Tuesday 31 July 2012

KINI TIADA LAGI

KINI TIADA LAGI

 Kita pernah menjadi sepasang kupukupu
yang berkeliaran mengusap kembang
bercerita  tentang harum
menilai aneka  kuntum  
menghisap manisnya madu
dan kita pun belajar bahasa bunga

Namun kini tiada lagi 
kita tidak lagi berterbangan
deria kita memberontak     
bila sentiasa menegakkan hak     
menentukan pilihan        
kita pun tidak lagi mengitari  taman.

Melayahlah aku sendiri
bertebaran mencari jejak
sayapku patah disibak angin waktu  
terpinga-pinga kehilangan indera     .
harum mana lagi hendak ku cium
bila aku sudah hilang teman        
seri kuntum pun menjadi pudar.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
31 Julai 2012



Sunday 29 July 2012

MENGHIAS DENGAN KEIKHLASAN


Kelapa rendah di hujung titi
beras di pinggan dibalas roti
betapa indah budi pekerti
dihias dengan keikhlasan hati

Beras di pinggan dibalas roti
lepat bersama manisan serawa
dihiasi dengan keikhlasan hati
mendapat redha dan ketulusan jiwa.

Lepat bersama manisan serawa
batang cermai di dalam almari
mendapat redha dan ketulusan jiwa
tenang dan damai dalam sanubari.

Batang cermai di dalam almari
benih meranti bekasnya kendi
tenang dan damai dalam rohani
jernih hati ikhlasnya budi.

Benih meranti bekasnya kendi
merak di taman meregas kekwa
jernihkan hati ikhlasnya budi
semarak iman berhias takwa.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
28 Julai 2012
 

RAMADHAN BULAN KEBAJIKAN


Pandan tertanam di sebelah kiri
babun menelan keli di joran
Ramadhan disulam ibadah diri
rukun amalan diberi ganjaran

Babun menelan keli di joran
undan mengeluh kempunan ikan
rukun amalan diberi ganjaran
ramadhan penuh dengan kebajikan

Undan mengeluh kempunan ikan
sepat selamat di bawah tudung
bulan ramadhan penuh kebajikan
mendapat rahmat Allah melindung.

Sepat selamat di bawah tudung
jermal rendah berdahan meranti
mendapat rahmat Allah melindung
amal ibadah Tuhan berkati.

Jermal rendah berdahan meranti
gergaji patah di pohon jati
amal ibadah Tuhan berkati
janji Allah sentiasa merahmati.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
27 Julai 2012
2 .03 pm

PEREMPUAN BERGINCU MERAH

Engkau selancang itu
perempuan muda bergincu merah
semerah itukah matamu
kala menatap wajahku sekilas pandang
atau sengaja meledak dendam
pada kebusukan hati
bila tak mampu melihat kesan
atau menatapi kesejatian insan.

Atau kau ingin aku tersingkir
bila lidahmu berlendir sindir
atau kalbumu bergerutu cemburu
untuk meraih kasih dan rindu
walaupun aku tak pernah terbeban
tak perlu kata pesan.

 Aku tak pernah mungkir
bila sentiasa tahu berfikir
tak kuraih belas simpati
bila aku  juga punya hati
tidak mampu mengusir
jika dia tetamu yang datang
cuma sekadar ingin bertandang
dan sentiasa beranjak pulang.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
29 Julai 2012
12.25 pm.

RIAK DAN BONGKAK


Sepat di lombong hidangan makan
sepiak sireh di rumah kenduri
sifat sombong baik hindarkan
riak dan bongkak memakan diri.

Sepiak sireh di rumah kenduri
pokok geti mati terendam
riak dan bongkak memakan diri
rosak hati menyimpan dendam.

Pokok geti punah terendam
hutan banat di hujung bendang
rosak hati dimusnah dendam
syaitan laknat tersenyum menang.

Hutan banat di hujung bendang
sukat manisan dirumah nyonya

syaitan laknat tersenyum menang
menyakat insan lemah imannya.


Sukat manisan di rumah nyonya
getah terlurut keluarkan susu
menyakat insan lemah imannya
mudah menurut hasutan nafsu.


Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
29 Julai 2012

Thursday 26 July 2012

SEGALANYA MUNGKIN


Saat langit melakar warna
jingga berbalam sepi dan suram
geruh badai menghempas pantai
camar melayah sayapnya patah
mimpinya terkulai di hujung nasib
ada harapan yang belum usai.

