisih
bila hidup ini serba mungkin
tak ada lagi ukhuwah indah yang terjalin
lalu aku pun pergi dengan hati rela
tanpa banyak bicara dan himpunan dosa-dosa
bila sapaku tak berbalas
maafmu tak mungkin ikhlas.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
4 Ogos 2012
11.40 pm

ZAKAT FITRAH


Mekar bunga berwarna merah
keladi cina di tepi kolam
keluarkanlah zakat dan juga fitrah
menjadi kewajiban umat Islam.

Keladi cina di tepi kolam
bayan terbang di sawah rendah
menjadi kewajipan umat Islam
sebagai lambang ukhuwah yang indah

Bayan terbang di sawah rendah
merbah terbang menangkap gelama
sebagai lambang ukhuwah yang indah
susah senang dinikmati bersama

Merbah terbang menangkap gelama
pohon kepayang di menimpa kenanga
susah senang dinikmati bersama
kasih sayang sentiasa berbunga.

Pohon kepayang menimpa kenanga
buruk akar reput di tanah pamah
kasih sayang sentiasa berbunga
pupuk kesetiaan sebagai ummah.

Buruk akar di tanah pamah
patah ranting dahannya sekah
pupuk kesetiaan sebagai ummah
berbudi mulia banyakkan sedekah.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
4 Ogos 2012

BULAN BERJUANG


Kapal belayar di kemudi juragan
kompas diguna jadi pedoman
hidup di dunia banyak dugaaan
di hempas gelora rosaklah iman.

Kompas diguna jadi pedoman
haluan menuju arah pengkalan
di hempas gelora rosaklah iman
hanya takwa penunjuk jalan.

Haluan menuju arah pengkalan
sarat kapal membawa susu
hanya takwa penunjuk jalan
buat benteng melawan nafsu.

Sarat kapal membawa susu
susu di punggah di Hulu Langat
buat benteng melawan nafsu
di bulan Ramadhan jadikan semangat.

Susu di punggah di Hulu Langat
pulang singgah di pekan Kluang
di bulan Ramadhan jadikan semangat
sebagai lambang bulan berjuang.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
3 Ogos 2012

BULAN PENGAMPUNAN

Ke Tanjung Harapan menangkap ikan
ikan dijala di tengah lautan
segala permintaan Allah tunaikan
setiap amalan menjadi tuntutan.

Ikan dijala di tengah lautan
masuk ke pukat si ular sawa
tiap pahala menjadi tuntutan
bersihkan rohani jernihkan jiwa.

Masuk ke pukat si ular sawa
terjerat tikus di tepi batas
bersihkan rohani jernihkan jiwa
lakukan ibadah sepenuh ikhlas.

Terjerat tikus di tepi batas
umpan di pancing dipagut ikan
lakukan ibadah sepenuh ikhlas
jauhkan diri dari kemunafikan.

Umpan di pancing dipagut ikan
cantik meliuk si ikan kelisa
jauhkan diri dari kemunafikan
ibadah puasa mencuci dosa.

Cantik meliuk si ikan kelisa
balan bersarang dalam rumpunan
ibadah puasa menyuci dosa
di bulan Ramadhan bulan pengampunan.

Balan bersarang dalam rumpunan
rama-rama berkeliaran di celah dahan
di bulan Ramadhan bulan pengampunan
bersama kita mencari keredhaan,

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
2 Ogos 2012

Saturday 4 August 2012

PESONA MUNGKIR



Kau seperti kepulan awan yang memutih
kemilau mentari menyerlahkan anggunmu
sepi di biru langit
berolak dalam tiupan bayu
berarak mengikut haluan menderu.

Namun putihmu tak selamanya kekal
bila angin di barat membawa gumpalan mendung yang sarat
kau juga  turut bersatu menimbang berat
menanti luruh pada manik- manik setia tak terikat
lerailah janji  takdir
antara harap dan pesona mungkir.

Andai dentuman guruh dan halalintar memetir
memusarkan kau pada deru rasa
merubah keteguhan panorama jiwa
kesejatianmu rapuh
rebut taufan menginjak injak
luapan gelora dan badai
bagai menghempas sebuah ukhuwah yang tak sudah.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
4 OGOS 2012

Thursday 2 August 2012

RAMADHAN MEMBENTUK DIRI

RAMADHAN MEMBENTUK DIRI

Undan berterbangan kesana kemari
terkukur berkicau di pinggir kali
ramadhan bulan membentuk diri
takbur dan sombong jangan sekali

Terkukur berkicau di pinggir kali
ular menjalar di bawah sabut
takbur dan sombong jangan sekali
biar berhemah dan berhati lembut.

Ular menjalar di bawah sabut
burung kedidi hinggap di titi
biar berhemah dan berhati lembut
setia berbudi mainan hati.

Burung kedidi hinggap di titi
unggas bersarang di pohon berduri
setia berbudi mainan hati
ikhlas dan amanah amalan diri.

Unggas bersarang di pohon berduri
keladi tumbuh di sawah padi
ikhlas dan amanah amalan diri
menjadi insan mulia peribadi.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
3 Julai 2012
 

Undan berterbangan kesana kemari
terkukur berkicau di pinggir kali
ramadhan bulan membentuk diri
takbur dan sombong jangan sekali

Terkukur berkicau di pinggir kali
ular menjalar di bawah sabut
takbur dan sombong jangan sekali
biar berhemah dan berhati lembut.

Ular menjalar di bawah sabut
burung kedidi hinggap di titi
biar berhemah dan berhati lembut
setia berbudi mainan hati.

Burung kedidi hinggap di titi
unggas bersarang di pohon berduri
setia berbudi mainan hati
ikhlas dan amanah amalan diri.

Unggas bersarang di pohon berduri
keladi tumbuh di sawah padi
ikhlas dan amanah amalan diri
menjadi insan mulia peribadi.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
3 Julai 2012

MUSNAH IMPIAN


BULAN PENGAMPUNAN

Menyerlah di pekan pohonan bunga
rimbun di desa cempaka berduri
Allah tunaikan permohonan hambaNya
mengampunkan dosa pahala diberi.

Rimbun di desa cempaka berduri
keranji dibelah jadikan papan
mengampunkan dosa pahala diberi
janji Allah tetap ditunaikan.

Keranji dibelah jadikan papan
tujuh budoman duduk di tangga
janji Allah tetap ditunaikan
teguh beriman masuk ke syurga.

Tujuh budiman duduk di tangga
mereka utusan pemuda taufek
teguh beriman masuk ke syurga
neraka balasan kepada munafek.

Wednesday 1 August 2012

BULAN BERKASIH SAYANG


Pandan tertanam di ladang halia
rimbun daunnya pohon kepayang
Ramadhan bulan penuh  mulia
bulan penuh kasih dan sayang.

Rimbun daunnya pohon kepayang
dekat kawah kayu penahan
bulan penuh berkasih sayang
pengikat ukhuwah benteng  kemusnahan.

Dekat kawah kayu penahan
teguh berdiri tiang bendera
pengikat ukhuwah benteng kemusnahan
jauhkan sengketa bibitkan mesra.

Teguh berdiri tiang bendera
galah terkerat kepada tiga
jauhkan sengketa bibitkan mesra
binalah keluarga  dalam bahagia

Galah terkerat kepada tiga
elok tersusun di bawah tangga
binalah keluarga dalam bahagia
aman makmur membawa ke syurga.



Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
31 Julai 2012