Besuk segalanya mungkin
andai malam ini bisa bernadi
lelah jiwa belum berbalas
retak mimpi belum tercantum
kesakitan yang merangsang
berpadu lelah dan gundah.

Setanggi yang harum
kabutnya menerawang
antara sejuta bayang
masa silam yang sirna
andai lusa tiada lagi
segalanya menjadi sepi.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
26 Julai 2012
1.47 pm.

RAHSIA RAMADHAN



Candan hinggap di ranting sekah
jerebu memutih api memamah
Ramadhan bulan penuh berkah
seribu satu rahsia dan hikmah.

Jerebu memutih api memamah
jenuh berlari si itik angsa
seribu satu rahsia dan hikmah
penuh kelebihan di fadilat puasa.

Jenuh berlari si itik angsa
takut di gigit tikus keturi
penuh kelebihan di fadilat puasa
mulut wangi bagai kasturi.

Takut digigit tikus keturi
malam merayap si tikus munduk
mulut wangi bagai kasturi
dalam zikir penuh tawadduk.

Malam merayap si tikus munduk
luka tersiat si burung bayan
dalam zikir penuh tawadduk
terbuka sudah pintu al’ Raiyyan.

Luka tersiat si burung bayan
tumpah darah di tanduk rusa
terbuka sudah pintu al’Raiyyan
limpah kurnia buat yang berpuasa.

Tumpah darah di tanduk rusa
harumlah herba di tangan nyonya
limpah kurnia buat yang berpuasa
minumlah kamu dari telaga-Nya.

Harumlah herba di tangan nyonya
kilang ubat di Kampung Cendana
minumlah kamu dari telaga Nya
menghilang dahaga selama-lamanya.

Kilang ubat di Kampung Cendana
suasa gemerlap cincin pusaka
menghilang dahaga selama-lamanya
puasa menjadi benteng di neraka.

Suasa gemerlap cincin pusaka
kedidi hinggap memagut laksa
puasa menjadi benteng di neraka
menjadi perisai azab dan seksa.

Kedidi hinggap memagut laksa
kala jengking di celah nipah
menjadi perisai azab dan seksa
segala do’a mustajab melimpah.

kala jengking di celah nipah
bermadah kiuk ayam belanda
segala do’a mustajab melimpah
ibadah sempurna dilipat ganda.

Bermadah kiuk ayam belanda
kelapa tumpah di tepi kolah
ibadah sempurna dilipat ganda
betapa besar kasih-Nya Allah.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
26 Julai 2012

Wednesday 25 July 2012

MENGUKUH TAKWA

Bunga Raya menyeri taman

mawar indah dalam jambangan
bertakwa itu mengukuh iman
menjadi kekuatan dalam pegangan

Mawar indah dalam jambangan
Melor terangkai untuk jualan
menjadi kekuatan dalam pegangan
rahmat Allah menuntun jalan.

Melor terangkai untuk jualan
bakul terjalin dari buluh
rahmat Allah menuntun jalan
cahaya iman menjadi penyuluh.

Bakul terjalin dari buluh
buluh ditebang sedari hutan
cahaya iman menjadi penyuluh
taufik dan hidayah menjadi harapan.


Buluh ditebang sedari hutan
tempat berlengkar si ular sawa
taufik dan hidayah menjadi harapan
iman dan takwa menegah jiwa.

Tuesday 24 July 2012

PADAMKAN KEBENCIAN




TERKENANG

Duduk di pondok usang termenung
puput bayu menerjah dari celahan bukit
tatap mata melepasi pandang
langit biru dan putih awan
sejuk damai perasaan
merenung camar dikejauhan 
berterbangan bebas memesrai alam
alangkah indahnya negeriku .

Parit nan berbayang
ikan -ikan berkeliaran
kiambang bertaut
kelopak teratai mekar kembangnya
ingin kubelai tangan tak sampai
merenungmu teratai
ada sendu yang tersingkap
nasibmu entah di mana
sepi berkurun tiada yang peduli
melambai lambai menunggu layu .

Bendang nan mengguning
kenangku pada jasa petani
sesuap nasi yang kutelan
berjejeran peluh setia mengalir
membanting padi di kepuk
kudratnya lelah menghela nafas
dalam cungap dan senyap
ada mimpi yg tercarik
perjuangnya tak lagi menjadi tradisi
dikalahkan kemodenan dan teknologi masa kini
gegar Jentani pun membingitkan

Bila anak muda tidak lagi mengenali wajah sawah
dan meneliti sebutir padi
yang menjadi tulang belakangnya hari ini
segalanya sekadar menyuap
tanpa hati dan perasaan.
segalanya berlalu disapa masa.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
24 Julai 2012

PINTU TAUBAT MASIH TERBUKA



Tinggi menjulang si pohon nangka
cabang ranting berdaun rimbun
pintu taubat masih terbuka 
kasih Allah memberi ampun.

Cabang ranting berdaun rimbun
berjuntai lebat kacang kelisa
kasih Allah memberi ampun
jernihkan jiwa basuhlah dosa.

Berjuntai lebat kacang kelisa
tumbuh berjajar di hujung titi
jernihkan jiwa basuhlah dosa
teguhkan iman bersihkan hati.

Tumbuh berjajar di hujung titi
tegak merendang pohon meranti
teguhkan iman bersihkan hati
bekalan dibawa menuju mati.

Tegak merendang pohon meranti
tempart bersarang burung kenari
bekalan dibawa menuju mati
tunduk tawadduk menuntun diri.

Tempat bersarang burung kenari
burung tekukur di dalam sangkar
tunduk tawadduk menuntun diri
amal makruf nahi mungkar.

Burung tekukur di dalam sangkar
merbah mencicip buah berangan
amal makruf nahi mungkar
syurga neraka dalam timbangan.

Merbah mencicip buah berangan
berangan datang dari Mangkasar
syurga neraka dalam timbangan
balasan Allah di Padang Mashyar.

Berangan datang dari Mangkasar
dibawa kapal menuju kuala
balasan Allah di Padang Mashyar
dosa pahala penentu segala.

Dibawa kapal menuju kuala
kapal mendarat di Pulau Kenanga
dosa pahala penentu segala
syurga neraka tempat akhirnya.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
23 Julai 2012

MALAM BAROKAH


Saturday 21 July 2012

DI AMBANG RAMADHAN

Hujan turun di Kuala Kedah
banjir kilat di tengah laman
kini Ramadhan menjelma sudah
nafsu teruji mengugat iman.

Banjir kilat di tengah laman
mati lemas seekor ikan
nafsu teruji mengugat iman
amal ibadat patut tingkatkan.

Mati lemas seekor ikan

haruan dikurung di dalam guri
amal ibadat patut ditingkatkan
godaan syaitan patut dihindari.

Haruan di kurung di dalam guri
burung nuri di dalam sangkar
godaan syaitan patut dihindari
berbuat baik menghalang mungkar.
.
Burung nuri di dalam sangkar
anak merpati makan di tangan
berbuat baik menghalang mungkar
tadarus dan teraweh mengukuh pegangan.

Anak merpati makan di tangan
di dalam hutan terjerat rusa
tadarus dan terawih mengukuh pegangan
puasa yang sempurna membasuh dosa.

Che Fauziah  Idris
kuala kurau
Perak
21 Julai 2012

TITIK

Haruskah terpinggir
tanpa perlu diusir
memahami sendiri
hidup bukan buat sengsara
merindu pada yang tiada
cintamu hancur terkubur
lalu kau pun menetap titik.

Persinggahan tak perlu disapa
biarkan saja ia berlalu
merangkai takdir
merungkai mimpi.
dan dalam kesendirian
sepi itu pun lebih indah.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
21 Julai 2012
12.57 am

Friday 20 July 2012

KILAUAN PANTUN

Lauk pauk di dalam talam
nasi beriani di dalam dulang
pantun berhias makna bersulam
seni membait kilau gemilang.

Nasi beriani di dalam dulang
di dalam mangkuk berisi kerabu
seni membait kilau gemilang
santapan jiwa luahan kalbu.

Di dalam mangkuk berisi kerabu
di dalam pinggan berisi pasta
santapan jiwa luahan kalbu
madah terindah ungkapan kata.

Di dalam pinggan berisi pasta
ulas durian campur serawa
madah terindah diungkap kata
sebagai menghias gurindam jiwa.

Ulas durian campur serawa
pulut susu campur serikaya
sebagai hiasan gurindam jiwa
pantun seloka warisan budaya

Pulut durian campur serikaya
masakan dari gadis nan ayu
pantun seloka warisan budaya
khazanah bahasa bangsa Melayu.

KAIL PANJANG SEJENGKAL


Kuning-kuning isi durian
durian belanda masak mengkal
mampukah hasrat menduga lautan 
andai kail panjang sejengkal.

Durian belanda masak mengkal
belimbing buloh di tengah pasar
andai kail panjang sejengkal
mampukah ia mencecah dasar.

Belimbing buloh di tengah pasar
langsat tertanam di atas bukit
mampukah ia mencecah dasar
andai ilmu cuma sedikit.

Langsat tertanam di atas bukit
bukit terletak di Tanjung Lada
andai ilmu cuma sedikit
jangan sombong mendabik dada

Bukit terletak di Tanjung Lada
tempat orang sedang membanci
jangan sombong mendabik dada
menghilang suka menerbit benci.

Tempat orang sedang membanci
untuk rombongan ke Tanjung Karang
menghilang suka menerbit benci
orang menghindar tinggal seorang.

Untuk rombongan ke Tanjung Karang
haluan menuju di rumah kenduri
orang menghindar tinggal seorang
hidup sepi sesal sendiri.

Haluan menuju ke rumah kenduri
juadah hidangan gulai siakap[
hidup sepi sesal sendiri
baik segera mengubah sikap;

Juadah hidangan ikan siakap
masak kicap dicampur halia
baik segera mengubah sikap 
agar hidup dipandang mulia.

Masak kicap dicampur halia
dalam kuali di tumis lada
agar hidup di pandang mulia 
tuntutlah ilmu penuhkan dada.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
18 Julai 2012

BAHASA BIJAK


Gelang emas cincin suasa
rantai besi dari tersani
dalam rumpun budaya dan bangsa
bahasa Melayu indah berseni.

Rantai besi dari tersani
besi ditempa dari Melaka
bahasa Melayu bahasa berseni
berkembang maju indah pusaka.

Besi ditempa dari Melaka
tiang diperbuat dari kayu
berkembang maju indah pusaka
lambang santunnya budaya Melayu.

Tiang diperbuat dari kayu
kayu dari pepohon jati
lambang santunnya budaya Melayu
lemah lembut berbudi pekerti.

Kayu dari pepohon jati
tempat hinggap si burung nuri
lemah lembut berbudi pekerti
adab sopan pakaian diri.

Tempat hinggap si burung nuri
riuh berkicau murai di hutan
adab sopan pakaian diri
cantiknya bangsa menjadi sebutan.

Riuh berkicau murai di hutan
kera bergayut di pohon cendana
cantiknya bangsa menjadi sebutan
dunia memandang indah laksana.

Kera bergayut di pohon cendana
patah kelopak bunga rafflesia
dunia memandang indah laksana
gah tersohor nama Malaysia

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
17 Julai 2012

BERBAIK SANGKA


Indah menguntum bunga dahlia
pohon ditanam si anak dara
berbaik sangka amalan mulia
menabur budi mencambah mesra.

Pohon ditanam anak dara
di dalam pasu di semai kekwa
menabur budi mencambah mesra
ikatan kasih mekar di jiwa.

Di dalam pasu disemai kekwa
di dalam peti diletak kurma
ikatan kasih mekar di jiwa
sinar bahagia menerangi sukma.

Di dalam peti diletak kurma
kurma dihantar ke Tanjung Bidara
sinar bahagia menerangi sukma
rindu di hati kian bergelora.

Kurma dihantar ke Tanjung Bidara
singgah ke pasar beli gelama
rindu di hati kian bergelora
Hidup mati ingin bersama.

Singgah ke pasar beli gelama
gelama dijemur di atas papan
hidup mati ingin bersama
keredhaan Allah menjadi harapan.

Gelama dijemur di atas papan
papan jatuh menimpa pinggan
keredhaan Allah menjadi harapan
martabat mulia jadi pegangan.

Papan jatuh menimpa pinggan
pinggan retak tinggal sekerat
martabat mulia jadi pegangan
selamatlah hidup dunia akhirat.

Che Fauziah Idris
Kuala Kurau
Perak
16 Jun 2012